5 Jan 2016

SK Convent Aulong Perlukan Perhatian


Sementara stesen radio Tamil milik swasta dan kerajaan, akhbar-akhbar Tamil dan Timbalan Menteri Pelajaran sedang giat memujuk serta memaksa ibu bapa kaum India wajib menghantar anak-anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), saya dan rakan-rakan pula sedang mengusahakan bantuan bagi sekumpulan murid kurang mampu di sebuah Sekolah Kebangsaan (SK).

Pada 20 November 2015, saya diundang merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan di SK Convent Aulong, Taiping iaitu alma mater di mana saya dan adik-beradik pernah belajar pada tahun 70-an dan 80-an.

Ramai yang hairan bagaimana saya belajar di sebuah sekolah Convent. Sebenarnya, terdapat dua sekolah Convent yang mempunyai murid lelaki dan perempuan, iaitu di satu di Tanah Rata, Cameron Highlands, dan satu lagi di Aulong, Taiping.

Hasil perbualan dengan guru besar SK Convent Aulong, Encik Sandrasageran Periasamy, saya mendapati terdapat sekurang-kurangnya 32 murid daripada keluarga miskin yang memerlukan bantuan bagi membayar yuran PIBG, membeli buku tulis, alat tulis, pakaian seragam, kasut, stokin dan pakaian pendidikan jasmani.

Sebagai individu yang juga datang daripada keluarga miskin, saya amat memahami kesempitan dan kesukaran yang dialami keluarga dan murid-murid terbabit.

Rekod menunjukkan kehadiran murid ke sekolah juga kurang memuaskan; termasuk akibat kesempitan hidup dan keadaan sosio-ekonomi ibu bapa, selain kurang kesedaran kepentingan pelajaran.

Semasa Hari Anugerah Kecemerlangan, saya menghadiahi murid-murid dan para guru dengan buku cerita kerana sebagai seorang penulis sepenuh masa – serta pengalaman sendiri semasa kanak-kanak – satu cara mudah meningkatkan prestasi di sekolah adalah dengan banyak membaca buku cerita.

Saya turut berjanji kepada guru besar untuk cuba mendapatkan sumbangan bagi membantu kesemua 32 murid miskin pelbagai kaum yang sudah dikenal pasti.

Prestasi akademik dan kokurikulum murid-murid SK Convent Aulong tidaklah sehebat sekolah-sekolah lebih terkenal dan terkemuka di bandar Taiping, Perak.

Akan tetapi, sebagai anak kelahiran Aulong Lama dan bekas murid SK Convent Aulong, saya sedar akan potensi yang ada pada murid-murid dan sekolah berkenaan.

Masih Terpinggir, Dianggap Sekolah Mubaligh

Tambahan pula, hasil tinjauan mendapati Sandrasageran (yang bertugas di sekolah ini sejak Disember 2014) dan para guru amat komited dalam membimbing serta mendidik murid-murid pelbagai kaum di sekolah ini.

Mengikut data pada November 2015, terdapat hanya 135 murid iaitu 96 kaum India, 34 Melayu dan 5 Cina.

Pada tahun 2015, tiada murid mendapat 5A dalam UPSR, sementara hanya 10 daripada 18 murid lulus ujian itu.

Pelbagai foktor menyumbang kepada keadaan ini. Antaranya, kedudukan sosio-ekonomi yang rendah, kurang suntikan motivasi, ibu bapa kurang berpelajaran, serta persekitaran kurang kondusif.

Memandangkan majoriti murid adalah kaum India, bahasa ibunda banyak digunakan dalam komunikasi, termasuk di sekolah. Perkara ini amat berbeza dengan zaman saya belajar di sini dahulu.

Walaupun para guru sangat dedikasi, kerjasama pihak luar diperlukan untuk membantu murid-murid sekolah ini membina keyakinan diri dan cemerlang dalam hidup, serta mencintai bahasa kebangsaan.

Menurut Sandrasageran, para guru, PIBG, ibu bapa dan murid-murid sedia memberikan kerjasama jika ada pihak luar yang sudi mengendalikan program khas bagi mereka.

