2 Jan 2013

Menghadapi Kematian – Bahagian 1

“Mengapa mayat kaum India dibakar dan bukan ditanam? Adakah mayat itu dimandikan dan disembahyangkan?”

Antara perkara yang sering ditanya kepada saya oleh rakan-rakan pelbagai kaum adalah berkaitan upacara menyempurnakan mayat mengikut budaya India; khususnya agama Hindu.

Pertanyaan seperti ini tidaklah bermaksud menghina atau mempersoalkan amalan dan budaya kaum India. Sebaliknya menunjukkan bahawa individu yang bertanya tadi berminat untuk mengetahui, memahami dan menghormati amalan dan budaya kaum India.

Malah, sering juga timbul masalah dalam kalangan kaum India sendiri untuk memberi penjelasan mengenai upacara menyempurnakan mayat. Maka, saya melakukan sedikit kerja mengumpul bahan dan maklumat umum berkaitan upacara menyempurnakan mayat dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu.

Perlu dijelaskan bahawa penerangan yang saya berikan adalah secara umum. Mungkin sahaja ada kelompok tertentu yang mempunyai amalan yang berbeza sedikit berbanding kelompok lain. Namun, asasnya adalah hampir sama. Tambahan pula, tujuan saya adalah untuk memberikan penjelasan umum; bukan penerangan terperinci mewakili kelompok tertentu.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang mahu terlibat sama dalam upacara menyempurnakan mayat adalah bertenang. Demikian nasihat pertama yang diberikan oleh salah seorang warga emas yang saya temui untuk mendapatkan panduan dan pandangan apabila saya mahu menulis sebuah makalah bagi majalah Sarina (Oktober dan November 2004). - Makalah penuh disiarkan dalam empat siri dan kini boleh dibaca dalam Mandala Bicara.

(Makalah ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB)