11 Oct 2017

Petikan Cerpen Kanak-kanak


Berikut petikan daripada cerpen-cerpen yang terkandung dalam buku Ikan Patin dan Beruang Besar (2017).

Putandu Valtugal

Tiga hari lalu, Pak Cik Neo dan Mak Cik Neo pergi ke Kedah untuk cuba meminjam wang daripada saudara-mara mereka di sana. Abang Peng Soon pula tidak mahu pergi kerana dia tidak mahu ponteng sekolah.

Lalu, Etta mengajak kawannya itu tinggal beberapa hari bersama-sama kami. Amma dan Acha tidak keberatan. Pak Cik Neo dan Mak Cik Neo juga bersetuju. Aku juga gembira kerana Abang Peng Soon seorang yang baik hati. Dia juga mengajar aku bercakap Mandarin.

Ikan Patin dan Beruang Besar

“Wah, besarnya ikan patin ini! Siapa yang tangkap?” Emak bersuara girang seraya mengusap rambut Adik yang masih tertawa dalam pelukan Emak.

“Emak masak untuk makan malam, ya?”

“Baiklah, Kakak. Sekarang Adik perlu menolong Emak menyiang ikan patin ini. Boleh?” Emak bertanya sambil mencubit mesra pipi kiri Adik.

Emak mendukung Adik masuk ke dalam khemah. Saya membawa masuk bakul rotan berisi ikan patin yang Ayah tangkap tadi. Ayah pula duduk di luar khemah sambil mengipas kerana tidak tahan panas.

“Ayah, pasanglah pendingin hawa. Adik juga rasa panas.”

Hadiah Impian

Pada sebelah petang, Amma sedang berbual-bual kosong dengan beberapa orang jiran. Amma menceritakan peristiwa beliau menerima panggilan telefon dari kedai barangan elektrik.

“Mereka sedang membuat promosi dan cabutan hadiah bertuah. Mereka menelefon rumah saya dan mengatakan bahawa kami menang hadiah percuma. Akan tetapi, suami saya tak nak bawa saya untuk ambil hadiah itu,” Amma menceritakan kepada jirannya.

“Kenapa pula? Bukan senang nak dapat hadiah percuma. Mungkin barangan elektrik. Kalau dapat hadiah kecil pun cukup,” kata Mak Cik Maimunah.

“Tapi jangan mudah tertipu. Mungkin kedai itu cuba memaksa kakak membeli barang di kedai mereka,” kata Mak Cik Teoh pula.


Anak Patung Hari Jadi

Dhurga sering menyusun anak-anak patung itu di sekeliling meja kecil tempat dia belajar. Kemudian, kanak-kanak itu akan berpura-pura sedang menikmati jamuan teh bersama-sama anak-anak patung itu.

Dhurga juga sering bercerita kepada anak-anak patungnya. Dia akan menceritakan semula kisah-kisah yang pernah dibaca dalam buku cerita. Dhurga juga selalu bercerita tentang kawan-kawan dan guru-guru di sekolah.

Kadang kala, Dhurga akan mencipta cerita sendiri. Dia akan menggunakan watak ayah, emak, abang dan dirinya sendiri dalam cerita yang direkanya.

Kanak-kanak itu akan bercerita dengan penuh gaya di hadapan anak-anak patung yang disusun di atas katil.

Kad Ucapan untuk Bapa

“Adakah cikgu juga menyambut Hari Bapa?”

Pertanyaan salah seorang murid menyedarkan guru itu daripada lamunan singkat.

“Ya, tentu sekali. Walaupun cikgu sudah dewasa dan sudah bekerja, cikgu tetap menghargai pengorbanan ibu bapa,” Cikgu Selvam mengakui dengan penuh ikhlas.

Murid-murid Tahun Lima di kelas itu mengangguk-angguk dan tersenyum gembira. Mungkin mereka sedang berjanji dalam diri untuk melakukan perkara sama apabila dewasa.

“Cikgu sudah bekerja. Jadi cikgu bolehlah membeli hadiah yang mahal untuk bapa cikgu,” kata Ramanaidu, murid keturunan Telugu yang bertubuh besar tetapi bersopan-santun.

Tunas di Sebuah Ladang

Pada waktu rehat, suasana di SJKT Ladang Siru Kambam mula riuh seperti selalu. Murid-murid makan, bermain, berlari dan berbual-bual rancak menggunakan Bahasa Tamil. Rakan-rakan saya sedang bermain jan jan jala di padang kecil.

