Wednesday, 17 June 2009

Meraikan Kepelbagaian Kaum

Masih mengenai penggunaan “penulis/peserta pelbagai kaum” … sebagai sambungan kisah semalam [BACA DI SINI].

Sesungguhnya saya tidak menentang penggunaan frasa itu. Malah, Kumpulan Sasterawan Kavyan sering menggunakannya apabila merujuk pada peserta/penulis yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Maknanya, tidak dibezakan atas faktor kaum; sama ada Melayu, Cina, India atau apa sahaja. Kepelbagaian haruslah diraikan; bukan dijadikan alasan untuk memisah-misahkan. Apatah lagi, Bangsa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan keturunan.

Namun, nampaknya, ada pihak yang berpendirian bahawa “kaum Melayu” tidak termasuk dalam kategori “pelbagai kaum”.

Saya tidak tahu dan tidak faham siapa dan atas alasan apa “kaum Melayu” (peserta kaum Melayu; penulis kaum Melayu) diberi kedudukan eksklusif sehingga perlu dilihat sebagai bukan sebahagian daripada “pelbagai kaum” (peserta pelbagai kaum; penulis pelbagai kaum).

Misalnya, dalam majalah Tunas Cipta (Jun 2009), diperkatakan mengenai “Penulis Pelbagai Kaum” dalam konteks “tidak termasuk penulis kaum Melayu”.

Adakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri menganggap “penulis kaum Melayu” sebagai eksklusif dan tidak termasuk dalam “penulis pelbagai kaum”?

Rasa-rasanya tidak. Saya pernah menyertai pelbagai aktiviti anjuran DBP di bawah label “pelbagai kaum” tetapi memang ada peserta/penulis “kaum Melayu”.

(Malah, sering kali peserta/penulis “kaum Melayu” lebih ramai daripada peserta/penulis “kaum Bukan Melayu”. Saya menyedari hal ini kerana sering disebut-sebut oleh pihak penganjur sendiri.)

Apapun kedudukan dan tanggapan orang terhadap frasa “pelbagai kaum”, Kavyan akan tetap menggunakannya sebagai merujuk kepada semua tanpa batas kaum; dalam konteks “meraikan kepelbagaian kaum” dan bukan dalam konteks “meminggirkan” mana-mana kaum, keturunan atau etnik. - Baca juga: Kavyan mendambakan pengiktirafan? Topik berkaitan: Melayu + Cina + India = 1Malaysia? - Senarai Cerpenis Kaum India

2 comments:

  1. Saya percaya, penggunaan "Penulis Pelbagai Kaum" yang turut melibatkan"penulis kaum Melayu" tidak sekali-kali menafikan hak dan peluang mana-mana kelompok.

    Misalnya, dalam konteks Bangsa Malaysia dan Satu Malaysia, segala hak dan peluang yang ditetapkan dalam Perlembagaan tidak digugat atau dipersoalkan.

    Begitu juga, dalam pada meraikan kepelbagaian melalui konsep "Penulis Pelbagai Kaum", tidak pula timbul soal mana-mana kaum dinafikan hak dan peluang.

    Sekiranya timbul keperluan untuk memberikan "peluang" khas kepada mana-mana anggota dalam kelompok besar "Penulis Pelbagai Kaum", tidak timbul masalah kerana mereka juga sebahagian daripada "penulis pelbagai kaum" yang diraikan.

    Misalnya, katakan ada dana khas bagi penulis kaum Cina. Tiada masalah. Anugerah khas penulis muda kaum Melayu. Tiada masalah. Peruntukan khas penerbitan karya penulis etnik Sabah dan Sarawak. Tiada masalah. Bengkel khas bagi penulis kaum India. Tiada masalah.

    Kerana kesemua mereka merupakan keompok Penulis Pelbagai Kaum yang menulis mengenai kepelbagaian kaum, budaya, jati diri dan keistimewaan sebagai Bangsa Malaysia.

    Sebaliknya, katakanlah "Penulis Pelbagai Kaum" tidak termasuk "penulis kaum Melayu". Katakanlah sebuah Bengkel Penulis Pelbagai Kaum diadakan tetapi 75% peserta adalah "penulis kaum Melayu". Pelik, bukan?

    Sebaliknya, apabila "Penulis Pelbagai Kaum" meliputi semua rakyat Malaysia (yang merupakan penulis, tentunya), tidak akan timbul rasa pelik jika peserta adalah penulis pelbagai kaum; termasuk peserta kaum Melayu.

    ReplyDelete
  2. Hanya pemikiran satu hala, cetek dengan minda sempit dan tiada perasaan prihatin untuk membantu membetulkan keadaan akan timbul perkara-perkara negatif begini.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!