15 Apr 2024

Bengkel Bedah Cerpen Dalam Talian

Pengenalan

Selain daripada cerpen konvensional yang panjangnya sekitar 2,000 perkataan dan disasarkan untuk siaran di akhbar serta majalah bercetak, terdapat juga minat para penulis menghasilkan cerpen yang lebih ringkas (pendek) dan disasarkan untuk siaran di portal dan media dalam talian (online). Pada masa sama, rata-rata penulis dan bakal penulis menghadapi kesuntukan masa untuk menulis cerpen yang panjang kerana terikat dan sibuk dengan komitmen kerja hakiki. Menyedari hakikat ini, saya mengendalikan bengkel khas secara dalam talian menerusi Google Meet untuk membantu membimbing dan membedah karya. Cerpen yang sudah dibedah dan dibengkelkan akan dinilai kesesuaian untuk disalurkan ke portal seperti Sastera Kavyan, Eksentrika, dan Cukaria.

 

Bayaran Ikat Libat

Setiap peserta dikenakan bayaran ikat libat (commitment fee) RM15 (Ringgit Malaysia Lima Belas Sahaja). Bayaran ini tidak dipulangkan jika peserta gagal mengikuti sesi bengkel bedah cerpen atas apa alasan sekali pun.

 

Sijil Penyertaan Digital

Setiap peserta berdaftar yang mengikuti bengkel bedah cerpen sepenuhnya dan berjaya mengemukakan manuskrip bersih (dibaiki selepas dibedah pada bengkel) akan menerima sijil pendaftaran digital (pdf) sebagai kenang-kenangan. Nama pada sijil mengikut nama diberi semasa mendaftar. Sijil ganti tidak diberi.

Pembimbing

Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994. Bengkel penulisan turut dikendalikan secara dalam talian (Google Meet) semasa  Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). [Baca biodata penuh]

 

Beberapa Tarikh Penting

Harap maklum bahawa saya (Uthaya) amat menghormati masa para peserta dan meminta para peserta mematuhi “Waktu Kavyan” yang menjadi pegangan saya.

Mendaftar sebagai peserta — 20 April 2024 (9:00 malam)

Mengirim draf cerpen — 27 April 2024 (9:00 malam)

Menyertai sesi bedah cerpen — 4 Mei 2024 (9:00 malam)

Mengirim manuskrip bersih — 11 Mei 2024 (9:00 malam)

 

Bahasa

Bengkel dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Karya juga dalam Bahasa Malaysia. Individu yang tidak tahu, tidak mahu, atau berpura-pura tidak tahu Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak menjadi peserta.

Prosedur Pendaftaran dan Penyertaan

1. Buat bayaran ikat libat RM15 ke akaun CIMB 8002429656 (Uthaya Sankar SB) sebelum 20 April 2024 (9:00 malam).

2. Kirim maklumat diri (nama penuh untuk sijil) dan maklumat bayaran (tarikh dan masa) ke WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) sebelum 20 April 2024 (9:00 malam).

3. Tulis draf cerpen sepanjang 400-800 perkataan sahaja. (Sebelum mula menulis, fikirkan ke media mana cerpen itu mahu cuba dihantar selepas dibengkelkan.)

4. Kirim draf cerpen dalam format .doc sebagai lampiran (attachment) ke e-mel uthayasb@gmail.com sebelum 27 April 2024 (9:00 malam).

5. Pembimbing menyemak dan meneliti manuskrip cerpen serta menyediakan komen bertulis untuk sesi bedah karya.

6. Sertai sesi bedah karya menerusi Google Meet pada 4 Mei 2024 (9:00 malam). Pautan (link) akan dihantar beberapa jam sebelum sesi.

7. Baiki karya dengan mengambil kira komen dan cadangan yang diberi semasa bengkel. (Harap maklum bahawa bukan tugas pembimbing membetulkan ejaan, imbuhan, tanda baca, kata sendi, dan seumpamanya.)

8. Kirim manuskrip bersih (yang disertakan maklumat diri dan biodata seperti akan diberitahu semasa bengkel) dalam format .doc sebagai lampiran (attachment) ke e-mel uthayasb@gmail.com sebelum 11 Mei 2024 (9:00 malam).

9. Sijil penyertaan digital dikirim kepada peserta yang layak.

10. Pembimbing akan menghubungi peserta untuk urusan mengirim karya (cerpen) ke media yang sesuai.

 

Pertanyaan

Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) sebelum 20 April 2024 (9:00 malam).

