23 Jun 2014

Impian Menjelang PRU-14

Rakyat tidak pernah “tersalah pilih” semasa mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK). Politikus yang biasanya berubah dan menderhaka kepada pengundi.

Demikianlah pandangan dan pendirian saya selaku seorang pengamal media dan pemerhati politik tanah air.

Ada politikus yang pandai berlakon di depan kamera dan media. Rakyat harus beringat bahawa orang yang diperlukan adalah “pekerja” bukan “pelakon”.

Ada calon pandai menangis semasa berucap meraih undi. Biarkan mereka kalah dan terus menangis. Asalkan jangan sampai Rakyat (huruf besar disengajakan) menangis selepas politikus menang menerusi linangan air mata buaya.

Suka juga saya menasihatkan para pengundi supaya tidak bergantung kepada Wikipedia dan akaun Twitter/Facebook calon yang bertanding dalam PRU-14. Ia sama seperti menonton berita RTM dan TV3 untuk menilai kelayakan calon.

Usah menjadi penyokong fanatik mana-mana parti atau politikus. Mereka yang sepatutnya menjadi penyokong anda (Rakyat). Mereka memerlukan anda untuk hidup; bukan sebaliknya. Jangan biarkan “orang gaji” lebih berkuasa daripada “majikan”.
Orang ramai tidak harus membiarkan sekampit beras, sebungkus biskut, sekilogram gula dan sehelai kain pelikat “membeli” undi, maruah dan masa depan.

Akan tetapi nampaknya taktik ini sentiasa berjaya menjelang PRU dan PRK. Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata “Melayu mudah lupa” tetapi nampaknya kaum-kaum lain juga hampir sama.

Sebagai Bangsa Malaysia, kita perlu meraikan kepelbagaian yang menjadi sebahagian daripada keunikan di negara bertuah ini. Kita wajar meraikan semangat perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, etnik, agama dan kepercayaan.

Sebelum politikus kentut kekenyangan dan keluar berkempen bagi “membasuh” otak anda menjelang PRU-14, sila kuatkan semangat dan keimanan untuk menolak politik perkauman.

Kita perlu mampu menolak calon rasis dari mana-mana parti politik. Kita wajar menolak calon yang hanya mahu memperjuangkan nasib kaumnya. – Makalah ini ditulis pada 18 Jun 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 Jun 2014BACA MAKALAH PENUH DI SINI – Baca juga: Kempen Menuju PRU-14