Agak menarik untuk diperhatikan, sekolah ini yang diasaskan pada Oktober 1954 masih lagi dikategorikan sebagai “sekolah mubaligh” walaupun sudah bertukar daripada sekolah rendah kebangsaan(SRK) kepada SK.

Akibatnya, bantuan yang diterima oleh SK Convent Aulong daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak sama seperti dinikmati SK lain.

Serangan anai-anai menjadi salah satu masalah besar kerana sebahagian besar bangunan sekolah masih menggunakan kayu. Wang sekitar RM9,000 diperlukan untuk perkhidmatan membasmi anai-anai.

Saya percaya, Timbalan Menteri Pelajaran, P. Kamalanathan yang sibuk berkempen di stesen radio MinnalFM (Tamil) menyeru ibu bapa kaum India wajib menghantar anak-anak ke SJKT tidak menyedari hakikat kewujudan majoriti murid kaum India di SK Convent Aulong.

Program motivasi untuk murid dan ibu bapa

Berbalik kepada bantuan bagi 32 murid miskin yang dinyatakan tadi, bantuan secukupnya berjaya disampaikan kepada mereka dalam suatu majlis serba ringkas di dewan sekolah berkenaan pada 22 Disember 2015.

Keseluruhan sumbangan itu diterima daripada rakan-rakan dan saudara-mara yang tampil membantu selepas saya memaparkan di laman rangkaian sosial Facebook.

Saravanan M. Sinapan, Lilian Lee, Siti Yummiliyah, Kughan Nadarajah, Muniamah Muniandy, Sumati Muniandy, Asha Rani Suppiah dan Pusparani Subramaniam antara individu yang tampil menderma.

Turut menyumbang ialah Padma Ramoo, Prabhawathy Govindarajoo, Sivasankar Narayanan, Lalitha Subramaniam, Devakumar, S. Ghanthimathi dan Magaenthiran Periaswamy.

Sesungguhnya saya amat terharu dengan sokongan, bantuan dan derma yang disalurkan mereka bagi meringankan beban para ibu bapa dan murid-murid terbabit.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 turut aktif mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara bagi memperkasa komuniti akar umbi pelbagai kaum.

Dengan kerjasama Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), program khas akan dijalankan di SK Convent Aulong untuk 50 murid dan ibu bapa mereka pada 14-16 Mac 2016. [Rujuk di sini: Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SK Convent Aulong]

Kavyan mahu berusaha menggalakkan penggunaan dan penghayatan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid; memupuk minat membaca buku cerita; mencungkil bakat terpendam; memberikan suntikan motivasi; serta peluang berhibur dengan beberapa aktiviti yang dirancang.

Sesi khas bersama-sama ibu bapa dan penjaga juga dirancang di mana wakil Kavyan akan menceritakan ruang dan peluang yang boleh digunakan oleh mereka untuk menambah pendapatan serta mencapai mobiliti sosial secara berdikari.

 Rayuan Bantuan Untuk Murid B40 di Aulong, Taiping, Perak

Sekitar 15-20 murid kaum India (keluarga B40) dari SK Convent Aulong akan menyertai acara “Dirgahayu Bahasa Malaysia” anjuran Kavyan.

 

Tarikh: 12 November 2022 (Sabtu)

Masa: 10.00 pagi – 3.00 petang

Tempat: Kuil Sri Maha Sivalayam, Aulong

 

Kavyan sedang mencari sumbangan ikhlas untuk memberi bantuan barangan keperluan sekolah untuk murid terbabit.

Hubungi uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya Sankar SB)  jika sudi membantu.

Nota: Mengikut data terkini (2022), di SK Convent Aulong ada 98 murid dan 68 daripadanya kaum India.


Orang ramai yang berminat untuk menyumbang ke arah menjayakan program ini bolehlah menghubungi uthayasb@gmail.com untuk maklumat lanjut.

Saya amat optimis bahawa orang ramai – termasuk bekas murid SK Convent Aulong – akan tampil membantu usaha ini.



Pada masa sama, saya berharap KPM akan menyedari kewujudan sebuah SK kecil dan terpencil di Aulong yang memerlukan bantuan segera untuk mampu membimbing anak-anak pelbagai kaum daripada komuniti terpinggir.

[Makalah ini ditulis pada 25 Disember 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 Disember 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]