13 Apr 2024

Lawatan ke Kampung Chetti dan Bengkel Penulisan Intensif di Melaka


Pengenalan

Sesi Penulisan Intensif (SPI) pernah dianjurkan dengan penuh jaya pada 15-16 Disember 2018, 23-24 Mac 2019, 2 Jun 2019, 10-11 Ogos 2019, dan 9-10 November 2019 [rujuk di sini]. Bengkel Penulisan Intensif (BPI) pula berjaya dikendalikan di Taiping, Perak pada 15-17 Disember 2023 [rujuk di sini], di Bandar Pinggiran Subang, Selangor pada 2-3 Mac 2024 [rujuk di sini], dan di Putrajaya pada 8-9 Jun 2024 [rujuk di sini].

 

Bengkel Penulisan Intensif di Melaka

Bengkel Penulisan Intensif (BPI) kali ini dirancang sebagai kesinambungan kepada pelbagai usaha yang dinyatakan di atas. Rumah inap (homestay) di Melaka dipilih kerana program pada kali ini turut melibatkan lawatan ke Kampung Chetti di Jalan Gajah Berang sebelum peserta mengikuti bengkel penulisan. Pengisian bengkel meneruskan model dan modul yang digunakan pada SPI dan BPI kerana terbukti benar-benar berjaya dalam memastikan peserta menghasilkan karya bermutu. Tumpuan kali ini kepada penulisan rencana (esei, karangan, makalah, artikel) dan cerpen (cerita pendek) atau cereka (cerita rekaan); khasnya susulan lawatan ke Kampung Chetti. Rujuk atur cara untuk perincian tentang sesi bengkel.

 

Lawatan ke Kampung Chetti

Orang ramai boleh sama-sama menyertai peserta Bengkel Penulisan Intensif dalam sesi lawatan ke Kampung Chetti. Pertemuan dan sesi perkongsian pengalaman bersama beberapa belia/penduduk Kampung Chetti serta lawatan (berjalan) mengelilingi kampung. Harap maklum bahawa lawatan turut melibatkan kunjungan ke beberapa kuil di Kampung Chetti. Jika peserta mahu melawat Muzium Chetti, bayaran untuk tiket ialah RM8 seorang (dewasa). Rujuk atur cara untuk perincian tentang sesi lawatan.

 

Tarikh

Bermula – 14 September 2024 (Sabtu)

Tamat – 15 September 2024 (Ahad)

(Tarikh 16 September 2024 = cuti sempena Hari Malaysia)

Rujuk atur cara untuk perincian tentang lawatan dan sesi bengkel

 

Peserta Bengkel Penulisan Intnsif

Bengkel Penulisan Intensif di Melaka dirangka bagi peserta dewasa yang sudah ada pengalaman menulis dalam mana-mana bahasa, dan peserta remaja yang meminati bidang penulisan rencana (esei, karangan, makalah, artikel) dan cerpen (cerita pendek) atau cereka (cerita rekaan). Jumlah peserta dihadkan kepada tujuh (7) orang sahaja supaya pembimbing (1 orang) boleh memberi tumpuan peribadi kepada setiap peserta. Keutamaan diberi kepada peserta pelbagai kaum yang mahu mendapatkan bimbingan secara intensif dan lebih mendalam dalam penulisan karya Bahasa Malaysia. Individu yang sudah bergelar “pembimbing bengkel penulisan” tidak diterima sebagai peserta. Peserta Bengkel Penulisan Intensif digalakkan turut menyertai lawatan ke Kampung Chetti untuk menimba ilmu dan pengalaman. [Kemas kini pada 14 April 2024: Sudah ada lima peserta bengkel.]

 

Peserta Lawatan ke Kampung Chetti

Sesiapa yang berminat boleh mendaftar sebagai peserta sesi lawatan ini. Segala kos seperti pengangkutan, penginapan, makan-minum dan sebagainya ditanggung sendiri oleh peserta. Bayaran RM10 dikenakan untuk membeli cenderamata bagi tuan rumah (Kampung Chetti) dan minuman semasa sesi perbincangan di Dewan Bacaan Kampung Chetti. Peserta walk-in dikenakan bayaran RM20 kerana tidak mendaftar lebih awal.

 

Bahasa

Bengkel Penulisan Intensif (BPI) dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Karya yang dihasilkan juga dalam Bahasa Malaysia. Sesi lawatan dan perbincangan semasa lawatan ke Kampung Chetti juga menggunakan Bahasa Malaysia. Peserta perlu mampu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Individu yang tidak tahu, tidak mahu, atau berpura-pura tidak tahu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak menyertai mana-mana program anjuran Kavyan.

