16 Jun 2016

Rakyat Malaysia Bantah “Bukan Islam”

Baru-baru ini, timbul isu pemaparan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ramai orang berkongsi isu berkenaan di media sosial (khasnya Facebook) dan meluahkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan LP dan KPM.

LP dalam kenyataan media bertarikh 14 Jun 2016 mengatakan bahawa amalan menulis “Bukan Islam” pada slip peperiksaan bagi calon “Bukan Melayu” yang menduduki peperiksaan dilaksanakan sejak 2005.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menerusi kenyataan di Facebook pada 14 Jun 2016 memberikan alasan kononnya status “Bukan Islam” diletak pada slip peperiksaan bagi memastikan calon yang mengambil subjek Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral diberikan kertas soalan yang betul. [The question “Bukan Islam” is applicable for the “Pendidikan Islam or Pendidikan Moral” subject to ensure the right question paper is given to those sitting for this subject.]

“Pihak LP bersedia mempertimbang untuk melaksanakan perubahan dan penambahbaikan paparan pada Kenyataan Kemasukan Peperiksaan SPMU yang akan datang setelah mendapat persetujuan Pengurusan Tertinggi KPM,” kata kenyataan media LP (14 Jun 2016).

Pada pendapat saya sebagai presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya, pandangan orang ramai perlu diberikan perhatian serius sebelum Pengurusan Tertinggi KPM dan LP mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

Bagi memudahkan proses mengumpulkan pandangan orang ramai, saya menyediakan borang yang boleh diisi dalam talian (online) di http://kavyanregistrationbeta.yolasite.com/kpm.php [BACA CATATAN DI BLOG]

Masyarakat pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara berpeluang mengisi borang itu dari 12:00 tengah hari, 15 Jun 2016, hingga 12:00 tengah hari, 16 Jun 2016; iaitu dalam tempoh 24 jam.

Tiga pilihan yang diberikan adalah:

(1) Kekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi calon Bukan Melayu. Tiada sebarang masalah.  

(2) Nyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”, “Buddha”, “Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon. Barulah adil.  

(3) Mansuhkan terus pemaparan agama pada slip peperiksaan semua calon. Tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam konteks peperiksaan. Alasan kononnya pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah bagi memastikan kertas soalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak tersilap diberikan kepada calon adalah amat tidak logik dan tidak boleh diterima akal rasional.

Saringan dan semakan dilakukan secara teliti bagi memastikan tidak ada lebih daripada satu borang daripada individu yang sama. Hanya borang yang lengkap dengan nama, dan nombor telefon atau e-mel, diambil kira.

Dalam tempoh 24 jam berkenaan, iaitu sehingga 12:00 tengah hari, 16 Jun 2016, sejumlah 565 borang diterima daripada orang ramai (responden) yang prihatin terhadap isu yang diperkatakan.

Tidak ada seorang pun responden memilih untuk mengekalkan “Bukan Islam” sebagai agama pada slip peperiksaan bagi calon Bukan Melayu.

Hal ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, etnik dan agama di seluruh negara membantah serta tidak bersetuju dengan tindakan LP dan KPM meletakkan status “Bukan Islam” pada slip peperiksaan.

Sekitar 10% individu yang mengemukakan pandangan meminta supaya LP dan KPM berlaku adil dengan menyatakan agama sebenar (misalnya “Hindu”, “Kristian”, “Buddha”, “Sikh” dan “Islam”) pada slip peperiksaan bagi semua calon.

Hampir 90% rakyat Malaysia yang mengemukakan pandangan meminta supaya dimansuhkan terus pemaparan agama pada slip peperiksaan semua calon.  Hal ini kerana tidak timbul keperluan untuk menyatakan agama dalam konteks peperiksaan.

Alasan kononnya pemaparan “Islam” dan “Bukan Islam” adalah bagi memastikan kertas soalan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak tersilap diberikan kepada calon adalah amat tidak logik dan tidak boleh diterima akal rasional.

Maka, saya selaku individu yang menyediakan borang dalam talian (online) bagi mengumpulkan pandangan orang ramai mahu mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili para responden pelbagai kaum dan agama dari seluruh negara bahawa:

Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mana-mana pihak perlu menghentikan segera amalan meletakkan status “Bukan Islam” pada slip peperiksaan dan mana-mana dokumen rasmi.

Saya mewakili para responden meminta kerjasama pihak media menyiarkan pandangan ini untuk makluman umum. [BACA BERITA DI BERITA DAILY] [BACA RENCANA DI ROKETKINI]

Saya juga akan menulis surat rasmi kepada Menteri Pendidikan dan Pengarah Peperiksaan berhubung perkara ini untuk tindakan lanjut; serta bersedia mengatur pertemuan dengan mereka untuk perbincangan lanjut.

Wakil media yang mahu melihat borang-borang yang diisi oleh para responden sila hubungi saya kerana saya bercadang mengatur satu sesi khas bersama-sama wakil media pada petang Ahad, 19 Jun 2016 di Shah Alam; sekiranya ada permintaan dan janji temu.