19 Feb 2015

Kisah Sin Kheh Menjadi Raja

“Berpuluh-puluh tahun dahulu, Ah Ti tiba dari daerah Enchuan, China di Pura Singa kemudian ke Tanah Melayu. Di tanah baharu ini, Ah Ti mengejar cita-citanya dalam kesukaran hidup dan kerinduan kepada anak keluarga yang jauh di mata.”

Membaca petikan blurb (kulit belakang) kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) oleh Chai Loon Guan segera mengingatkan saya kepada novel Interlok: Edisi Murid (2010).

Ramai sedia maklum bahawa novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi besar sepanjang 2011. Ada puak yang mendesak novel itu diharamkan dan ada puak yang mengambil kesempatan demi keuntungan politik perkauman.

Apa yang mungkin tidak diketahui ramai adalah bahawa salah seorang anggota panel yang dilantik Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin temah mengemukakan usul bertulis supaya 20 halaman novel edisi murid itu dibuang.

Alasan yang dikemukakan oleh Dr Lim Swee Tin adalah “novel ini terlalu panjang” dan “bahagian yang disunting (digugurkan) tidak mengganggu kelicinan cerita.”

Halaman yang dicadangkan supaya dibuang termasuk kisah keluarga Cing Huat di halaman 102-109 (8 halaman) yang melibatkan “bahagian awal dengan beberapa peristiwa di negeri [sic] China”.

Maka, kisah hanya bermula apabila watak Kim Lock dan anaknya, Cing Huat, memutuskan untuk meninggalkan China dan kapal yang dinaiki di Amoy berlayar melepasi Hong Kong dan akhirnya tiba di Sin-cia-pu (Singapura).

Chai Loon Guan amat bernasib baik kerana kisah watak utama dalam cerpennya hanya bermula selepas kapal dari Tanah Besar (China) berlabuh di Pura Singa (Singapura).

Tiga daripada sebelas cerpen dalam buku ini menampilkan watak yang sama tetapi dalam latar masa, tempat dan suasana yang berbeza. Ketiga-tiganya menjadi bahan dokumentasi penting mengenai kaum “pendatang” Cina yang “datang bukan untuk mencari seteru; datang untuk memburu rezeki” di Tanah Melayu.

Usah terkeliru antara Ah Ti dan Ah Hui

Cerpen “Sayonara Pura Singa” menceritakan pengalaman watak utama singgah di Singapura, diikuti ketibaan di Tanjong Malim, Perak dalam “Irrashaimase Tanah Melayu!” dan kisah pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942-45) menerusi cerpen “Bendera Putih”.

Kalau peneliti seperti Lim Swee Tin mahu melakukan suntingan pada buku cerpen ini, tidak perlulah menyarankan beberapa halaman dibuang atau digugurkan.

Sebaliknya, pindaan, suntingan dan pembetulan hanya perlu dilakukan pada blurb buku dan tindakan itu adalah amat wajar bagi memurnikan serta membetulkan fakta.

Watak Ah Ti yang dipromosikan pada kulit belakang itu sebenarnya merujuk kepada watak bernama Ah Hai yang datang dari daerah Engchun, China – bukan Enchuan. Tentulah kesilapan ini berlaku akibat kecuaian editor, bukan kesilapan penulis.

Siapa pula Ah Ti? Watak itu adalah seorang bakal guru dalam cerpen “Ayah”, seorang pekebun dan perokok dalam “Rumah” dan orang tua yang sudah meninggal dunia dalam “Kedai”.

Ketiga-tiga Ah Ti ini adalah watak/orang yang berbeza. Hanya Ah Hai dalam tiga cerpen terawal dalam buku ini merupakan watak yang sama. Dalam cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB”, Ah Ti dan Adi (Adichonan) adalah nama timangan dan nama pena bagi watak “Aku” iaitu diri penulis sendiri.

Chai Loon Guan bukan calang-calang penulis. Beliau antara penerima Hadiah Sastera Darul Ridzuan (2014). Memandangkan beliau diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Munsyi Bahasa, tentulah beliau amat berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan yang boleh mencacatkan karyanya – seperti pada blurb tadi.

Penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2008/09) ini lahir pada 9 Februari 1960 dan sudah menghasilkan dua buku sebelum ini, iaitu kumpulan sajak Di Padang Kehidupan (2008) dan kumpulan cerpen Di Perantauan Impian (2009).