 

Rangka Atur Cara

Perincian dan jadual lengkap akan diberi kepada peserta berdaftar sahaja. Peserta perlu mematuhi “Waktu Kavyan”. Tentatif seperti berikut:

 

Sabtu (14 September 2024)

10:00 pagi – Peserta Lawatan Kampung Chetti berkumpul di perkarangan Muzium Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka.

10:15 pagi – Peserta berjalan beramai-ramai ke Bilik Bacaan, Kampung Chetti.

10:30 pagi – Sesi perkongsian pengalaman oleh belia/penduduk Kampung Chetti diikuti sesi soal-jawab bersama peserta/pelawat.

11:30 pagi – Lawatan (berjalan) mengelilingi Kampung Chetti, termasuk berkunjung ke rumah penduduk terpilih (yang sedia menerima kunjungan tetamu), serta kunjungan ke beberapa kuil bersama wakil penduduk Kampung Chetti.

12:30 tengah hari – Melawat Muzium Chetti. Bayaran masuk RM8 seorang jika mahu masuk. Peserta yang tidak melawat muzium boleh bersurai.

1:30 tengah hari – Tamat sesi lawatan ke Kampung Chetti.

3:00 petang – Peserta Bengkel Penulisan Intensif mendaftar masuk ke rumah inap (homestay).

3:30 petang – Sesi sumbang saran (brainstorming) [berkumpulan]

[Peserta diingatkan supaya tidak menyiapkan draf/manuskrip. Sebaliknya, bawa catatan idea sahaja untuk dibincangkan sebelum mula menulis karya.]

4:30 petang – Menulis draf awal karya [individu]

6:00 petang – Bedah karya (rencana/cerpen/cereka) [berkumpulan]

7:30 malam – Makan malam (di luar)

9:00 malam – Membaiki karya (rencana/cerpen/cereka) [individu]

10:00 malam – Bimbingan seorang ke seorang (one-to-one)

 

Ahad (15 September 2024)

7:30 pagi – Sarapan (di luar)

8:30 pagi – Membaiki karya (rencana/cerpen/cereka) [berpasangan]

9:30 pagi – Membaca teks karya dan komen pembimbing.

10:30 pagi – Membaiki karya (rencana/cerpen/cereka) [individu]

11:45 pagi – Kirim karya lengkap kepada pembimbing.

12:00 tengah hari – Mendaftar keluar dari rumah inap.

 

Bayaran dan Kos Lawatan ke Kampung Chetti

Setiap peserta dikenakan bayaran RM10 (Ringgit Malaysia Sepuluh Sahaja) bagi menampung kos membeli cenderamata untuk wakil kaum Chetti Melaka yang menyertai sesi perkongsian pengalaman dan lawatan mengelilingi Kampung Chetti. Bayaran ini perlu dibuat selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2024 (9:00 malam). Bayaran tidak dipulangkan jika peserta gagal hadir atas apa-apa pun sebab dan alasan. Peserta walk-in dikenakan bayaran RM20 kerana tidak mendaftar lebih awal. Kos makan-minum ditanggung oleh masing-masing peserta. Kos perjalanan dan tiket masuk ke Muzium Chetti juga ditanggung sendiri.

 

Bayaran dan Kos Bengkel Penulisan Intensif

Setiap peserta dikenakan bayaran RM50 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) bagi menampung kos sewa rumah inap (homestay). Bayaran ini perlu dibuat selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024 (9:00 malam). Bayaran tidak dipulangkan jika peserta gagal hadir atas apa-apa pun sebab dan alasan. Kos makan-minum ditanggung oleh masing-masing peserta. Kos perjalanan juga ditanggung sendiri.

 

Sijil Penyertaan

Sijil penyertaan digital (pdf) diberi kepada peserta yang mengikuti bengkel sepenuhnya serta berjaya menghasilkan karya (rencana/cerpen/cereka) mengikut kriteria yang ditetapkan. Peserta lawatan ke Kampung Chetti juga menerima sijil digital (pdf) sebagai kenang-kenangan. Nama pada sijil mengikut nama diberi semasa mendaftar. Sijil ganti tidak akan diberi.

 

Barangan Keperluan Bengkel Penulisan Intensif

Peserta Bengkel Penulisan Intensif wajib membawa segala barangan keperluan untuk menulis: Komputer riba, buku tulis, alat tulis, buku/bahan rujukan, kamus, dan seumpamanya. Peserta juga perlu membawa segala barangan keperluan peribadi: Pakaian, tuala, berus gigi, ubat-ubatan, makanan ringan, botol air, pengecas telefon, extension wire, dan sebagainya. Segala barangan ini tidak disediakan.

