Tuesday, 28 March 2017

Rabia Salam dan Ramanathan

Dalam catatan lalu bertajuk “Kematian Rabia Undang Persoalan” (21 Mac 2017) dinyatakan bagaimana mesyuarat khas Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) pada 23 Mac 1994 sebulat suara bersetuju menggantung keahlian C. Ramanathan susulan siasatan kes pencabulan dan meramas buah dada ke atas beberapa atlet wanita semasa persiapan skuad negara ke Kejohanan Remaja Asia di New Delhi, India pada 1992.

Laporan media pada 16 April 1994 pula memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang mengesahkan bahawa polis sudah menerima laporan bedah siasat berhubung kematian Rabia Salam.

Memandangkan kes kematian Rabia Salam disenyapkan sahaja selepas itu, kisah sebenar terus menjadi misteri sehingga kini. Timbul pelbagai spekulasi dan khabar angin. Kesemuanya tidak dapat dipatahkan dengan hujah, kerana pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kematian atlet berkenaan.

Timbul juga pertanyaan: Apakah ada sebarang kaitan antara kematian Rabia Salam dengan kes pencabulan dan meramas dada melibatkan seorang jurulatih kebangsaan? Apakah ada kaitan C. Ramanathan dengan misteri kematian Rabia Salam?

Seperti diakui presiden Persatuan Atlet Kebangsaan Malaysia (NAMA), S. Muthiah dalam laporan akhbar pada 24 Mac 1994, “Selama ini, atlet olahraga negara tidak pernah mempunyai tukang urut profesional dan semua tugas mengurut sering dilakukan oleh jurulatih masing-masing.”

Seorang atlet biasanya mempunyai seorang jurulatih peribadi dan seorang jurulatih padang. Hubungan C. Ramanathan selaku jurulatih dan Rabia Salam selaku atlet yang dilatih dikatakan memang rapat.

Sebuah buku yang terbit pada Mei 1994 memetik pandangan seorang individu yang hanya dikenali sebagai “teman seangkatan Allahyarham Rabia”. Menurutnya, hubungan antara jurulatih peribadi dan atlet boleh diibaratkan seperti “pasangan kekasih yang asyik dilamun cinta”.

C. Ramanathan
“Ke mana sahaja atlet itu pergi, pastinya jurulatih peribadinya akan turut bersama. Makan bersama, ke padang bersama, bilik rehat bersama, masa latihan bersama dan kalau ada masalah pun bercerita bersama. Ada juga atlet ke bandar ditemani jurulatih peribadi. Bukankah perbuatan ini tidak ubah seperti pasangan kekasih,” kata-katanya dipetik dalam sebuah buku khas yang membicarakan misteri kematian Rabia Salam.

Rabia Salam lahir pada 5 November 1973 di Air Itam, Pulau Pinang dan merupakan anak keenam daripada lapan adik-beradik. Anak kepada buruh kilang bijih timah ini mula bergiat dalam sukan olahraga pada usia sebelas tahun.

Walaupun pada mulanya Rabia Salam diejek rakan-rakan di Sekolah Rendah Perempuan Methodist kerana kaki kirinya lebih pendek daripada kaki kanan, beliau berjaya membuktikan kehebatan dalam sukan olahraga pada peringkat daerah dan negeri.

Bakat dan kehebatannya semakin terserlah apabila menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Perempuan Methodist. Rabia Salam diangkat sebagai Olahragawati Terbaik Pulau Pinang pada 1991 dan Olahragawati Terbaik Selangor pada 1992.

Bakat olahraganya diasah oleh jurulatih S. Ramachandren sehingga Rabia Salam menjadi ratu trek, khususnya dalam acara 400 meter dan 800 meter sejak berumur 12 tahun.

Bagaimanapun, semasa berumur 15 tahun, Rabia Salam sering menjalani latihan di Kuala Lumpur. Peluangnya untuk dilatih oleh S. Ramachandren di Pulau Pinang semakin berkurangan. Sebaliknya, Rabia Salam mula menerima latihan daripada C. Ramanathan, seorang jurulatih berpengalaman pada peringkat kebangsaan.

Dipendekkan cerita, KOAM menyerap Rabia Salam ke dalam skuad negara dan C. Ramanathan diberikan tanggungjawab khas melatih Rabia Salam di bawah Program Pusat Kecemerlangan Atlet sebagai persediaan menjelang Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Menurut “teman seangkatan Allahyarham Rabia”, memang ada atlet olahraga wanita yang terlibat dalam skandal percintaan dengan jurulatih peribadi.

“Bagi mereka, jurulatih peribadi adalah segala-galanya. Semua masalah dan persoalan yang merungsingkan, pasti akan disuarakan kepada jurulatih. Saya tidak menolak dakwaan atlet terlibat dalam kancah tersebut, lebih-lebih lagi kes pencabulan,” kata individu berkenaan.

