8 Jan 2014

Kenyataan Muhyiddin Hina Intelektualiti Sasterawan

Sebagai seorang penulis dan sasterawan, saya rasa terhina dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti disiarkan di Bernama dan beberapa portal berita dalam talian. [BACA DI SINI] [UTUSAN MALAYSIA]

Pada suatu majlis penyampaian hadiah di kediaman rasminya di Putrajaya pada 7 Januari 2014, beliau dilaporkan berkata bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan dan tidak pernah bersama pembangkang dalam membangunkan negara Malaysia.

Kata-katanya ini bersifat menghina intelektualiti, jati diri dan maruah golongan sasterawan; seolah-olah sasterawan hanya berhak memilih antara “kerajaan” dan “pembangkang”.

Saya sedar bahawa bukan semua penulis di negara ini layak digelar “sasterawan”. Malah, ada juga “penulis karya sastera” yang hanya menjadi penulis upahan kepada pihak tertentu atau bernaung di bawah politikus untuk mendapatkan bayaran, ganjaran dan upah.

Kewujudan beberapa kerat penulis/sasterawan tidak bermaruah dan tidak bertulang belakang tidak bermakna pemimpin negara boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan bahawa sasterawan memihak kepada “kerajaan” atau “pembangkang”.

Saya pernah dilantik oleh Muhyiddin menganggotai panel meminda novel Interlok: Edisi Murid pada 2011 tetapi tidak bermakna saya “bersama kerajaan”.

Nik Nazmi Nik Ahmad (Adun Seri Setia) sering mengundang saya menyertai aktiviti bahasa, sastera dan dialog/forum tetapi tidak bermakna saya “bersama pembangkang”.

Saya bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjalankan program Memartabatkan Bahasa Malaysia bagi kanak-kanak dan remaja tetapi tidak bermakna kami “bersama kerajaan”.

Terkini, saya dan Kavyan terlibat dalam “Solidariti Kampung Chetti” bagi membantu kaum Chetti Melaka menguasai ilmu penulisan dan menyuarakan bantahan kepada kerajaan negeri, tetapi tidak bermakna kami “bersama pembangkang”.

Bernama melaporkan Muhyiddin sebagai berkata: “Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (berpihak kepada pembangkang) manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan) … ia adalah dakwaan yang tidak benar.”

Saya tertanya-tanya apakah reaksi penulis dan sasterawan yang menghadiri majlis di mana Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu. Apakah tokoh-tokoh hebat seperti Sasterawan Negara (SN) Dr Muhammad Haji Salleh, S M Zakir, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan hadirin hanya mengangguk?

Atau hanya mampu berdiam diri kerana tidak mahu segala habuan yang diterima daripada “haluan sini” (kerajaan) dihentikan jika sasterawan berani bersuara demi kebenaran di depan menteri?

Pada pendirian dan pegangan saya, sasterawan dan penulis perlu berani bersuara mewakili Rakyat (huruf besar disengajakan). Kedudukan sasterawan adalah bersama-sama Rakyat; bukan bersama-sama kuasawan, politikus dan kerajaan/pembangkang.

Kalau mahu memilih antara “kerajaan” dan “pembangkang”, lebih baik menjadi penulis upahan. Sasterawan adalah kelompok intelektual terpilih dan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding politikus. Bakat penulisan adalah anugerah Tuhan yang terlalu tinggi nilainya.

Amat malang jika politikus mahu memperkotak-katikkan sasterawan dan melabelkan mereka sebagai “penyokong kerajaan” atau “penyokong pembangkang”; bagaikan sasterawan adalah juak-juak dan orang suruhan.

SN Datuk A Samad Said, misalnya, pasti dilihat oleh Badut Paul Lathic sebagai “penyokong pembangkang” semata-mata kerana beliau berani dan lantang bersuara mewakili Rakyat, khususnya golongan minoriti tertindas.

Nampaknya, bagi Barisan Nasional (BN), sasterawan yang menjadi suara Rakyat adalah “penyokong pembangkang” manakala penulis (termasuk penulis upahan) yang menjadi pak turut dan tukang angguk serta akur pada segala kata BN adalah “penyokong kerajaan”.

Secara ironi, menurut laporan Bernama, Muhyiddin berkata: “Penulisan sastera antara cara membangunkan jati diri bangsa dan membentuk kematangan pemikiran rakyat. … suatu alat penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat.”

Nah! Bukankah tanggapan Muhyiddin bahawa sasterawan hanya terbahagi kepada “penyokong kerajaan” dan “penyokong pembangkang” adalah secara terang-terangan “fahaman kolot dan mundur” yang perlu dipecahkan?

Tidak mustahil, akan keluar berita di Bernama sendiri selepas ini bahawa wartawan “tersalah tafsir” kata-kata Muhyiddin dalam ucapannya.

Untuk perhatian Muhyiddin dan para Badut Paul Lathic, saya bukan “penyokong kerajaan” mahu pun “penyokong pembangkang”. Saya adalah penyokong Rakyat; khususnya minoriti yang anda tindas secara terancang menggunakan senjata politik dan perkauman.

[Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan pemilik tunggal syarikat Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Kenyataan ini dikeluarkan pada 7 Januari 2014, lalu disiarkan di Malaysiakini dan Free Malaysia Today serta The Malaysian Insider selain Selangorkini pada 8 Januari 2014. Turut disiarkan di Tamil Nesan pada 10 Januari 2014. Baca juga: Betulkah Sasterawan Bersama Kerajaan BN? dan Siapa Jual Maruah Sasterawan?]