9 Sept 2015

Saya Mahu Nari! Nari!

Ternyata beberapa individu tampil membeli buku Nari! Nari! bukan hanya untuk diri sendiri dan ahli keluarga. 

Sebaliknya, mereka sudi menyumbangkan atau menghadiahkan senaskhah kepada kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berada.

Pada 8 September 2015, saya memaparkan foto kanak-kanak dengan kata-kata “Saya Mahu #NariNari” dan bertanya jika ada sesiapa yang sudi membuat tempahan awal berbayar supaya kanak-kanak berkenaan boleh memiliki buku Nari! Nari! apabila ia terbit nanti.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan! Kini, ada sekitar 40 naskhah buku yang sudah dibayar oleh beberapa insan berhati mulia, tetapi belum ada penerima.

Sejumlah 30 penerima sudah ditemui dan boleh dirujuk di Facebook. Sekarang, saya sedang mengenal pasti 10 kanak-kanak yang memang gemar membaca tetapi datang daripada keluarga kurang mampu.

Jika anda mengenali sesiapa, sila kirim maklumat mereka kepada saya. Tarikh tutup muktamad: 30 September 2015.

Caranya amat mudah. Ambil foto kanak-kanak berkenaan memegang kertas bertulis “Saya Mahu #NariNari”

Pastikan kertas yang dipegang itu BUKAN bercetak komputer, tetapi bertulis tangan. [Lihat contoh yang dipaparkan di sini.]

Kirim foto itu kepada saya menerusi mesej Facebook atau e-mel uthayasb@yahoo.com.my sebelum 30 September 2015.

Sertakan maklumat diri kanak-kanak itu; seperti nama, umur dan alamat. Saya akan paparkan foto, nama dan umur kanak-kanak serta nama penyumbang di Facebook.

Apabila Nari! Nari! terbit, maka senaskhah buku akan dikirim/diserah kepada kanak-kanak berkenaan. Siapa cepat, dia dapat.

Sila pastikan foto kanak-kanak yang layak sahaja dikemukakan bagi projek “Saya Mahu #NariNari” ini. Saya yakin tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Mengapa saya mengadakan kempen ini? Saya datang daripada keluarga kurang berada. Sejak kanak-kanak, saya amat gemar membaca buku cerita. Akan tetapi, buku cerita adalah barangan mewah dan di luar kemampuan keluarga saya.

Saya percaya masih ramai kanak-kanak yang berdepan masalah sama. Maka, usaha kecil ini dibuat dengan bantuan/sumbangan individu berhati mulia seperti anda untuk menyumbangkan buku cerita bermutu kepada kanak-kanak yang meminati buku cerita tetapi tidak mampu membelinya.

Sama-samalah kita menyumbang ke arah memupuk minat membaca karya bermutu dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. [MAKLUMAT BUKU DI SINI] [Hubungi Uthaya Sankar SB sebelum 30 September 2015 jika anda mahu turut menyumbangkan buku Nari! Nari! kepada kanak-kanak yang memerlukan.]