Sunday, 23 July 2017

Identiti dan Jati Diri


Jika anda individu kaum India berketurunan Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi atau Chetti, maka anda wajar – dan berhak – mengekalkan identiti dan jati diri tanpa perlu akur atau berasimilasi dengan kumpulan majoriti.

Perbezaan antara “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” sudah saya huraikan menerusi makalah bertajuk “Kaum Melayu Tidak Wujud?” dalam buku Malaiur Manikam (2015). Penjelasan itu – yang turut menyentuh mengenai identiti dan jati diri orang Cina dan Melayu – mendapat kritikan puak #DunguMacamPatriots yang ternyata hidup dalam dunia fantasi rekaan sendiri.

Huraian ringkas mengenai keturunan, kaum dan bangsa pernah saya tulis di majalah Pelita Bahasa (September 1998) dan boleh juga dibaca di blog saya untuk mendapatkan gambaran umum.

Dalam konteks Malaysia, memandangkan majoriti kaum India berketurunan Tamil, maka timbul kesilapan melabel semua orang India sebagai “Tamil”. Tambahan pula, orang Telugu dan Malayali di Malaysia juga menguasai Bahasa Tamil.

Seperti saya petik dalam buku Mandala Bicara (2016), penduduk kaum India pada 1991 adalah 1,281,310 orang; di mana 86.85% keturunan Tamil, 3.5% Punjabi, 3.45% Malayali, dan 2.7% Telugu.

Menjelang tahun 1999, jumlah kaum India adalah sekitar 1.6 juta orang, iaitu 7% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Menurut buku Sejarah Masyarakat India di Malaysia (2012), daripada jumlah itu, 85.1% adalah orang Tamil, 3.5% Punjabi, 3.2% Malayali, dan 2.4% Telugu.

[Mengikut perangkaan tahun 2016, jumlah penduduk kaum India adalah 1.8 juta. Daripada jumlah itu, jumlah orang Malayali adalah 170 ribu, Telugu 113 ribu, dan Punjabi 65 ribu. Rujuk di sini.]

Persatuan Telugu Malaysia (TAM) mengirim surat kepada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2014 bagi menjelaskan situasi di mana ibu bapa keturunan Telugu menghadapi masalah sewaktu mendaftarkan kelahiran anak-anak kerana terdapat beberapa pejabat cawangan JPN tidak membenarkan “Telugu” (dahulu dieja Telegu) dicatatkan pada ruangan “keturunan”.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di akhbar Malaysia Nanban (18 Disember 2014), pihak TAM menjelaskan bahawa mereka bukannya memohon perkara baharu, sebaliknya hanya meminta hak memasukkan semula “Telugu” seperti yang sedia ada sebelum ini.

Keratan akhbar itu tiba-tiba menjadi tular (viral) selepas sambutan Ponggal pada 14 Januari 2017 di mana kumpulan tertentu yang menggelarkan diri mereka sebagai “pejuang orang Tamil” mempersoalkan tindakan masyarakat Telugu menuntut semula hak mereka dicatatkan sebagai “Telugu” dalam sijil kelahiran.


Orang Telegu Dilabel “Puak Ekstremis”

Pada 19 Januari 2017, saya memaparkan keratan akhbar itu di Facebook berserta pendirian bahawa sebagaimana saya menyokong (serta menggalakkan) orang Tamil di Malaysia yang mahu mengidentifikasi diri sebagai orang Tamil (Tamilian), saya tidak nampak apa-apa kesalahan apabila orang Telugu, Malayali, Punjabi dan sebagainya mahu dikenali sebagai orang Telugu, Malayali, Punjabi dan sebagainya.

Tulisan asal saya: “Just as much as I support  (and encourage) Tamils in Malaysia who love to identify themselves as Tamilians, I don’t see anything wrong in Telugus, Malayalis, Punjabis etc wanting to be identified as Telugus, Malayalis, Punjabis etc.”

Seorang individu bernama Mugilan Manickam memberikan komen: “Everyone comes as Indians, we don’t see Cantonese and Hokkien stated in birth certificates. Idiots trying their level best to divide everyone!”

Reaksi saya: “Mugilan Manickam, you should also call anyone calling themselves as ‘Tamilian/Tamilan’ as idiots, right?”

Reaksi balas Mugilan Manickam: “So, you want them to separately print Telugu, Tamil, Malayalam, Cantonese and Hokkien in birth certificate?”

Nampaknya orang seperti Mugilan Manickam tidak faham hakikat bahawa apa yang diminta oleh orang Telugu, Malayali dan Punjabi bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya hanya berusaha mengekalkan identiti dan jati diri yang sudah sedia termaktub dalam sistem JPN. Dengan mudah sahaja orang seperti Mugilan Manickam menuduh orang Telugu sebagai “Idiots trying their level best to divide everyone!”

