16 May 2018

Wira Penghapus GST?


Orang yang mendalami filem tahu kepentingan watak jahat (villain) dalam menggerakkan cerita. Semakin penonton membenci watak jahat itu serta mahukannya tewas, semakin penonton menyokong watak wira (hero) dalam melaksanakan misi yang sama.

Watak jahat itu tidak semestinya manusia. Mungkin sahaja suatu situasi atau makhluk asing yang mengancam kesejahteraan hidup watak-watak dalam filem. Penonton berasa simpati dan empati, lalu menyertai watak-watak dalam filem dengan mengharapkan watak wira menewaskan watak jahat.

Ada masa, watak jahat itu tidak bergerak sendirian, sebaliknya didalangi pihak lain. Maka, tugas wira bukan hanya menewaskan watak jahat, tetapi apa yang lebih penting adalah menumbangkan dalang terbabit.

Di sisi yang lain pula, jika watak wira berjaya menumbangkan si dalang, tetapi memilih untuk bersimpati dengan watak jahat – atau memilih untuk memberikannya satu lagi peluang atau masa untuk berubah – maka tidak mustahil bahawa watak wira akan bertukar sedikit demi sedikit, lalu menjadi sama seperti watak dalang itu tadi.

Demikianlah juga dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Orang ramai mengaku merasai penyeksaan berikutan kemunculannya. Mereka tidak mampu melawan Barisan Nasional (BN) yang menjadi dalang di sebaliknya. Apatah lagi apabila GST mendapat sokongan kuat daripada pemimpin, ahli, penyokong dan macai Umno, MIC, dan MCA.

Lalu, apabila watak wira muncul dalam bentuk Pakatan Harapan (PH), orang ramai memberikan sokongan kuat, di samping meletakkan harapan tinggi kepada PH untuk “menyelamatkan” mereka daripada penyeksaan GST yang didalangi BN.


Akhirnya, sebagaimana menurut formula filem tadi, PH berjaya menumbangkan BN dan memberikan “kemenangan” kepada Rakyat. Apa-apa pun, apa yang diberikan hanyalah “rasa” kemenangan kerana kemenangan sepenuhnya belum diperoleh.

Dalam situasi ini, bayangkan jika PH memilih untuk memberikan “satu lagi peluang” atau “sedikit lagi masa” kepada GST dengan alasan ia tidak membahayakan selepas tuannya – iaitu BN, Umno, MIC dan MCA – sudah ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Tidak mustahil, PH pula akan sedikit demi sedikit bertukar menjadi “BN” dan meneruskan penyeksaan terhadap Rakyat. Maknanya, dalang telah mati tetapi watak wira yang sangat-sangat diharapkan serta menerima sokongan dan bantuan Rakyat akan mengambil alih tempat watak jahat itu.

Belajarlah daripada formula mudah yang diketahui peminat filem. Dalam isu GST pula, mujurlah pada 16 Mei 2018, Mahathir (PM) mengumumkan GST dimansuhkan dan Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengenakan GST pada kadar 0% berkuatkuasa 1 Jun 2018.