Sunday, 1 January 2017

Anwar dan Dong Jiao Zong

Menteri Pendidikan Anwar Ibrahim berulang-ulang kali mengkritik dan dengan keras mengecam Dong Jiao Zong. Misalnya, dalam satu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 23 September 1990, Anwar Ibrahim mengecam bahawa “ada segelintir golongan pendidik Cina di negara ini masih tidak mengikuti Perlembagaan Persekutuan dan tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta Islam sebagai agama rasmi, walaupun kita sudah mencapai kemerdekaan lebih 30 tahun”.

Pada 24 November 1990, semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Guru-guru Melayu Semenanjung Malaysia di Kuala Lumpur, Anwar mengutuk GPGSCM [Gabungan Persatuan-persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia] kerana mengemukakan surat bantahan yang berturut-turut terhadap peruntukan RUUP 1990 [Rang Undang-undang Pendidikan 1990] kepadanya. Katanya, “ada segolongan bukan Melayu sedang mempergunakan isu Akta Pendidikan untuk menghasut sentimen perkauman demi mencapai matlamat membantah akta tersebut”.


Sementara itu, semasa menjawab pertanyaan daripada Lim Kit Siang di Dewan Rakyat pada 8 Januari 1991, Anwar Ibrahim mengecam Dong Jiao Zong sebagai “tidak bertanggungjawab dan biadab” kerana telah menyerang sikap dan dasar Kementerian dalam surat-surat mereka, misalnya menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama serta mengekalkan konsep agama Islam sebagai konsep yang utama dalam sistem pendidikan serta membantah cadangan untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa yang digunakan dalam MPAP [Majlis Perundingan Akta Pendidikan].

Malahan Anwar Ibrahim membidas Dong Hiao Zong sebagai satu gabungan pelampau Cina yang menggunakan persatuan untuk menyerang Dasar Pendidikan Kebangsaan dan merendahkan kedudukan serta darjat kemuliaan bahasa di negara ini.

Selanjutnya, apabila merasmikan Pesta Pendidikan Universiti Malaya pada 7 Februari 1991 pula, Anwar Ibrahim sekali lagi mengkritik Dong Jiao Zong mempunyai “pemikiran perkauman yang sempit” dan dapat menjadi kuat kerana disokong oleh para intelek. Tambah beliau lagi, sikap Dong Jiao Zong ini adalah penghalang kepada perkembangan pendidikan di negara ini. Beliau bertegas bahawa cadangan dan pandangan kedua-dua persatuan itu [Dong Jiao Zong dan Hua Tuan] tidak akan diterima oleh pihak kerajaan.

Maklumat lanjut boleh dibaca dalam buku SRJK (Cina) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan Kontroversi (2005) terbitan Penerbit Universiti Malaya. Hubungi uthayasb@yahoo.com.my jika anda berminat membeli buku ini. Tonton [VIDEO] hubungan intim Najib-Dong Zong sebelum PRU-13.