27 Oct 2014

Tentang Anjing dan Babi

Semasa pelbagai pihak sedang sibuk berbahas mengenai acara I Want To Touch A Dog (19 Oktober 2014) serta tindakan Syed Azmi Alhabshi (penganjur) tiba-tiba memohon maaf, saya memilih untuk membaca buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim (2009) terbitan Telaga Biru Sdn Bhd.

Buku ini tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir dan diberikan kepada para peserta Konvoi Rumah Ibadat di Seremban, Negeri Sembilan anjuran bersama Hidayah Centre Negeri Sembilan dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 17 Februari 2013.

Fiqah (bahasa Arab) atau fikah (Bahasa Malaysia) merujuk kepada pengetahuan tentang ibadat dan hukum-hakam syarak dalam ajaran Islam.

Maka buku setebal 186 ini amat sesuai untuk bacaan orang Islam dan Bukan Islam memandangkan realiti Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, agama, kepercayaan dan budaya.

Misalnya, isu yang sering menjadi perbahasan dan polemik – serta sering dipolitikkan dalam usaha politikus mencari publisiti murahan – adalah berkaitan anjing dan babi.

Dalam konteks Malaysia, tentulah mustahil untuk menghapuskan terus kewujudan kedua-dua bintang itu serta mengharamkan sepenuhnya penjualan daging dan makanan berasaskan daging babi.

Malah, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa walaupun daging babi (ulang: dagingnya) diharamkan dalam Islam, daging itu masih boleh dimakan dalam keadaan darurat (Surah al-Baqarah: 173).

Agak menarik juga untuk diperhatikan perbezaan pandangan mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi berkaitan kenajisan anjing dan babi.

Dalam mazhab Syafie, kedua-dua anjing dan babi termasuk kategori najis berat atau najis mughallazah.

Buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim amat sesuai dijadikan rujukan untuk memahami topik ini serta pelbagai topik yang amat penting dalam mengelakkan prasangka antara agama.

[Makalah ini ditulis pada 26 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Oktober 2014. Sila KLIK DI SINI untuk membaca makalah penuh. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]