Tanpa mengendahkan semua itu, saya menuju ke bilik guru. Beberapa orang guru kelihatan sedang makan sambil berbual-bual. Saya mencari-cari kelibat Cikgu Sharmini yang memakai sari biru.

“Ya, boleh saya bantu?”

Saya berpaling ke arah suara itu, lalu tersenyum gembira melihat Cikgu Sharmini.

“Selamat pagi, cikgu. Saya memang mahu berjumpa dengan cikgu,” saya menyatakan dengan penuh sopan dalam bahasa kebangsaan.


Cikgu Hadebah dan Ramayana

“Wah, banyaknya versi!” Jenny melahirkan rasa kagum.

“Benar, Jenny. Malah, kisah Ramayana terdapat di seluruh dunia dan dalam hampir semua bahasa utama dunia,” guru itu menjelaskan.

Dhurga, Amirul, Jenny, See Hua dan Nathan semakin berminat untuk mendengar apa yang diceritakan oleh Cikgu Hadebah.

“Cikgu memang hebat! Semua benda cikgu tahu,” kata See Hua dengan bangga dan ikhlas.

Cikgu Hadebah masih tersenyum manis.

“Cikgu bukanlah hebat sangat. Cikgu tahu semua perkara ini melalui pembacaan,” kata guru itu.

“Kami juga suka membaca, cikgu,” kata Amirul. “Tadi, oleh sebab hujan, kami berlima bercadang mahu ke perpustakaan. Kebetulan kami lalu di sini dan ternampak cikgu di kantin.”

Juadah Istimewa untuk Datuk

“Atuk tak minum?” Dhurga bertanya seraya memandang ke arah datuk yang masih tekun membaca buku.

“Atuk puasa hari ini,” datuk menjawab sambil tersenyum.

“Puasa? Bulan Ramadan masih jauh lagi, bukan?” Sugan bertanya dengan hairan.

“Atuk puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Puasa ini mengikut sunah Rasulullah,” datuk menerangkan.

“Emak saya selalu berpuasa pada hari Selasa dan Jumaat mengikut budaya Hindu,” Dhurga mencelah. “Kenapa pula atuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis?”

Datuk menutup buku yang sedang dibaca. Kemudian beliau menerangkan serba sedikit mengenai kelebihan umat Islam berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

Sugan, Kee Boon dan Dhurga mendengar dengan penuh minat. Aminah dan Aishah turut menumpukan perhatian.

Kelas Malam di Siru Kambam

“Sejak saya dan Kathiravan saling membantu dalam pelajaran, markah saya dalam subjek Bahasa Tamil semakin baik. Saya pula mampu membantunya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Jadi, saya sangat menyokong cadangan ini,” Jamuna berkata sambil tersenyum bangga.

Kesemua enam kanak-kanak berkenaan bersetuju untuk memulakan sesi belajar secara berkumpulan. Mereka akan mendapatkan izin daripada ibu bapa.

Kemudian, Mary Anne mengemukakan suatu pertanyaan penting yang membuatkan mereka semua terdiam seketika.

“Di mana kita mahu belajar? Rumah kita semua tidak ada ruang khas untuk belajar. Suasana di rumah juga kurang sesuai kerana ada gangguan daripada adik-adik kecil, suara radio atau bunyi televisyen,” Mary Anne menghuraikan isu yang diketengahkannya.

Masing-masing duduk diam dan termenung memikirkan kebenaran kata-kata itu. Suasana di rumah mereka kurang kondusif dan tidak sesuai untuk mengendalikan sesi belajar secara berkumpulan.


Selamat Hari Jadi, Sayang

Pada akhir tahun lalu, ayah kehilangan kerja. Pihak majikan menggunakan keadaan kesihatan ayah sebagai alasan untuk memujuknya berhenti kerja.

“Ekonomi dunia memang sangat teruk sekarang. Bukan ayah seorang sahaja yang dihentikan, tetapi ramai lagi,” kata ayah kepada saya dan abang pada petang beliau menerima notis dihentikan kerja.

Menurut abang, kata-kata ayah memang benar. Banyak kilang dan syarikat ditutup di seluruh dunia. Ramai yang hilang kerja, termasuk di Amerika Syarikat.

Ayah dan emak hanya bekerja di kilang. Kesihatan ayah sedikit terganggu sejak beberapa tahun lalu. Maka, keadaan itu dijadikan alasan untuk meminta ayah berhenti kerja.

“Ayah mahu kamu berdua belajar rajin-rajin. Dapatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran. Belajar tinggi-tinggi dan jadilah pekerja profesional,” pesan ayah.