14 Feb 2018

Kolattam Memupuk Perpaduan dan Penghayatan Budaya

Istilah kolattam merupakan gabungan dua perkataan Tamil, iaitu “kol” (kayu pendek) dan “attam” (tarian). Maka, persembahan ini juga boleh digelar “tarian kayu” dalam konteks Malaysia. 

Kanak-kanak dan remaja yang mengikuti kelas kolattam di Aulong Lama, Taiping, Perak sejak Jun 2017 turut didedahkan mengenai sejarah dan keunikan seni persembahan tradisional ini.


Secara tradisi, kolattam dipersembahkan pada mana-mana majlis atau keramaian sebagai tanda meraikan kegembiraan. Pada suatu waktu dahulu di Malaysia, majlis perkahwinan, kelahiran, ponggal, Deepavali dan sebagainya tidak lengkap tanpa persembahan kolattam. Walau bagaimanapun, keadaan itu sudah berubah sekarang. Persembahan kolattam hanya dapat disaksikan semasa Thaipusam, upacara di kuil dan majlis persembahan kebudayaan.


Tarian tradisi rakyat ini dikatakan bermula pada abad ketujuh di negara India, khususnya di wilayah Mahabalipuram, Taripatri, Ramappa, Hampi dan Macherla. Golongan wanita yang bekerja di sawah menari untuk menghiburkan hati pada waktu lapang. Kemudian, apabila padi sudah dituai dan ponggal disambut meriah, golongan wanita menari lagi dengan gembira.


Tarian kolattam biasanya ditarikan dalam kumpulan seramai 8 hingga 40 peserta. Secara tradisi, penari terdiri daripada golongan wanita sahaja, manakala golongan lelaki bermain alat muzik seperti gendang dan simbal. Bagaimanapun, lama-kelamaan, lelaki dan wanita menari bersama-sama dalam persembahan kolattam


Pergerakan penari biasanya bermula dengan gerak-geri yang lemah-lembut. Kayu yang dipegang di kedua-dua tangan dipukul atau dipalu untuk menghasilkan bunyi. Pukulan atau hentaman inilah yang memberikan tempo kepada tarian kolattam. Selain daripada memukul kayu sendiri, penari juga memukul kayu yang dipegang oleh para penari lain secara berirama. Ada kala, kayu dihentam ke lantai atau tanah.


Sebagaimana diakui oleh kanak-kanak, remaja dan belia yang menyertai kelas kolattam di bawah Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, tarian ini amat menghiburkan dan mempunyai banyak kebaikan. Peserta wajib menyertai sesi latihan dan berdisiplin supaya mampu mengatur koordinasi tarian secara berkumpulan. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua. Kalau seorang penari melakukan kesilapan, keseluruhan persembahan akan menjadi cacat.

Penari wajib peka pada setiap masa kerana gerakan tangan, kaki dan kayu adalah secara berterusan dan mengikut corak tertentu yang perlu dihafaz secara mental. Perlu juga ada koordinasi antara mata, telinga, tangan dan kaki penari bagi memastikan persembahan boleh dilakukan secara indah, seragam dan harmoni. 



Dalam filem Tamil, Telugu dan Hindi pula, tarian dandiya lazimnya melibatkan penari lelaki dan wanita yang bersosial untuk saling berkenal-kenalan sambil menari.



Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

(Makalah ini ditulis pada 5 Oktober 2017 dan tersiar di majalah Dewan Budaya pada Januari 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Anda jua mungkin berminat membaca – Sasterawan Kavyan dan Sastera KebangsaanPenerimaan Kaum India Terhadap Bahasa KebangsaanBuku-buku Uthaya Sankar SB)