 

Penginapan Bengkel Penulisan Intensif

Peserta Bengkel Penulisan Intensif perlu menginap di rumah inap (homestay) kerana sesi berlangsung hingga lewat malam. Penginapan adalah dalam konsep perkongsian; maknanya tidak boleh mengharapkan satu bilik untuk seorang peserta. Jika peserta memilih untuk tidak menginap, masih perlu membuat bayaran penuh, serta masih perlu akur pada jadual (atur cara). Tidak dibenarkan membawa teman, keluarga, binatang peliharaan, dan sebagainya (bukan peserta) ke tempat penginapan atas apa-apa alasan sekali pun.

 

Makan-Minum Bengkel Penulisan Intensif

Segala kos makan-minum ditanggung sendiri. Minum petang (3-in-1) dan biskut ala kadar disediakan semasa Bengkel Penulisan Intensif. Dibenarkan keluar untuk sarapan dan makan malam. Peserta boleh membawa makanan ringan dan jajan jika mahu. Minuman beralkohol tidak dibenarkan. Merokok (termasuk vape) tidak dibenarkan di rumah inap.

 

Penyelaras Lawatan ke Kampung Chetti

[Maklumat penyelaras akan dikemas kini di sini]

 

Penyelaras Bengkel Penulisan Intensif

[Maklumat penyelaras akan dikemas kini di sini]

 

Pembimbing Bengkel Penulisan Intensif

Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan sejak tahun 1991. Beliau berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah The Painted Cat (2023) dan Dewi Pertiwi (2024). [Baca biodata penuh]

 

Pendaftaran Peserta

Peserta lawatan ke Kampung Chetti perlu membuat bayaran RM10 ke akaun CIMB 8002429656 (Uthaya Sankar SB) sebelum 31 Ogos 2024 (9:00 malam) dan [mengisi borang pendaftaran].

Individu yang berminat menulis rencana/cerpen/cereka dan benar-benar komited menyertai Bengkel Penulisan Intensif perlu mendaftar dengan mengirim maklumat diri (nama penuh, nombor telefon, dan alamat e-mel) ke e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya). Pendaftaran ditutup sebaik cukup tujuh (7) peserta. Pendaftaran juga hanya sah apabila bayaran RM50 sudah dibuat iaitu selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024 (9:00 malam).

 

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Hubungi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) hanya jika jawapan bagi sebarang pertanyaan tidak ada di atas.

11 Apr 2024

Malayali dalam Cerpen Tamil

Apabila cerpen bertajuk “Nayagi” menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992) dan seterusnya termuat dalam antologi Menara 5 (1993), ia mendapat sambutan amat baik daripada peneliti Sastera Kebangsaan.

Misalnya, arwah Dr. Othman Puteh memuji cerpen itu yang dikatakan membawa nafas baharu dan segar dalam penulisan cerpen bahasa kebangsaan, khususnya oleh pengarang Bukan Melayu.

Saya pada waktu itu masih baharu dalam bidang penulisan dan kurang menyedari keunikan cerpen “Nayagi” dalam mengubah wajah Sastera Kebangsaan. Tambahan pula, cerpen bertajuk “Kandasami” oleh Saroja Theavy Balakrishnan yang menang hadiah pertama pada tahun sebelumnya dan termuat dalam antologi Menara 4 (1991) masih diperkatakan sebagai karya terbaik dalam kategori ini.

Cerpen saya yang menang hadiah utama itu sebenarnya bukan ditulis khusus untuk pertandingan. Sebaliknya, saya pernah kirim ke majalah Dewan Siswa tetapi tidak tersiar. Pada waktu itulah saya mendapat tahu tentang pertandingan yang diadakan, lalu menyertainya.

Menjelang 1994, saya sudah mula menyedari keunikan dan kelebihan yang berjaya dikesan pengkaji dan peminat Sastera Kebangsaan dalam karya saya. Rupa-rupanya, sejak 1970-an, cerpen penulis kaum India kurang berjaya memaparkan realiti budaya kaum India di Malaysia.

Selain daripada itu, hanya kehidupan orang Tamil diketengahkan manakala komuniti minoriti seperti Malayali dan Telugu dipinggirkan. Anehnya, hal sama berlaku apabila penulis merupakan orang Malayali dan Telugu yang berkarya dalam Bahasa Malaysia atau Tamil.