Pada awal tahun 1994, mula tersebar berita kononnya beberapa atlet wanita dicabul jurulatih. Memang ada desas-desus (cakap-cakap) pada waktu itu yang mengaitkan nama C. Ramanathan. Memandangkan lelaki itu merupakan jurulatih peribadi Rabia Salam, tentulah ada juga cakap-cakap orang tentang hubungan mereka berdua.

Menurut sumber beberapa atlet dan pemain bola sepak yang mengenalinya, Rabia Salam menjadi amat pendiam sejak tersebar berita tentang kes atlet wanita dicabul jurulatih.

Khalid Yunus
Kemudian, seperti dilaporkan di akhbar (28 Februari 1994), Rabia Salam yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai kerani United Malaysia Bank Corporation (UMBC) mengadu sakit perut dua jam selepas berbuka puasa pada 24 Februari 1994, dan C. Ramanathan sendiri membawanya dari rumah sewa (pangsapuri) di Bandar Baru Bangi ke Hospital Kajang.

“Saya tidak tahu bagaimana Rabia menemui kematiannya,” kata C. Ramanathan sebagai menjawab pertanyaan pemberita pada 13 Mac 1994. “Saya seorang jurulatih yang baik sehingga kini dan menikmati kehormatan yang tinggi di negara ini.”

Katanya, Rabia Salam menjalani latihan seperti biasa pada petang 24 Februari 1994, sebelum berbuka puasa dengan keluarganya di Kajang, Selangor. Pengakuan ini disiarkan sebuah akhbar pada 27 Februari 1994.

Susulan kematian Rabia Salam pada 25 Februari 1994, ada juga khabar angin mengatakan C. Ramanathan berhajat mendapatkan beberapa peratus daripada hadiah wang tunai yang dimenangi oleh Rabia Salam.

Pada 23 Februari 1994, Rabia Salam menerima hadiah wang tunai RM11,000 daripada Menteri Belia dan Sukan waktu itu, Abdul Ghani Othman sebagai mengiktiraf pencapaian dan sumbangannya dalam menaikkan mutu sukan negara.

“Itu tidak benar (dakwaan mahu mendapatkan beberapa peratus hadiah wang),” kata C. Ramanathan kepada wartawan, seperti dilaporkan media pada 13 Mac 1994. Menurutnya, beliau melatih Rabia Salam sejak ratu trek itu berusia 16 tahun dan telah membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk menjaganya, memastikan tempat tinggalnya dan makan-minumnya.

“Saya menganggapnya sebagai anak sendiri. Saya terkejut kerana dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini,” kata C. Ramanathan sewaktu mengulas tragedi kematian Rabia Salam, seperti dipetik sebuah akhbar pada 27 Februari 1994.

Rabia Salam mempunyai seorang kekasih yang hanya dikenali sebagai Ali. Pemuda itu yang bekerja di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Lumpur dikatakan selalu mengiringi Rabia Salam sewaktu ratu trek itu menjalani latihan.

Keluarga kedua-dua pihak maklum tentang hubungan cinta itu. Malah, perkahwinan Ali dan Rabia Salam dirancang untuk diadakan hanya selepas Sukan Komenwel 1998; agar tumpuan penuh dapat diberikan oleh Rabia Salam kepada usaha memungut pingat emas bagi negara dalam beberapa acara yang bakal disertai.

Malangnya, pada Februari 1994, Rabia Salam mengambil nyawa sendiri dengan meminum minyak kuda yang biasanya digunakan oleh atlet untuk mengurut kaki.

Agak menghairankan juga mengapa seorang ratu trek yang semakin memuncak namanya tergamak berbuat demikian. Tambahan pula, Rabia Salam seorang yang taat pada agama.

Ada khabar angin mengatakan dia mengandung. Penjaga kubur bernama Pak Hassan turut berkongsi kisah itu dengan wartawan yang mengunjungi rumahnya di Jalan Perak, Pulau Pinang. Khabarnya, Rabia Salam meminum minyak kuda untuk menggugurkan kandungan, tetapi telah meragut nyawanya pula.

Keluarga Rabia Salam juga tidak tahu punca sebenar kematian. Seperti diakui ayah mendiang, Abdul Salam Monna Mohamed, pada Mac 1994, kesemua dokumen kematian Rabia Salam disimpan oleh presiden KOAM pada waktu itu, Datuk Khalid Yunus.

“Kami tidak menyimpan apa-apa surat (laporan kematian dan laporan bedah siasat) mengenai kematian anak perempuan kami,” kata Abdul Salam sewaktu ditemui wartawan pada masa itu.

Saya sedang terus berusaha mengumpulkan lebih banyak maklumat dari pelbagai sumber untuk mendapatkan jawapan kepada misteri kematian Rabia Salam. Pasti ada individu yang ada maklumat penting untuk dikongsi.

Semoga ada pihak yang sudi menghubungi saya menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya untuk berkongsi sebarang maklumat yang boleh membantu menjawab misteri di sebalik kematian Rabia Salam. Seperti biasa, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.