31 Dec 2014

Suara dari Negara Sabah

Katakan Sabah dan Sarawak itu negara. Jangan lagi sebut “negeri”. Biasakan lidah anda menyebut.

Sebutkan dengan jelas “Negara Sabah”, “Negara Sarawak”, “Negara Malaya” dan “Persekutuan Malaysia”.

Demikian ditegaskan dengan berani menerusi laman rangkaian sosial oleh seorang rakan penulis dan aktivis, Daniel Jebon Janaun, baru-baru ini. [Nota: Daniel Jebon Janaun meninggal dunia pada 5 Disember 2014]

Saya yang mengikuti perjuangan Daniel, Doris Jones serta sejumlah nasionalis Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendirian bekas penjawat awam itu.

“Sabah dan Sarawak dahulunya masing-masing sebuah negara. Kedua-duanya dimerdekakan oleh British. Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, sementara Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963.

“Kemerdekaan itu meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai dua negara merdeka dan berdaulat,” Daniel yang lahir di Kota Marudu, Sabah pada 25 Ogos 1967 menghuraikan.

Mengulas lanjut mengenai perkara yang menjadi isu hangat sekarang, Daniel berkata, ketika proklamasi Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, status Sabah dan Sarawak tetap sebagai negara yang memiliki autonomi penuh, berkerajaan sendiri serta memiliki entiti berasingan daripada Malaya (Tanah Melayu).

Pendedahan berani seperti ini tentulah sesuatu yang amat baru bagi generasi muda kita. Buku-buku sejarah dari peringkat sekolah rendah hingga universiti tidak membicarakan fakta ini.

Suara dan hujah para pejuang dan nasionalis seperti Daniel juga pasti tidak akan mendapat tempat di media arus perdana yang rata-rata dijadikan alat propaganda parti-parti politik dan kuasawan.

Tuntutan yang berasas dan sah

Namun begitu, dengan adanya laman rangkaian sosial serta kesedaran dalam kalangan masyarakat, suara Daniel dan rakan-rakannya kini kedengaran di seluruh dunia.

Atau sekurang-kurangnya mampu sampai juga kepada penduduk di Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) yang selama ini mungkin tidak tahu tentang perjuangan, penderitaan dan hak Sabah dan Sarawak.

Makalah ini sendiri bukan bertujuan menghasut sesiapa, sebaliknya membuka mata generasi muda serta memberikan ruang agar mereka mendengar kisah sebenar yang sedang berlaku sekarang.

“Kami selaku penduduk Sabah dan Sarawak tetap berjuang untuk memastikan Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963, Perkara 20/18, Laporan IGC dan Laporan Cobbold dipatuhi.

“Walaupun ancaman, ugutan dan pelbagai tindakan diambil untuk menghentikan perjuangan ini, kami tetap cinta akan negara kami, iaitu Negara Sabah dan Negara Sarawak yang merdeka dan berdaulat,” Daniel menegaskan.

Dalam perbualan kami, Daniel turut menyentuh mengenai pendedahan yang dilakukan Robert Lai, seorang peguam kelahiran Sarawak yang kini berada di Australia.

Menurut Robert, rakyat Sabah dan Sarawak mencadangkan agar panel peguam dari Sabah dan Sarawak ditubuhkan untuk mengkaji dan menyemak kedudukan Perjanjian Malaysia 1963.

“Seperti dilaporkan media berdasarkan pendedahan Robert, rakyat Sabah dan Sarawak mencadangkan agar panel peguam tersebut membawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa untuk membolehkan kami mendapat keadilan antarabangsa,” Daniel menghuraikan.

Tentu sahaja jalan yang dipilih dan diperjuangkan oleh orang seperti Daniel, Doris dan para pejuang lain dipenuhi onak.

“Mari kita bangun daripada tidur!”

Malah, tentu sahaja pelbagai sekatan, halangan dan undang-undang akan digunakan oleh kuasawan untuk menghalang perjuangan mereka serta menutup mulut mereka.

Misalnya, Doris yang “lari ke Britain” sedang “diburu” polis, seperti dilaporkan akhbar Harian Metro baru-baru ini.