Hakikat ini turut saya lihat secara mendalam sewaktu menyiapkan kajian tesis sarjana sastera mengenai penglibatan kaum India dalam Sastera Kebangsaan sejak zaman Munsyi Abdullah. Kajian itu diterbitkan sebagai buku dengan judul Kavya Sastra (2021).

Saya turut meneliti karya Tamil oleh penulis tempatan. Nampaknya, masalah sama sudah menjadi kebiasaan di sana juga. Sementara beberapa penulis Tamil cuba mengangkat watak dan budaya kaum Melayu dan Cina dalam karya, realiti kewujudan orang Malayali dan Telugu pula seolah-olah sengaja diabaikan.

Maklumat terperinci mengenai sejarah dan situasi semasa kaum India di Malaysia dihurai dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Sejarah membuktikan orang British membawa buruh Tamil dan kemudian buruh Telugu ke Malaya sebagai buruh dan kuli tidak berpendidikan.

Kemudian, golongan Malayali dan Ceylonese (Sri Lanka) yang berpendidikan dibawa untuk mengisi jawatan lebih tinggi seperti kerani dan pembantu perubatan. Ternyata wujud lompong dalam hubungan antara golongan kuli dan pekerja berpendidikan.

Memandangkan rata-rata penulis karya Tamil adalah orang Tamil dengan latar belakang kehidupan di estet, maka gambaran negatif tentang orang Eropah, Malayali, dan Tamil Sri Lanka sudah menjadi semacam kelaziman yang diterima umum.

Novel Tamil tempatan sejak dahulu amat kurang memberi ruang kepada watak Malayali. Saya dapati watak Malayali muncul sedikit dalam novel Puuci (1972) karya Karaikilar dan Tondan (1979) karya A. Kandan.

Antara penulis Tamil terkenal dan disegani ialah M. Ramaiah. Dalam cerpen bertajuk “Um” (1979), watak pegawai kesihatan keturunan Malayali digambarkan sebagai individu yang mahu mendapatkan habuan seks daripada kuli wanita keturunan Tamil.

Dalam realiti, selain orang Tamil dan Telugu, ramai juga orang Malayali menjadi buruh dan kuli di ladang getah pada masa dahulu. Saya menulis rencana khas mengenai hal itu dalam buku Suvarna Bhumi untuk membuka mata masyarakat—[baca petikan].

Namun begitu, citra yang ditonjolkan dalam karya Tamil adalah seolah-olah semua orang Malayali menjadi kerani, kangani, dan pembantu perubatan, serta sentiasa menindas kuli iaitu orang Tamil.

Gambaran stereotaip seperti itu amat nyata dalam karya S. Vadiveloo yang disebut sebagai “penulis terpenting dalam perkembangan cerpen bahasa Tamil” (Dewan Sastera, Januari 1985). Beliau guru sekolah Tamil dan menulis sejak 1950-an.

Vadiveloo pernah menjadi presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia (1974-1980) dan presiden Persatuan Penulis Tamil Negeri Sembilan (1983-1986). Hasil tulisannya dipandang tinggi dan dianggap sebagai mewakili realiti hidup kaum India di Malaysia.

Malangnya, Vadiveloo ketara menampilkan orang Malayali dan Tamil Sri Lanka sebagai “golongan elit” yang kononnya sentiasa menindas dan mencabul hak asasi buruh Tamil di ladang getah. Golongan wanita pula selalu dieksploitasi secara seksual oleh watak Malayali.

Saya berpeluang meneliti kumpulan cerpen Valluvarin Kaadali (1964), Irandda Ulagam (1970) dan Puthiya Pathai (1981) yang diraikan sebagai karya hebat dan mencitrakan realiti kaum India di Malaysia.

Sebagai orang Malayali dan tahu pula sejarah serta fakta berdasarkan kajian ilmiah dan kerja lapangan, saya berani katakan bahawa karya-karya Vadiveloo yang dianggap “penulis berjiwa masyarakat” sebenarnya berjaya meracuni minda pembaca Tamil supaya prejudis terhadap orang Malayali.

Cerpen seperti “Muundru Talaimurai” (Tiga Keturunan), “Taayum Magalum” (Emak dan Anak Gadis) serta “Puthiya Pathai” (Jalan Baharu) boleh dijadikan contoh untuk membuktikan hujah saya. Watak golongan elit termasuk Malayali sentiasa diberi imej paling jahat dan negatif.

Misalnya, watak kerani tidak menghormati kuli Tamil yang tua; kerani sengaja membiarkan kuli Tamil bergaduh; wanita Tamil yang mengandung dipaksa bekerja keras; kerani merogol watak wanita Tamil; malah kerani meminta habuan seks daripada seorang ibu dan anak gadisnya.

