Thursday, 28 September 2017

Projek Antologi Cerpen Kanak-kanak

Saya [Uthaya Sankar SB] merancang untuk membimbing, mengasuh dan memupuk bakat penulis baharu yang mahu terlibat dalam projek penerbitan sebuah antologi cerpen bagi bacaan kanak-kanak.

Usaha ini adalah susulan kepada penerbitan kumpulan cerpen Ikan Patin dan Beruang Besar yang dijadual terbit pada November 2017.

Antologi ini pula dirancang untuk diterbitkan pada November 2018, manakala peserta (penulis) akan dibimbing secara berterusan (bulanan) mulai November 2017.

Nota: “Kumpulan cerpen” merujuk kepada buku yang memuatkan cerpen-cerpen oleh seorang penulis. “Antologi” merujuk kepada buku yang memuatkan karya beberapa penulis.

Individu pelbagai kaum yang mahu terlibat dalam Projek Antologi Cerpen Kanak-kanak tidak perlu ada pengalaman menyiarkan karya di mana-mana. Bagaimanapun, pengalaman menulis, penguasaan Bahasa Malaysia, kreativiti, serta minat untuk menghasilkan karya bermutu adalah kelebihan yang amat dialu-alukan.


Peserta [umur minimum: 18 tahun] juga perlu bersedia menghasilkan sebuah (1) manuskrip cerpen mengikut jadual yang ditetapkan secara berperingkat-peringkat. Saya sendiri selaku penyelenggara akan membimbing peserta secara bersemuka atau menerusi e-mel. Syaratnya, peserta perlu ada komitmen dan kesungguhan untuk menghasilkan manuskrip cerpen kanak-kanak mengikut jadual yang ditetapkan.

Peserta yang rajin mungkin akan berupaya menghasilkan lebih daripada sebuah cerpen, dan cerpen berkenaan akan disalurkan ke majalah yang sesuai.


“Cerpen kanak-kanak” yang dimaksudkan adalah karya kreatif (cereka) yang sesuai untuk bacaan kanak-kanak pelbagai kaum berumur antara 7 dan 13 tahun. Cerpen mestilah asli dan tidak mengandungi apa-apa unsur yang menjadikan karya itu tidak asli.

Peserta Projek Antologi Cerpen Kanak-kanak tidak dikenakan bayaran untuk menerima bimbingan penulisan. Manuskrip cerpen akan disunting dan dibaiki tanpa dikenakan sebarang bayaran.


Bagaimanapun, setiap peserta perlu bersedia menyumbangkan sekurang-kurangnya RM250 apabila cerpennya terpilih untuk dimuatkan dalam antologi itu nanti. Sumbangan ini bagi menampung sebahagian kos mencetak buku. Setiap penulis juga akan menerima sejumlah antologi berkenaan sebagai honorarium. (Maknanya, bayaran honorarium dalam bentuk buku, bukan wang tunai.)

Nota: Kos pengiriman naskhah (honorarium) antologi menerusi PosLaju perlu ditanggung oleh peserta/penulis terbabit.

Individu yang benar-benar berminat dan komited untuk terlibat dalam Projek Antologi Cerpen Kanak-kanak dinasihatkan supaya memiliki, membaca dan meneliti buku Ikan Patin dan Beruang Besar sebagai contoh dan panduan.

Sila hubungi uthayasb@yahoo.com.my atau kirim mesej menerusi www.facebook.com/uthaya hanya jika anda sudah bersedia untuk terlibat sepenuhnya dalam projek ini.

Hanya sepuluh (10) peserta diperlukan. Tarikh tutup: 15 Oktober 2017. Tawaran ini hanya sah bagi warganegara Malaysia.