2 Feb 2016

Dr Rajendran Ada Data Empirikal?

Saya sepatutnya bertemu penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil (PTST), Dr NS Rajendran pada 28 Januari 2016.

Pertemuan ini berikutan beberapa pendedahan yang dilakukan menerusi makalah bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016) yang mendapat reaksi negatif dan kecaman hebat pelbagai pihak – RUJUK DI SINI.

Saya menulis sepucuk surat dan mengirimnya menerusi e-mel kepada Dr Rajendran pada 23 Januari 2016. Kandungan penuh e-mel itu juga tersiar sebagai “Surat Terbuka Kepada Dr Rajendran” (The Malaysian Insider, 23 Januari 2016).

Petikan kandungan e-mel balas yang diterima daripada Dr Rajendran pada 27 Januari 2016:

Sukacita dimaklumkan bahawa PTST bersetuju mengadakan pertemuan ini berdasarkan syarat berikut:

1. Tarikh dan masa pertemuan perlu diadakan akan ditentukan oleh PTST memandangkan tarikh dan masa yang dicadangkan adalah tidak sesuai bagi PTST.

2. Saudara Uthaya harus membentangkan bukti yang sahih dan data empirikal untuk mempertahankan 10 perkara yang telah dikemukakan dalam artikel beliau.

Saya membalas dengan segera:

Saya bersetuju dengan syarat pertama, tetapi TIDAK bersetuju dengan syarat kedua. Pihak PTST yang mahu membuktikan hujah/pendedahan saya tidak benar, maka beban tidak terletak pada saya, sebaliknya pada PTST.

Balasan berikut diterima sekitar 30 minit kemudian daripada Dr Rajendran:

PTST memang memiliki data sahih dan empirikal untuk menangkis setiap 10 perkara yang telah diutarakan berkaitan SJKT oleh saudara. PTST memang bersedia untuk membentangkannya dalam pertemuan. Walau bagaimanapun, sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menghasilkan artikel yang mengutarakan 10 perkara itu dan pihak saudara yang telah memaklumkan bahawa pihak saudara memang memiliki data sahih untuk menjustifikasikan segala tuntutan tersebut, maka adalah wajar pihak saudara memberikan data sahih dan empirikal ini dan bukan data “hear-say” semata-mata dalam pertemuan ini terlebih dahulu sebelum pihak PTST memberikan data sahih bagi setiap 10 perkara ini.

Jawapan saya seperti berikut:

Jika demikian, sepatutnya PTST yang mengirim e-mel atau surat mengarahkan saya hadir untuk bertemu atas alasan saya telah menipu dalam makalah saya. Saya nantikan surat demikian.

Sehingga catatan ini ditulis, belum ada reaksi balas daripada Dr Rajendran. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berkaitan kes ini.