Saturday, 1 April 2017

Dewan Sastera Jadi Mangsa April Fool?

Apakah majalah Dewan Sastera menjadi mangsa April Fool’s Day sehingga terpedaya untuk menyiarkan data palsu dalam keluaran April 2017?

Saya membeli majalah Dewan Sastera keluaran terbaharu kerana mahu membaca mengenai Saharil Hasrin Sanin yang ditampilkan sebagai “Karyawan Bulan Ini”.

Kejutan yang menarik apabila fokus keluaran ini adalah mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil.

Saya lebih teruja apabila membaca kenyataan bahawa Raja Rajeswari Seetha Raman telah mengedarkan borang soal selidik kepada 60 responden penulis kaum India; iaitu 20 penulis karya Bahasa Malaysia, 20 penulis karya Inggeris, dan 20 penulis karya Tamil.

“Responden dipilih berdasarkan keprolifikan mereka dalam sastera Melayu, sastera Inggeris dan sastera Tamil,” tegasnya dalam esei berkenaan.

Maka, saya selaku pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjadi amat teruja kerana nampaknya ada sekurang-kurangnya 20 lagi penulis kaum India yang aktif dan prolifik menghasilkan karya Bahasa Malaysia!

Untuk makluman, Raja Rajeswari Seetha Raman kononnya telah turut meminta saya mengisi borang soal selidik berkenaan, tetapi kenyataannya itu adalah penipuan dan pembohongan semata-mata.

Saya sebenarnya tidak hairan dengan pembohongan itu kerana saya memang sedia maklum akan modus operandi yang sering digunakannya. [Baca artikel “Interlok dan Tokoh Lidah Bercabang” untuk huraian lanjut.]

Bagaimanapun, saya berasa gembira kerana nampaknya ada ramai penulis kaum India yang aktif menulis karya Bahasa Malaysia, dan mereka telah mengisi dan mengembalikan borang soal selidik yang dijadikan asas bagi penulisan esei dalam majalah Dewan Sastera keluaran April 2017.

Anehnya, menurut Raja Rajeswari Seetha Raman sendiri dalam esei berkenaan, “kecenderungan penulis kaum India yang berkarya dalam bahasa kebangsaan merosot sejak tahun 1990. Daripada angka 27 (orang) pada tahun 1990, angka tersebut merudum kepada 5 (orang) pada tahun 2017. Kini, hanya empat orang penulis yang masih menyumbang secara konsisten dalam sastera kebangsaan, di samping tiga penulis muda yang memperlihatkan kecenderungan yang tinggi untuk menyuburkan persuratan kebangsaan.”

Dalam kertas kerja yang dibentangkan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman di Kota Kinabalu, Sabah pada Ogos 2015, dia menyebut nama “tiga penulis muda” yang dimaksudkannya. Mereka ialah Sanisha Bogaraja, Elavarassan Suppiah, dan Thanusya Shanmuganathan.

Bagaimanapun, apabila saya menghubungi mereka pada 31 Mac 2017, dua daripadanya segera membalas untuk mengesahkan bahawa mereka tidak pernah menerima – apatah lagi mengisi dan mengembalikan – borang soal selidik yang dimaksudkan.

Bagi “empat orang penulis yang masih menyumbang secara konsisten dalam sastera kebangsaan”, Raja Rajeswari Seetha Raman pada Ogos 2015 menyenaraikan nama tiga orang sahaja; iaitu Ramakrishnan Ramasamy, Uthaya Sankar SB dan Raja Rajeswari Seetha Raman. Orang keempat yang dimaksudkan (tetapi tidak disebut) tentulah Saroja Theavy Balakrishnan.

Menerusi esei di Dewan Sastera (April 2017), Raja Rajeswari Seetha Raman mengulas bahawa penulis kaum India yang menulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil sebenarnya “menganuti agama yang sama dan mengamalkan kebudayaan dan kepercayaan yang sama”.

Mungkin dia tidak tahu Sanisa Bogaraja beragama Islam, dan Saroja Theavy Balakrishnan beragama Kristian. Mungkin dia terlalu jahil untuk mengetahui bahawa penulis kaum India juga mengamalkan kebudayaan dan kepercayaan yang berlainan.

Kavyan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menganjurkan Pertemuan Penulis Kaum India Malaysia pada 1 November 2015 untuk mempertemukan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris. Kavyan menyokong serta menggerakkan usaha memupuk perpaduan sambil meraikan kepelbagaian.

Berbalik kepada borang soal selidik tadi, tentulah Raja Rajeswari Seetha Raman tidak mengambil kira borang yang diisinya sendiri. Saya pula tidak pernah dihubunginya untuk meminta mengisi borang berkenaan.

Menurut Raja Rajeswari Seetha Raman, dapatan kajian (analisis data borang soal selidik) “membuktikan bahawa latar belakang pengarang, latar pendidikan, keluarga, tempat kediaman, kerjaya, pergaulan, pembacaan dan sikap mereka menyumbang karya terpecah kepada beberapa kecenderungan yang berlainan.”

Maknanya, data yang dikumpulnya menerusi borang soal selidik yang diedarkan kepada 60 penulis kaum India (20 penulis karya Bahasa Malaysia, 20 penulis karya Tamil, dan 20 penulis karya Inggeris) menjadi asas kepada hujah dan “bukti” yang dikemukakan dalam esei berkenaan.