Seorang lagi individu bernama Puven TheEnterpriser mengemukakan komen ini: “Melayu ada Bugis, Jawa dan lain-lain tetapi tiada masalah dengan gelaran Melayu. Puak ekstremis di atas [orang Telugu] sangat ‘buas’ jika banyak.”

Entah mengapa orang Telugu mahu dilabel sebagai “puak ekstremis” semata-mata kerana mereka mahu mengekalkan identiti dan jati diri!

Sikap hipokrit juga amat nyata apabila Puven TheEnterpriser menulis lagi: “Puak Telegu [Telugu] ada masalah digelar India oleh JPN untuk kegunaan rasmi. Saya tiada sebab untuk tidak menggelar diri sebagai Tamilan [orang Tamil].”

Amat pelik apabila individu itu menegaskan dia “tiada sebab untuk tidak menggelarkan diri” sebagai orang Tamil, tetapi pada masa sama menggelarkan orang Telugu yang mahu menggelarkan diri mereka “orang Telugu” sebagai “puak ekstremis”. Ternyata dia ada satu peraturan untuk orang Tamil, dan satu peraturan lain untuk orang lain (bukan Tamil)!


Bukan Semua Orang India Keturunan Tamil

Individu bernama Puchi Kanna pula bertanya, “Adakah isu ini semata-mata permainan politik?”

Saya melahirkan rasa hairan dan terkejut kerana nampaknya apabila “minoriti dalam minoriti” seperti Telugu, Malayali dan Punjabi mahu mengekalkan identiti, maka dituduh ada agenda politik!

Puchi Kanna meneruskan: “Adakah identiti golongan ‘minoriti dalam minoriti’ ini terkekal [terpelihara] dengan hanya catatan pada sekeping dokumen pengenalan diri [sijil kelahiran]? Secara peribadi, saya beranggapan bahawa keadaan ini lebih kepada keinginan mengasingkan diri daripada kelompok utama [Tamil].”

Dalam pemerhatian saya sendiri sejak kecil, orang Tamil suka menggunakan istilah “Tamil” apabila merujuk kepada semua kaum India, tanpa mengira keturunan (Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi dan sebagainya).

Akan tetapi, pada masa sama, golongan Tamil berkenaan akan marah-marah apabila orang Telugu menggelarkan diri mereka sendiri sebagai orang Telugu, atau apabila orang Malayali menggelarkan diri mereka sendiri sebagai orang Malayali!

Golongan Tamil itu juga akan kurang bersetuju apabila saya dengan tegas menggunakan istilah “kaum India” sewaktu merujuk kepada orang Tamil, Telugu, Malayali dan Punjabi secara kolektif. Kononnya, menurut mereka, semua kaum India di Malaysia perlu digelar “Tamil”.

Pada masa sama, apabila timbul keperluan, “pejuang” Tamil akan mengasingkan orang Telugu, Malayali dan Punjabi daripada kelompok “majoriti” (Tamil).

Misalnya, selepas saya menulis makalah bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016), akhbar Tamil Nesan (13 Januari 2016) menerusi berita utama di muka depan melabel saya sebagai “pengkhianat”.

Sementara itu, akhbar Malaysia Nanban (19 Januari 2016) menyiarkan rencana satu halaman untuk menegaskan bahawa saya tidak berhak mengkritik sekolah Tamil kerana saya keturunan Malayali dan bahasa ibunda saya bukan Tamil.

Ya, keturunan saya adalah Malayali (dahulu dieja Malayalam) dan saya berbangga dalam mengekalkan identiti dan jati diri keturunan saya. Hal ini tidak pula bermakna saya mendesak semua orang India – khususnya Tamil – turut menggelarkan diri mereka sebagai Malayali.

Seperti yang sudah saya nyatakan, sebagaimana saya menyokong hak dan perjuangan orang Tamil mengekalkan identiti, bahasa, budaya, seni dan jati diri keturunan Tamil, begitulah juga saya menyokong sepenuhnya hak dan perjuangan orang Telugu, Malayali dan Punjabi untuk mengekalkan identiti, bahasa, budaya, seni dan jati diri keturunan masing-masing.


Maklumat “Keturunan” Saya Pernah Hilang

Apabila memohon sijil kelahiran anak saya di JPN dahulu, saya memastikan keturunan dicatatkan sebagai “Malayali”. Orang ramai berhak untuk marah (atau mengutuk) sekiranya saya meminta keturunan anak saya dicatatkan sebagai Tamil, Punjabi, Telugu atau sebagainya kerana keturunan saya bukan Tamil, Punjabi, Telugu atau sebagainya.

Berbalik kepada permintaan TAM pada 2014, saya memahami isu sebenar. Mereka bukan meminta orang Tamil, Malayali, Punjabi dan sebagainya didaftarkan sebagai “Telugu”.