Maka, tidak hairanlah kemunculan cerpen seperti “Nayagi” dan “Doa Tahun Baru” dilihat oleh peneliti sastera tanah air sebagai membawa nafas baharu dalam mengangkat realiti hidup kaum India di Malaysia.

Kini, sejumlah 11 cerpen saya diterjemah kepada bahasa Inggeris dalam buku berjudul The Painted Cat. Semoga usaha ini turut membantu dunia luar memahami realiti sebenar kaum India di Malaysia.

[Rencana ini ditulis pada 20 Jun 2023 dan disiarkan di ruangan “Bicara Budaya” akhbar Utusan Malaysia pada 24 Jun 2023. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda membaca mana-mana tulisan Uthaya Sankar SB yang disiarkan di mana-mana atas pilihan sendiri.]

9 Apr 2024

Hadiah Buku Kes “Hina Nabi”

Pengenalan

Umum mengetahui bahawa saya ditahan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 11 April 2022 dan saya terpaksa bermalam di lokap IPD Dang Wangi atas tuduhan “hina nabi”. Hampir dua tahun kemudian, pada 3 April 2024, telefon bimbit saya yang dirampas dan dijadikan “barang kes” dipulangkan dan disahkan bahawa kes “hina nabi” itu dikategori sebagai “tiada tindakan lanjut” atau “no further action” (NFA). Baca kisah penuh [di sini].

 

Hadiah Buku

Sebagai “meraikan” dan “memperingati” ulang tahun kedua insiden saya ditangkap polis atas tuduhan “hina nabi” serta pengesahan kes “digugurkan” dua tahun kemudian kerana tiada apa-apa bukti prima facie “hina nabi”, saya mahu memberi hadiah buku kepada orang ramai. Kumpulan esei Suvarna Bhumi terbit pada Februari 2022 dan usaha promosi tergendala serta terjejas susulan saya ditangkap polis pada April 2022. Projek buku Khanda Puranam dimulakan pada awal April 2022 tetapi tergendala akibat tangkapan itu; lalu diteruskan pada Mei 2022. Walaupun masih terpalit tuduhan “hina nabi” dan berdepan boikot pelbagai pihak, saya berjaya menghasilkan buku Katha Sarit Sagara pada Januari 2023 berkat sokongan rakan-rakan. Kini, orang ramai boleh memilih untuk menerima salah satu buku ini sebagai hadiah sempena memperingati peristiwa saya dituduh “hina nabi”.

 

Bayaran Kos Pengurusan dan Penghantaran

Sesiapa yang mahu menerima salah satu buku di atas sebagai hadiah perlu membuat bayaran RM10 bagi menampung kos pengurusan dan kos penghantaran buku melalui pos ke mana-mana alamat sah di seluruh Malaysia. Kos penghantaran ke luar negara adalah berbeza—sila hubungi saya jika kiriman buku ke alamat di luar Malaysia.



Tempoh Pemberian Hadiah Buku

Pendaftaran bagi menerima hadiah buku ditutup secara muktamad pada 11 April 2024 (10:00 malam) berpandukan prosedur di bawah.

 

Prosedur Mendapatkan Hadiah Buku

1. Pilih satu sahaja buku: Suvarna Bhumi, Khanda Puranam, atau Katha Sarit Sagara.

2. Buat bayaran RM10 ke akaun CIMB 8002429656 (Uthaya Sankar SB) bagi kos pengurusan dan kos penghantaran buku melalui pos.

3. Simpan slip bayaran sebagai bukti. JANGAN kirim kepada saya!

4. Isi borang – [di sini] – dengan lengkap.

5. Tunggu pengesahan daripada saya.

6. Buku dijangka dikirim melalui pos pada 13 April 2024 (Sabtu).

 

Pertanyaan

Jika ada sebarang pertanyaan, hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 sebelum 11 April 2024 (8:00 malam).

6 Apr 2024

Sesi Perbincangan Bhagavad Gita


Pengenalan

Teks Bhagavad Gita yang asalnya dalam bahasa Sanskrit sudah diterjemah – serta dikaji dan diceritakan semula – dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia. Teks ini juga amat popular dan disanjung dalam kalangan umat Hindu di Malaysia. Buku Bhagavad Gita: Dialog Arjuna dan Krishna di Kurukshetra (2021) ialah penceritaan semula teks penuh dalam bentuk prosa menggunakan Bahasa Malaysia. Buku ini mendapat sambutan amat baik daripada Bangsa Malaysia kerana membantu pembaca memahami kandungan teks asal.

 

Perbincangan Bhagavad Gita

Satu sesi perbincangan santai dan sederhana mengenai kandungan teks Bhagavad Gita diatur bagi membuka ruang dan peluang kepada orang ramai berkongsi pandangan dan berdialog secara beretika, bertamadun, dan sopan santun.

 

Tarikh

25 April 2024 (Khamis)

 

Masa

9:00 – 10:00 malam [Waktu Kavyan]

 

Pelantar

Google Meet

 

Bahasa Pengantar

Sesi perbincangan menggunakan Bahasa Malaysia. Sesiapa yang tidak tahu atau tidak mahu menggunakan Bahasa Malaysia diingatkan supaya tidak mendaftar sebagai peserta.

 

Rangka Atur Cara

Sesi hanya berlangsung selama satu jam mengikut jadual berikut:

 

9:00 malam

Para peserta mendaftar masuk

(Pautan Google Meet hanya dikirim kepada peserta berdaftar)

Para peserta berkenal-kenalan

(Mendaftar masuk ke sesi ditutup secara muktamad pada 9:05 malam)

Tangkapan skrin (screenshot) sebagai dokumentasi.

 

9:10 malam

Setiap peserta membaca petikan Bhagavad Gita yang paling diminati

(Pembacaan dibenarkan dalam mana-mana bahasa)

(Peserta perlu memaklumkan nombor Bab dan nombor Ayat semasa mendaftar)

(Sesi dirakam untuk disunting dan dimuatkan di YouTube)

 

9:30 malam

Membincangkan topik-topik berkaitan Bhagavad Gita

(Peserta perlu mengemukakan topik/soalan semasa mendaftar)

(Topik/soalan yang ada unsur menghina atau menyentuh sensitiviti umat Hindu atau memperlekeh teks Bhagavad Gita tidak dibenarkan. Semua soalan akan disaring dan ditapis oleh penyelaras)

(Sesi dirakam untuk disunting dan dimuatkan di YouTube)

 

10:00 malam

Sesi tamat secara automatik

 

Pendaftaran Peserta

Sesiapa yang mahu terlibat dalam Sesi Perbincangan Bhagavad Gita wajib mendaftar dengan mengisi [borang pendaftaran]. Hanya pendaftaran lengkap dan sempurna dilayan serta dimasukkan dalam senarai peserta.

 

Tarikh Tutup

Pendaftaran ditutup pada 21 April 2024 (10:00 malam).

 

Pertanyaan dan Maklumat Lanjut

Sila hubungi Uthaya Sankar SB menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 sebelum 21 April 2024 (10:00 malam).

19 Mar 2024

Pertandingan Menulis Ulasan Buku Dewi Pertiwi

Pengenalan

Buku Dewi Pertiwi (2024) ialah kumpulan esei (rencana, makalah) ketiga saya; selepas Malaiur Manikam (2015), Mandala Bicara (2016), dan Suvarna Bhumi (2022). Buku ini meneruskan tradisi mengetengahkan pelbagai isu dan topik yang mungkin dianggap “sensitif” tetapi amat wajar dibincangkan demi percambahan minda dalam kalangan Bangsa Malaysia yang menghargai ilmu.

 

Menulis Ulasan Buku Dewi Pertiwi

Orang ramai yang sudah memiliki dan membaca buku Dewi Pertiwi dipelawa menyertai pertandingan ini berdasarkan syarat, peraturan, dan panduan yang ditetapkan. Ulasan mestilah tulisan asal dan asli peserta terbabit tanpa sebarang unsur seperti ciplak, meniru, meminta orang lain menulis, dan sebagainya yang menjadikan tulisan itu tidak lagi asli.

 

Hadiah Ditawarkan

Empat (4) ulasan terbaik masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50 sahaja

Lima (5) ulasan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20 sahaja

 

Penyiaran Ulasan

Kesemua ulasan yang diterima akan disunting dan mana-mana yang sesuai akan disiarkan di blog saya sebagai dokumentasi. Ulasan terpilih juga mungkin disiarkan di tempat lain selepas mendapat persetujuan penulis ulasan itu.

 

Umur Peserta

Pertandingan ini hanya terbuka kepada warganegara Malaysia berumur minimum 16 tahun (pada tahun 2024).

 

Panjang Ulasan

Panjang setiap ulasan mestilah minimum 500 perkataan dan maksimum 600 perkataan sahaja.