Untuk berlaku adil, saya segera menghubungi 27 penulis kaum India yang masih hidup dan pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Saya mendapat jawapan segera daripada 22 orang yang mengesahkan mereka tidak pernah menerima borang soal selidik tersebut!

Seorang penulis mengaku ada menerima borang itu menerusi e-mel tetapi tidak sempat mengisinya. Seorang lagi telah mengisi borang itu dan mengirimkannya kembali kepada Raja Rajeswari Seetha Raman menerusi e-mel.

Maka, siapakah 20 penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan menjadi responden kepada borang soal selidik yang diedarkan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman?

Daripada 27 penulis kaum India (penulis karya Bahasa Malaysia) yang saya hubungi pada 31 Mac 2017, hanya seorang mengesahkan telah mengembalikan borang soal selidik kepadanya. Seorang mengesahkan tidak sempat mengisi borang berkenaan. Sejumlah 22 penulis mengesahkan langsung tidak menerima borang soal selidik yang dimaksudkan.

Jadi, siapakah 20 “penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia” yang mengisi dan mengembalikan borang soal selidik tersebut?

Menurut Raja Rajeswari Seetha Raman dalam analisis data terkumpul (dapatan kaji selidik): 18 responden yang menulis karya Bahasa Malaysia itu menerima pendidikan awal di sekolah kebangsaan; 15 responden lahir dan membesar di kawasan pedalaman yang jauh dari pusat bandar; 19 responden membaca akhbar berbahasa Melayu; dan kesemua 20 responden berkhidmat sebagai penjawat di sektor awam.

Amat menghairankan kerana satu-satunya penulis kaum India yang mengaku telah mengisi dan mengembalikan borang kepada Raja Rajeswari Seetha Raman merupakan pekerja sektor swasta. Maknanya, maklumat daripada borangnya tidak diambil kira dalam analisis data – kerana Raja Rajeswari Seetha Raman dalam kajian ilmiahnya mengesahkan kesemua 20 responden yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia adalah kakitangan awam.

Apakah majalah Dewan Sastera keluaran April 2017 menjadi mangsa April Fool’s Day sehingga terpedaya untuk menyiarkan data palsu yang disalurkan secara penuh licik?

Ternyata data hasil soal selidik yang disiarkan mengenai penulis kaum India (khususnya yang menulis karya Bahasa Malaysia) adalah rekaan semata-mata. Sekurang-kurangnya 22 penulis yang masih/pernah menghasilkan karya Bahasa Malaysia (sajak, cerpen, esei, novel) mengesahkan mereka tidak menerima – apatah lagi mengisi – borang soal selidik yang dimaksudkan.

Kavyan yang mengikuti perkembangan penulis kaum India di Malaysia – khususnya mereka yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia – merakamkan rasa kecewa dan terkilan dengan penyiaran data palsu dalam majalah berprestij Dewan Sastera keluaran April 2017. Kavyan sedar bahawa pihak penerbit dan pihak editorial tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini.

Kavyan tidak menolak kemungkinan ada motif tertentu atau alasan tertentu di sebalik tindakan Raja Rajeswari Seetha Raman menyelitkan data palsu dalam esei berkenaan.

Kavyan bimbang kerana data palsu ini bakal menjadi rujukan dan petikan dalam kajian ilmiah (tesis) pada masa hadapan; sekali gus menjadi sumber rujukan yang tidak boleh dipercayai. Hal ini pasti mencemarkan dan menjejaskan kedudukan Dewan Sastera sebagai sumber rujukan yang berprestij, autoratif, dan disegani.

Semoga pihak Dewan Sastera lebih berhati-hati demi memastikan tidak lagi menjadi mangsa penipuan golongan tidak beretika, tidak berintegriti dan tidak bertanggungjawab.

Kavyan juga menyeru para pengkaji akademik supaya tidak melakukan kesilapan dengan mengambil maklumat palsu daripada esei berkenaan sebagai sumber rujukan dalam mana-mana kajian akademik atau separa ilmiah.

Sama-samalah kita membanteras penyebaran maklumat dan data palsu yang menjejaskan kredibiliti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) amnya dan majalah Dewan Sastera khasnya.

Catatan: Seorang daripada 27 penulis terbabit, Thanusya Shanmuganathan, menghubungi saya pada 1 April 2017 (selepas catatan ini disiarkan) untuk memaklumkan bahawa beliau sebenarnya ada menerima borang soal selidik tersebut, namun beliau tidak dimaklumkan bahawa soal selidik itu adalah untuk kajian bagi artikel Dewan Sastera. “Saya terkeliru sebab ingat soal selidik ini untuk tujuan lain,” katanya. Tambahan pula, Thanusya bukan kakitangan awam. Seorang lagi penulis, Ramakrishnan Ramasamy, yang mengaku telah mengisi dan mengembalikan borang kepada Raja Rajeswari Seetha Raman juga bukan kakitangan awam.

Baca Juga: [Sasterawan Kavyan - Bahagian 1] - [KS Maniam Slams Dewan Sastera] - [Rani Manicka's Story] - [Laporan Polis Terhadap Raja Rajeswari] - [Bukti Kukuh Raja Rajeswari Menipu] - [Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme] - [Reaksi Khalayak Terhadap Esei Raja Rajeswari