Sebaliknya, mereka hanya memohon supaya orang Telugu didaftarkan sebagai orang berketurunan Telugu dalam sijil kelahiran. Itu adalah hak mereka. Malah, memang keturunan “Telugu” terdapat dalam sistem JPN.

Maklumat keturunan saya juga pernah “hilang” dan “berubah” dalam sistem JPN. Hal ini disedari pada 13 Jun 2014 apabila saya pergi ke JPN Cawangan Shah Alam, Selangor.

Pada waktu itu, terdapat khabar kononnya beberapa individu kaum India beragama Hindu atau Kristian mendapati maklumat “agama” pada dokumen pengenalan diri mereka berubah (diubah?) walaupun mereka tidak pernah meninggalkan agama asal.

Saya melakukan semakan maklumat kandungan CIP untuk memastikan agama saya tidak diubah dan ditukar mana-mana pihak tanpa pengetahuan saya. Tentu sahaja saya tidak mahu jenazah saya menjadi mangsa perebutan pelbagai pihak selepas saya meninggal dunia!

Pada waktu itulah saya menyedari maklumat keturunan saya bukan lagi Malayali. Pegawai di kaunter melakukan semakan dan memaklumkan bahawa maklumat itu diambil daripada sijil kelahiran saya.

Maka, saya membuat permohonan untuk melakukan semakan pada sijil kelahiran. Betapa terkejut apabila saya mendapati maklumat keturunan ibu, bapa dan diri saya sudah ditukar! Kami bukan lagi keturunan Malayali dalam sistem JPN.

Saya dimaklumkan bahawa saya perlu pergi ke JPN Perak – negeri kelahiran – sekiranya mahu melakukan sebarang pindaan atau pembetulan pada sijil kelahiran.

Saya tidak terlalu memberikan perhatian kepada perkara itu, sehinggalah sekumpulan “pejuang orang Tamil” mengutuk tuntutan orang Telugu pada Januari 2017.

Pupuk Perpaduan, Raikan Kepelbagaian

Pada 10 Februari 2017, saya ke JPN Cawangan Gopeng di RTC Gopeng, Perak bersama-sama salinan sijil kelahiran yang dikeluarkan selepas saya lahir dahulu.

Pegawai di kaunter memberikan kerjasama penuh. Mereka mengaku memang banyak kes seperti ini dibawa kepada perhatian JPN. Selepas semakan dilakukan dengan rekod yang tersimpan di Ipoh, pembetulan maklumat keturunan dibuat segera pada sijil kelahiran saya.

Ternyata apa yang berlaku kepada saya bukan kes terpencil. Pendedahan TAM pada tahun 2014 sepatutnya membuka mata bukan hanya orang Telugu, tetapi setiap individu yang berbangga serta mahu mengekalkan identiti dan jati diri keturunan masing-masing.

Apabila saya memaparkan foto sijil kelahiran saya yang sudah dibetulkan di Facebook, Patricia Rose Anne Clement menulis komen bahawa beliau juga perlu melakukan semakan dan membetulkan keturunan pada sijil kelahiran.

Sementara itu, Ahmad Zhafri Pemikir Timur bertanya apakah sub-etnik boleh diletakkan pada ruangan “keturunan” di sijil kelahiran. Misalnya, “Melayu” diganti dengan “Jawa” atau “Bugis”. Manakala Muhamad Fazrin menyebut dirinya “berketurunan Jawa tetapi yang dicetak pada sijil kelahiran adalah Melayu.”

Saya menegaskan bahawa saya tidak mahu masuk campur dalam isu keturunan, kaum atau etnik Melayu. Hal ini kerana tindakan saya mungkin dianggap menyentuh isu-isu sensitif berkaitan orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, hakikat yang nyata adalah bahawa ramai orang Melayu di Malaysia terdiri daripada keturunan Jawa, Banjar, Mendaling, Boyan, Bugis, Minang dan sebagainya yang berasal dari Indonesia.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berketurunan Bugis, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berketurunan JawaTonton Video. [Mahathir orang Malayali - baca di sini]

Orang ramai boleh berkunjung ke pejabat JPN terdekat untuk melakukan semakan. Berikan tumpuan khusus terhadap maklumat “keturunan” dan “agama” kerana mungkin sahaja ada kesilapan teknikal yang membuatkan maklumat berkenaan berubah tanpa sengaja.

Sekiranya anda memerlukan lebih banyak maklumat, atau bantuan untuk menguruskan hal ini, anda boleh menghubungi saya. Tentu sahaja saya sedia membantu dalam usaha memastikan setiap individu berhak mengekalkan identiti dan jati diri – termasuk pada sijil kelahiran.

[Makalah ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 13 Februari 2017 dan versi ringkas tersiar di Eksentrika pada 15 Februari 2017. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta mana-mana paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.] [Buku-buku Uthaya Sankar SB]