Pendedahan yang dilakukan menerusi makalah ringkas ini pula diharap dapat membantu menyampaikan suara perjuangan mereka (penduduk Sabah dan Sarawak) kepada khalayak ramai.

Pada 4 September 2014, Daniel mengumumkan cadangan penubuhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil Momogun Movement for Self-Determination (Mosik).

Perkataan “Momogun” bererti “Orang Asal Sabah” manakala slogan “Mosik tokou” yang digunakan dalam Bahasa Kadazan Dusun membawa makna “Mari kita bangkit/bangun daripada tidur”.

Menurut Daniel, objektif penubuhan Mosik adalah untuk berjuang memulihkan status Sabah sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, selaras Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, Laporan IGC 1962 dan Laporan Cobbold 1962.

Pejuang daripada etnik Kadazan (Kimaragang) itu mengundang golongan “Momogun” menyertai Mosik sambil berkata dengan penuh yakin: “Berikan saya sepuluh orang pejuang atau nasionalis Sabah dan saya akan gegarkan negara Sabah.”

Sekiranya diteliti secara objektif dan tanpa sentimen politik kuasawan, perjuangan Mosik adalah untuk memulihkan (reset) Malaysia seperti dijanjikan dahulu, iaitu mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 dan Perkara 20/18.

Malangnya, semua itu adalah fakta, sejarah dan kebenaran yang semakin disembunyikan dan dihapuskan oleh kuasawan demi kepentingan peribadi.

Perjuangan ini bukan hasutan

Hal ini bermakna perjuangan Mosik perlu bermula dari bawah, iaitu memberi kesedaran kepada orang ramai di seluruh Persekutuan Malaysia mengenai apa sebenarnya yang dijanjikan dan dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Mungkin juga kerja-kerja mendidik dan mengajar wajar dimulakan dengan golongan politikus dan kuasawan kerana merekalah kelompok kurang pengetahuan (maklumat/fakta) yang biasanya membuka mulut mengeluarkan pelbagai kenyataan “kurang cerdik” dan kemudian dilaporkan pula media arus perdana.

Sekiranya penjelasan Daniel dapat didengar/dibaca dan difahami dengan fikiran yang tenang, maka kita akan sedar bahawa tiada sebarang bentuk hasutan, penipuan atau manipulasi fakta dilakukan.

Sebaliknya perjuangan Mosik adalah untuk memulihkan status autonomi Sabah dan Sarawak seperti yang dijanjikan dan dipersetujui bersama semasa pembentukan Persekutuan Malaysia dahulu.

Daniel bakal menerbitkan sebuah buku berjudul Sabah Sebuah Negara tidak lama lagi. Buku berkenaan yang dijangka terbit dalam versi bercetak dan elektronik (e-book) antara lain membincangkan secara kritis fakta sejarah yang membuktikan sedudukan Sabah sebagai sebuah negara.

“Perjuangan Mosik adalah untuk mendapatkan autonomi yang telah dinafikan sejak sekian lama. Perjuangan ini bererti memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara,” Daniel menegaskan dengan penuh semangat.

Seperti yang sudah dapat dijangkakan, perjuangan dan keberanian orang seperti Daniel pasti tidak disukai pelbagai pihak. Bukanlah “perjuangan” sekiranya tiada “penentangan”.

Pada 10 September 2014, Daniel menerima mesej daripada seseorang yang menggunakan nama “Arabella Aerika” di Facebook dan memberi amaran kepadanya supaya menghentikan perjuangan Mosik.

“Adakah ini suatu mesej ancaman atau ugutan untuk saya berhenti memperjuangkan hak serta memulihkan status Sabah dan Sarawak? Apa-apa pun, saya tidak akan berhenti berjuang!”

Demikianlah Daniel yang mula-mula saya kenali pada tahun 1990-an sekadar sebagai seorang penulis cerpen dan kini sudah meningkat menjadi seorang pejuang demi hak dan kebenaran. [Nota: Daniel Jebon Janaun meninggal dunia pada 5 Disember 2014]

[Makalah ini ditulis pada 22 September 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 23 September 2014. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]