9 Mar 2015

Nari! Nari!

Impian menerbitkan Nari! Nari! – Kumpulan Cerita Rakyat India bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi!

Sejak beberapa tahun lalu, saya berdepan masalah mendapatkan pelukis yang dapat memperuntukkan masa dan tenaga bagi menghasilkan ilustrasi bagi buku ini. Bagaimanapun, saya tetap menghargai usaha beberapa rakan dan kenalan yang cuba membantu.

Pada 8 Mac 2015, hasil pertemuan dan perbincangan dengan pengarah urusan Gemilang Publishing Sdn Bhd, Encik Koh Yok Hwa, jalan penyelesaian terbaik ditemui.

Sejumlah sembilan cerita rakyat diceritakan semula menggunakan Bahasa Malaysia supaya sesuai bagi bacaan kanak-kanak pelbagai kaum di Malaysia.

Versi asal buku Nari! Nari! terbit pada 1995 dan diulang cetak pada 2000. Apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Dawama sudah tidak berminat untuk mencetak semula, saya mengambil semula hak penerbitan bagi buku berkenaan – BACA KISAH ITU DI SINI.

Buku yang bakal diterbitkan semula akan menampilkan ilustrasi serba baru dan merupakan edisi yang dikemas kini dari segi kandungan dan cerita.

Menurut penerbit, versi asal 1995 dan 2000 turut mendapat sambutan hangat daripada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Hal ini mungkin kerana cerita-cerita rakyat yang terkandung dalam buku ini dekat dengan diri mereka.

Tidak mustahil kanak-kanak yang membaca buku Nari! Nari! pernah mendengar cerita-cerita berkenaan daripada nenek dan emak masing-masing.

Golongan yang pernah membaca buku itu (edisi 1995 dan 2000) tentu sudah dewasa, dan mungkin sudah menjadi ibu bapa. Tidak mustahil bahawa mereka juga menyampaikan kisah watak Nari kepada anak-anak mereka.

Kelahiran Nari! Nari! – Kumpulan Cerita Rakyat India merupakan suatu nostalgia menarik bagi saya secara peribadi. Mungkin pembaca yang pernah membaca versi asal akan merasai perkara sama apabila berpeluang memiliki edisi terbaru ini nanti.

Buku ini akan diterbitkan dalam jumlah yang terhad dan dijual kepada orang ramai secara dalam talian (online) menerusi tempahan awal berbayar, serta jualan semasa aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).; sementara stok masih ada.

Perkembangan penerbitan buku ini boleh diikuti menerusi Facebook [klik di sini] atau kunjungi blog ini dari semasa ke semasa.

Kerjasama dan sokongan orang ramai dalam menjayakan penerbitan Nari! Nari! – Kumpulan Cerita Rakyat India amatlah diharapkan dan dihargai.

Sila KLIK DI SINI untuk membuat tempahan awal.