 

Petikan Teks Dari Buku

Teks (perenggan) yang dipetik dari buku Dewi Pertiwi dan dimasukkan dalam ulasan sebagai contoh tidak boleh diambil kira semasa mengira panjang ulasan (500-600 perkataan).

 

Bahasa Ulasan

Ulasan boleh ditulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil, atau Cina (Mandarin). Jika petikan (perenggan) dari buku Dewi Pertiwi dimasukkan dalam ulasan, boleh sama ada dikekalkan dalam bahasa asal (Bahasa Malaysia) atau diterjemah kepada bahasa yang digunakan untuk menulis ulasan itu.

 

Format Menulis Ulasan

Berikut contoh format dan urutan yang boleh digunakan sebagai panduan. Peserta bebas menggunakan apa-apa format mengikut gaya sendiri. Contoh di bawah hanya sebagai panduan. Jumlah perenggan juga hanya sebagai contoh.

Perenggan

Maklumat

Contoh (Rekaan)

1

Bagaimana anda mendapatkan buku ini? Mengapa anda berminat memiliki dan membaca buku ini? Apakah buku-buku lain oleh Uthaya yang pernah anda baca? (sekitar 50 perkataan)

Saya menerima buku Dewi Pertiwi (2024) sebagai hadiah hari jadi daripada seorang sahabat. Senarai tajuk di halaman kandungan menarik minat saya untuk membaca buku ini walaupun saya tidak pernah membaca mana-mana buku Uthaya sebelum ini.

2 & 3

Nyatakan perkara-perkara (ilmu, pengetahuan, fakta) baharu yang anda perolehi dengan membaca buku ini. Boleh nyatakan juga hal-hal yang anda tersalah faham selama ini tetapi mendapat maklumat sebenar menerusi buku ini. (sekitar 200 perkataan)

Ada beberapa perkara baharu yang saya ketahui dengan membaca buku ini. Pertama, …

 

Selama ini saya menyangka “XYZ” merujuk kepada … tetapi barulah saya faham bahawa ia sebenarnya …

4

Pilih satu esei yang paling anda sukai dan ulas secara lebih lanjut. Nyatakan mengapa anda paling menyukai esei itu. Apakah kelebihan atau keistimewaan esei itu? (sekitar 100-150 perkataan)

Esei yang paling saya suka bertajuk “XYZ”. Pertama, …

5

Nyatakan apa-apa kelemahan atau kekurangan yang ada pada buku ini. Cadangkan juga bagaimana kelemahan dan kekurangan itu boleh diatasi. (sekitar 100 perkataan)

Ada beberapa perkara yang kurang menyenangkan saya berkenaan buku ini. Pertama …

 

Saya mencadangkan supaya pertama, …

6

Akhirnya, cadangkan siapa yang wajar membaca buku ini (jangan kata “semua orang”) dan apakah manfaat yang boleh mereka dapat dengan membaca buku ini. (sekitar 50 perkataan)

Buku ini amat sesuai dibaca oleh ABC dan XYZ kerana …

 

Format Menaip Manuskrip Ulasan

Ulasan mestilah ditaip menggunakan Microsoft Word dan disimpan (save) dalam format .doc dan bukannya mana-mana format lain. Langkau satu (single spacing) atau langkau dua (double spacing) dibenarkan asalkan kemas. Penggunaan fon (font) Arial atau Times New Roman digalakkan.

 

Maklumat Yang Perlu Disertakan

Di hujung manuskrip ulasan, sila nyatakan maklumat diri (nama penuh, alamat rumah, nombor telefon, alamat e-mel) diikuti biodata ringkas sekitar 50 perkataan sahaja [contoh biodata]. Para pemenang akan dihubungi kemudian untuk mendapatkan nombor akaun bank.

 

Cara Menghantar Ulasan

Manuskrip ulasan perlu dikirim sebagai lampiran (attachment) ke alamat e-mel uthayasb@gmail.com sahaja. Kiriman menerusi mana-mana cara lain atau ke alamat e-mel lain tidak diterima.

 

Tarikh Tutup

Manuskrip ulasan mestilah sampai kepada saya selewat-lewatnya pada 11 April 2024 (10:00 malam).

 

Pengumuman Pemenang

Senarai pemenang dijangka diumum pada 16 April 2024 di blog ini. Para pemenang juga akan dihubungi menerusi e-mel atau WhatsApp untuk mendapatkan maklumat akaun bank.

 

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Jika ada sebarang pertanyaan (dan jawapan tidak ada di sini), sila hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 sebelum 10 April 2024 (10:00 malam).