9 Feb 2016

Kelemahan SJKT Bukan Imaginasi

Apabila saya mengetengahkan 10 kelemahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerusi makalah bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016), saya dituduh “pengkhianat” oleh akhbar Tamil Nesan (13 Januari 2016). [RUJUK MAKLUMAT PENUH DI SINI]

Anehnya, antara perkara yang diketengahkan menerusi makalah saya bukanlah hal-hal baharu. Malah, turut diperkatakan orang menerusi tulisan Tamil; sama ada di blog atau Facebook.

Misalnya, menerusi makalah saya pada 12 Januari 2016, ditegaskan “MIC wajar memastikan semua pemimpin parti itu menghantar anak ke SJKT. Jangan hanya pandai berkempen kepada masyarakat tetapi anak cucuk tidak dihantar ke SJKT!”

Isu sama sebenarnya sudah diperkatakan seorang penulis dan ahli Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Sundar Raj Krishnan menerusi Facebook pada 7 Januari 2016.

Katanya, pemimpin kita (politikus MIC) perlu menjadi contoh utama dengan menghantar anak-anak mereka ke SJKT.

Pandangan itu disukai (like) 27 orang, termasuk presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Mannar Mannan Maruthai.

Suppiah Subramaniam menulis komen yang antara lain menyebut perlunya aspek pembelajaran dan pengajaran di SJKT ditingkatkan dahulu sebelum memujuk orang menghantar anak-anak ke sana.

“Sejak Tun Sambanthan hingga pemimpin MIC sekarang, Dr Subramaniam, seorang pun tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil. Kita jangan musnahkan hidup kita dengan mempercayai pengkhianat kaum India seperti mereka,” kata Suppiah.

Dalam pada itu, hampir 30% murid SJKT yang mengambil subjek Bahasa Tamil dalam UPSR didapati meminggirkan subjek berkenaan apabila melangkah ke sekolah menengah.

Kelompok yang kononnya memperjuangkan sekolah Tamil dan pendidikan Tamil juga mengambil sikap tidak peduli. Akibatnya, kini timbul pertanyaan tentang masa depan pendidikan Tamil di Malaysia.

Demikian antara kebimbangan yang diluahkan oleh Patchaibalan Nadarajah, guru dan penulis buku rujukan SPM Tamil Ilakiyam (“Sastera Tamil SPM”) menerusi catatan di blognya pada 29 Mac 2015. [RUJUK DI SINI]

Penulis Tamil dan guru SJKT, Balamurugan Kesavan turut memperkatakan mengenai isu yang berlaku di depan mata sewaktu mengulas makalah “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita”.

“Berapa ramai politikus yang menggesa ibu bapa kaum India menghantar anak-anak ke SJKT bertindak menghantar anak-anak mereka sendiri ke sekolah Tamil?” Balamurugan bertanya menerusi catatan di blognya pada 13 Januari 2016. [RUJUK DI SINI]

Penulis itu turut mengaku sekolah Tamil perlu memberikan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Malaysia bagi murid-murid SJKT sebagai persiapan apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.

Sementara itu, pencinta Bahasa Tamil dan ibu bapa sekitar Chaah, Johor menyelar tindakan sebahagian guru besar dan guru-guru SJKT yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil.

Akhbar Malaysia Nanban (24 Januari 2016) melaporkan kenyataan yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Chaan, Gunasegaran menyelar sikap hipokrit itu.

“Dalam pada akhbar dan stesen radio Tamil menjalankan kempen memujuk ibu bapa menghantar anak-anak ke SJKT, ibu bapa di sekitar Chaah marah dengan sikap sejumlah guru besar dan guru SJKT yang menghantar anak-anak ke sekolah lain,” akhbar Tamil itu melaporkan.

Menurut Gunasegaran, apabila PIBG membuat kempen dalam kalangan kaum India di kawasan berkenaan, ibu bapa mengemukakan bukti menunjukkan kepincangan yang berlaku.

“Apakah guru besar dan guru-guru SJKT tidak yakin pada sekolah Tamil? Atau mereka tidak lagi yakin pada sistem pendidikan di SJKT?” Gunasegaran bertanya.

Katanya, guru besar dan guru-guru sekolah Tamil yang bersikap hipokrit dengan tidak menghantar anak-anak ke SJKT wajar melepaskan jawatan.

Persoalan mengenai mengapa guru-guru SJKT tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil turut disiarkan sebuah akhbar Tamil pada hujung Disember 2015.

Seorang guru memberitahu saya bahawa SJKT tempat dia mengajar mempunyai 30 guru dan 19 daripadanya menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan (SK). Guru besar sekolah itu sendiri menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)!

Apabila 10 isu berkaitan SJKT diketengahkan menerusi makalah saya, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dilaporkan berkata, “tidak ada satu pun kes seumpama itu berlaku di SJKT”.

Akhbar Malaysia Nanban (14 Januari 2016) memetik penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Dr NS Rajendran bertanya, “Apakah Uthaya tidak tahu tentang kejayaan murid-murid SJKT?”

Malah, menerusi e-mel bertarikh 27 Januari 2016, Dr Rajendran menegaskan, “PTST memang memiliki data sahih dan empirikal untuk menangkis setiap 10 perkara yang telah diutarakan berkaitan SJKT oleh saudara.” [RUJUK DI SINI]

Entah apa “data sahih dan empirikal” yang dimiliki PTST kerana sejak makalah saya tersiar pada 12 Januari 2016, semakin ramai guru, bekas guru, ibu bapa, bekas murid dan murid SJKT tampil berkongsi maklumat yang membuktikan kebenaran pendedahan saya.

Pelbagai isu dan masalah tambahan juga dikemukakan. Misalnya isu kekurangan buku rujukan, seperti diperkatakan dalam makalah “Buku Rujukan dan Dilema SJKT” (The Malaysian Insider, 9 Februari 2016).

Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung isu ini.