21 Feb 2016

Apabila Si Kafir Berbicara

Satu-satunya perkara yang saya tidak suka mengenai kumpulan esei ini adalah penggunaan perkataan “kafir” pada judul.

Dalam acuan Islam, terdapat “kafir majusi” (orang bukan Islam yang menyembah api), “kafir zimmi” (orang bukan Islam yang tunduk kepada pemerintahan Islam), dan “kafir muahad” (orang bukan Islam yang tidak melawan umat Islam).

Namun, dalam konteks Malaysia di mana pemahaman ajaran sebenar Islam masih hanya pada permukaan, “kafir” sering membawa makna negatif, dipandang hina, serta dianggap sebagai musuh Islam.

Buku Aku Kafir, Kau Siapa? (2015) adalah kumpulan esei sulung Ooi Kok Hin, pemuda yang berasal dari Pulau Pinang dan graduan The Ohio State University, Columbus, Amerika Syarikat.

Untuk beberapa waktu, pemuda ini berbangga memperkenalkan dirinya sebagai “kafir” menerusi laman rangkaian sosial; mungkin bagi mempromosikan bukunya.

Buku setebal 189 halaman ini diterbitkan DuBook Press dan merupakan buku sulung seorang penulis Bukan Melayu bagi penerbit indie ini.

Saya kagum dengan kemampuan Ooi Kok Hin menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Beliau juga menulis kolum mingguan di The Malaysian Insider menggunakan Bahasa Inggeris.

Seperti dinyatakan Fuad Rahmat pada bahagian prakata, pendekatan yang digunakan Ooi Kok Hin berjaya menggabungkan kisah/pengalaman peribadi dengan kisah/isu seputar Malaysia.

Walaupun penulis merendahkan kedudukan dengan menggelar dirinya “kafir”, isu-isu yang disentuh menerusi 32 esei dalam buku ini menunjukkan pandangan kritis yang dimiliki terhadap pelbagai perkara yang tidak berani diperkatakan penulis arus perdana.

Penulis membahagikan bukunya kepada tiga bahagian, iaitu esei-esei berkaitan kemelut pendidikan dan universiti tempatan; persoalan agama dan kebebasan; serta politik yang tidak hanya terhad kepada parti.

Penulisannya sering bermula dengan pengalaman diri dan berciri autobiografi. Maknanya, Ooi Kok Hin bercakap dan membahaskan isu-isu yang berada di sekelilingnya.

Pendekatan ini membuatkan tulisannya lebih meyakinkan dan pembaca tahu pemuda ini bercakap dari hati; bukan sekadar mengkritik dari jauh.

Pengalaman Ooi Kok Hin bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama sejak kecil memungkinkan sudut pandangnya dalam banyak hal memiliki kepelbagaian dimensi.

Penulisannya tidak berciri memaksa orang menerima hujah-hujah yang dikemukakan. Sebaliknya, pemuda ini hanya bercerita berdasarkan pengalaman dan pandangan peribadi; terpulang kepada pembaca untuk menerima atau menolak apa-apa yang diperkatakan.

Dalam soal sekolah satu aliran, nampaknya saya dan Ooi Kok Hin mempunyai pandangan hampir sama. Sering kali orang mahu sekolah vernakular (Tamil dan Cina) beralih kepada penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Akan tetapi, kelompok sama akan berpura-pura tidak menyedari hakikat kewujudan sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Mara yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Kemelut perkauman dan prejudis kaum yang sebenarnya ditanam dan dibajai sehingga menjadi subur sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri turut dibahaskan pemuda ini.

Kelompok penulis Bukan Melayu yang hidup dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama, serta menguasai lebih daripada dua bahasa, sebenarnya memiliki kemampuan lebih baik dalam mengungkapkan isu-isu berkaitan Bangsa Malaysia.

Saya melihat Ooi Kok Hin sebagai salah seorang penulis muda yang memiliki kelebihan itu. Para pembaca yang khatam kumpulan esei beliau akan menyedari hakikat ini.

Pada penelitian Ooi Kok Hin, jurang antara manusia bukannya perbezaan kaum atau agama; sebaliknya kedudukan sosio-ekonomi.

Pengalaman belajar di sekolah kebangsaan di Pulau Pinang, kolej matrikulasi di Banting, kolej swasta di Subang Jaya, dan seterusnya universiti di Amerika Syarikat membuka mindanya untuk mampu melihat pelbagai isu dari sudut yang berbeza.

Isu agnostik dan LGBT yang dianggap terlalu sensitif untuk ditulis menggunakan bahasa kebangsaan turut disentuh presiden Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) ini.

Sekiranya anda ingin membaca esei-esei yang mencabar minda dan disampaikan pula menggunakan teknik bervariasi dan Bahasa Malaysia santai, maka buku Aku Kafir, Kau Siapa? wajar dicari.

[Ulasan ini ditulis pada 14 Februari 2016 dan versi ringkas disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 Februari 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Sila KLIK DI SINI untuk membaca lebih banyak ulasan buku.]