Sebagai seorang guru Bahasa Malaysia, lepasan Institut Bahasa dan graduan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pengarang kelahiran Tanjong Malim ini bijak memanipulasi bahasa bagi menyampaikan banyak perkara secara tersirat dan tersembunyi pada lapis makna ketiga.

Licik mengatur strategi sambil merendah diri

Khalayak umum mungkin sekadar membaca tiga cerpen terawal dalam kumpulan ini sebagai catatan kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu berikutan kebuluran, kesusahan, penderitaan dan peperangan di China. Latar masa adalah dari tahun 1926 hingga 1945.

Penelitian terhadap tiga cerpen ini mendedahkan tanggapan, pemahaman, pegangan dan interpretasi Chai Loon Guan terhadap kedudukan sebenar kaum Cina di negara ini. Hal ini tentu sahaja tidak dilakukan secara sedar dan sengaja. Sebaliknya hanya mampu difahami sekiranya dibaca dengan ketelitian tahap tinggi.

Memandangkan ketiga-tiga cerpen ini ditulis dan tersiar pada tahun 2011-2013, maka bolehlah dianggap sebagai mewakili tanggapan realiti sehingga masa sekarang.

Ah Hai sejak awal-awal lagi (tahun 1926) sedar bahawa dia hanyalah “pendatang”, “imigran” dan “sin kheh” (orang bawahan) yang menyertai gelombang penghijrahan secara besar-besaran dari China atas galakan British.

Lelaki Cina ini sentiasa memberitahu dirinya bahawa dia adalah orang luar yang perlu tahu menyesuaikan diri dengan penduduk asal di sini, iaitu orang Melayu. Hal ini dilakukan secara penuh sedar kerana dia tahu cara untuk hidup adalah dengan tunduk kepada orang tempatan.

Namun begitu, di sebalik sikap merendah diri dan berkelakuan seperti “rusa masuk kampung”, dia sebenarnya bertindak secara senyap dan penuh licik bagi meraih peluang, habuan dan rezeki bagi diri dan keluarga. Dia tahu cara untuk menundukkan orang tempatan.

Di sebalik realiti “anak dagang dari pedalaman Engchun, yang kurang serba-serbi, buta huruf dan miskin pengalaman”, Ah Hui berjaya memanipulasi setiap peluang yang hadir di depan mata untuk “mentransformasikan cabaran dan dugaan hidup itu menjadi impian yang diburu.”

Sekiranya dibaca pada lapis makna pertama, dia hanya mahu “mencari sesuap rezeki seteguk impian” daripada “rezeki melimpah-ruah di Tanah Melayu”. Dia berjaya meyakinkan khalayak dan orang ramai bahawa apa yang paling penting adalah “impian diri dan impian seisi keluarga” di daerah kelahiran.

Apabila sudah dinyatakan bahawa “datang aku bukan untuk mencari seteru” dan “datang aku bukan untuk memburu derita,” maka tentulah orang tempatan tidak akan rasa tercabar atau waswas dengan kehadirannya di Tanjong Malim semata-mata sebagai “seorang anak dagang mencari sesuap rezeki halal di perantauan orang.”

Sementara orang tempatan masih leka …

Dengan penuh sedar, dia mengaku tidak mahu digelar katak di bawah tempurung. Sebaliknya, dia rajin “memerhati, mentafsir dan menyesuaikan diri” sambil mengakui, apa yang penting adalah dia perlu “berhati-hati dan tidak bertindak semberono.”

Dalam ketiga-tiga cerpen yang dijadikan rujukan di sini, watak Ah Hai mendapat sokongan padu daripada Pak Cik Teh, pemilik Kedai Sin Teck Soon yang diwarisinya sejak turun-temurun. Kedai dua tingkat itu tidaklah besar tetapi diiktiraf antara kedai paling maju di Tanjong Malim.

“Cukup luas rangkaian perniagaannya. Hal ini masih belum mencakupi urus niaga di Kuala Lumpur. Syarikat di Ipoh. Harta warisan rumah, rumah kedai, estet dan dusun buah-buahan di sekitar Tanjong Malim, termasuklah Behrang, Behrang Hulu, Slim Village, Kalumpang, Kerling, Rasa dan sebagainya.”

Demikian huraian tentang pemilik dan kedai pemborong runcit yang terkenal di daerah berkenaan dan terletak di No. 2, Jalan Besar, Tanjong Malim. Saudara-mara Ah Hai menjadi kakitangan kedai manakala Pak Cik Teh adalah ketua atau majikan.

Maka, walaupun Ah Hai datang sebagai “rusa masuk kampung” – peribahasa yang diulang sekurang-kurangnya tiga kali – dia sudah memiliki sokongan padu daripada saudara-mara dan orang kaya; suatu bentuk sokongan yang mungkin tidak dimiliki oleh orang tempatan pada waktu itu.

Malah, mengikut peredaran masa, Kedai Sin Teck Soon (tahun 1926) berkembang menjadi Syarikat Sin Teck Soon (tahun 1945) dalam cerpen “Bendera Putih”. Penulis tidak lupa mengingatkan pembaca: “Tauke Sin Teck Soon bukannya sesiapa, saudara sekampung di Daerah Engchun, Tanah Besar.”

Ah Hai bijak berusaha untuk mencapai mobiliti sosial bagi diri dan keluarga. Daripada kedudukan sebagai sin kheh (orang bawahan), dia menimba pengalaman dan ilmu berbekalkan “kerajinan, keiltizaman, kesungguhan dan kecekalan” sehingga berjaya “membina kerjayanya di rantau orang.”

Sementara orang tempatan pada sekitar tahun 1923-34 masih leka dengan kehidupan yang biasa-biasa, dia pula menjadi ahli pertubuhan masyarakat Hsing Chong Hui dan Chung Ho Tang yang berperanan “mengambil tahu perkembangan politik di Tiongkok (China) selain menjaga hal ehwal dan kebajikan masyarakat Cina di Tanah Melayu.”

Penulis bijak memintal kisah imigran Cina

Unsur-unsur cerpen seperti konflik, pergolakan, suspens, ketegangan dan klimaks tidak hadir dalam cerpen-cerpen yang memaparkan watak Ah Hui. Sebaliknya, pada penelitian saya, ketiga-tiga cerpen terbabit lebih berperanan sebagai rakaman peristiwa, catatan, nostalgia dan dokumentasi sejarah berhubung perjuangan kaum Cina untuk bertapak di negara ini.

Tidak keterlaluan untuk mentafsir perjuangan Ah Hui di Tanah Melayu agak parallel (selari) dengan perjuangan Chai Loon Guan sebagai “penulis bukan Melayu yang menulis karya-karya susastera berbahasa Melayu” berbekalkan “sekelumit kurniaan-Nya” demi “kelangsungan bahasa dan susastera Bahasa Melayu di tanah air yang tercinta.”

Hubungan kaum Cina di Tanah Melayu dengan Kuomintang di Tanah Besar digambarkan menerusi watak Ah Hui yang aktif dalam kegiatan pemuda Kuomintang; lalu diburu tentera Nippon (Jepun) sebaik menyerang Tanah Melayu pada Disember 1941.

Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada September 1945, Ah Hui menjadi orang penting dalam persatuan saudagar di Tanjong Malim. Dia digambarkan sebagai “orang penting”, “ayam tambatan” dan “pakar runding syarikat dengan Inggeris di Tanah Melayu.”

Dia yang datang dengan tangan kosong demi “mencari sesuap rezeki” sudah “tidak digelar rusa masuk kampung.” Syarikat Sin Teck Soon sudah ada ikatan, kerjasama dan persefahaman dengan persatuan saudagar Tionghoa.

Pasti orang tempatan tidak pernah menjangkakan segala percaturan licik yang diatur olehnya secara senyap-senyap sambil tunduk merendah diri. Orang tempatan tentu menyangka dia hanya datang memburu rezeki; tanpa menyedari rancangan besar yang dibawanya dalam hati.

Kedudukan lelaki itu digambarkan sudah setaraf setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen. Malah, peranannya dikatakan sudah “setaraf SU YB dan YAB!”

Di akhir cerpen ketiga dalam buku ini, Ah Hui yang sudah berstatus pemastautin tetap (PR) berhasrat merealisasikan azam mendapatkan status warganegara bagi diri dan keluarga “di tanah yang maha kaya ini.”

Demikianlah Chai Loon Guan bijak memintal kisah menggunakan bahasa penuh berbunga dan makna tersirat bagi merakamkan dan mendokumentasi sejarah perjuangan seorang individu yang tiba sebagai “pendatang” tetapi berjaya mengatasi kehebatan orang tempatan dalam bidang yang diceburinya. – Baca juga: Citra Kaum Cina dalam Cerpen

[Makalah ini ditulis pada 27 Januari 2015 dan disiarkan di Projek Dialog pada 2 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]