23 May 2013

Kavyan Tolak Perkauman, Pupuk Perpaduan

[Sementara politikus dan pemerintah galak meniupkan api perkauman dan sengketa, sekumpulan penulis kaum India berusaha memupuk perpaduan bangsa.]
 
Suatu hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa kebanyakan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di negara ini masih dikendalikan mengikut pembahagian kaum. Bersama-sama “kaum” itu pula muncul pembahagian berteraskan agama, bahasa dan politik.
 
Walaupun sejak April 2009 pelbagai aktiviti dikendalikan di bawah slogan muluk “1Malaysia”, rata-rata masih tidak berjiwa Malaysia atau bersifat inklusif. Kehadiran kelompok/wakil dari kaum tertentu hanyalah sebagai tempelan serta sekadar memenuhi syarat dan formula “Melayu + Cina + India = 1Malaysia”.
 
Adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan persekutuan dalam hal ini kerana amalan seperti itu sudah mendarah-daging dan menjadi kebiasaan/lumrah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak lebih 55 tahun dahulu. Maka, apa yang mampu dilakukan golongan berkenaan hanyalah meneruskan tradisi.
 
Mujurlah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan bahasa pula, wujud minat untuk saling berinteraksi, saling mengenali, saling memahami serta menerima kepelbagaian dan perbezaan yang wujud.
 
Perkara-perkara ini juga secara tidak langsung menjadi antara aspek yang diambil perhatian apabila Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan oleh sekumpulan penulis/peminat bahasa dan sastera kebangsaan pada 22 Ogos 1999.
 
Slogan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” yang menjadi pegangan dan panduan Kavyan adalah penting bagi menunjukkan bahawa aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dikendalikan dalam Bahasa Malaysia supaya boleh melibatkan penyertaan Bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
 
Suatu perkara yang mungkin sengaja mahu dipersoalkan oleh puak tertentu adalah mengapa jawatankuasa Kavyan hanya terdiri daripada individu kaum India. Untuk makluman, Kavyan dizahirkan secara khusus untuk menonjolkan peranan, sumbangan serta penglibatan kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia secara jelas.
 
Walau bagaimanapun, seperti diketahui umum, sejak awal penubuhan, kesemua aktiviti Kavyan terbuka kepada umum tanpa batas kaum dan agama. Sesiapa yang pernah menyertai acara anjuran Kavyan pasti menyedari hakikat ini.
 
Dalam perkembangan politik semasa, aspek perkauman semakin hangat diungkitkan oleh para pemimpin BN. Apa yang menyedihkan adalah bahawa Presiden BN sendiri yang sebelum ini “bersembunyi” di belakang topeng “1Malaysia” telah menunjukkan wajah sebenarnya menerusi kenyataan “tsunami Cina” berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU).
 
Saya masih optimis bahawa politik perkauman, parti-parti politik berasaskan kaum serta jiwa perkauman yang mendarah-daging dalam diri politikus tidak akan menular kepada masyarakat awam.
 
Peserta bertukar cerita tentang budaya dan amalan
 
Pada masa sama, realiti yang mungkin juga sudah diketahui umum adalah bahawa ada juga persatuan berkaitan penulisan yang sudah diserapi politik perkauman serta budaya rasis, ultra kiasu dan etnosentrik. Tidak mustahil bahawa itulah “wajah sebenar” yang cuba disembunyikan tetapi akhirnya diketahui umum sejak awal 2011.
 
Mungkin masing-masih mahu menjaga periuk nasi sendiri serta sanggup melakukan apa sahaja – termasuk menjual maruah, integriti dan perjuangan sastera – asalkan terus mendapat bantuan dana daripada pihak tertentu yang mengamalkan politik “pecah dan perintah” untuk terus berkuasa.
 
Mujurlah Kavyan tidak pernah (dan tidak akan) terpengaruh dengan budaya sedemikian. Hal ini mungkin disebabkan Kavyan hanya sebuah kumpulan kecil yang tidak berorentasikan keuntungan kewangan atau perebutan jawatan. Sebaliknya Kavyan mahu menyemarakkan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
 
Namun, sama ada disedari atau tidak, ada usaha berterusan oleh pihak tertentu yang cuba melabel Kavyan sebagai kumpulan yang mengamalkan perkauman serta menyebarkan agama Hindu. Lebih memalukan apabila penulis tertentu yang disegani turut membuktikan jiwa perkauman dan ultra kiasu dengan menyebarkan fitnah mengenai Kavyan.
 
Hazayani Zakaria yang berasal dari Dungun, Terengganu antara lain pernah menyertaan bengkel penulisan cerpen dan acara baca cerpen anjuran Kavyan. Katanya, dia tidak menghadapi sebarang masalah sama ada sebelum, sewaktu atau selepas menyertai kedua-dua program berkenaan.
 
“Saya tidak nampak sebarang usaha mewujudkan prejudis perkauman sewaktu berprogram. Penganjur mahupun peserta tidak pernah sesekali memperlekeh mana-mana kaum. Sebaliknya kami banyak bertukar cerita mengenai budaya dan amalan kaum masing-masing memandangkan peserta terdiri daripada pelbagai kaum.
 
“Apa yang menarik juga, kami menggunakan Bahasa Malaysia yang betul sepanjang program. Bilangan rakan saya daripada kaum India dan Cina juga bertambah selepas menyertai program Kavyan. Kami saling berhubung sehingga sekarang,” kata wartawan itu yang tinggal di Segambut, Kuala Lumpur.
 
Jeeva Kasthuri Anamalay adalah seorang ibu yang sanggup datang dari Sungai Petani, Kedah untuk menyertai beberapa aktiviti anjuran Kavyan di Shah Alam dan Kuala Lumpur. Jika aktiviti adalah sesuai bagi kanak-kanak, anak-anaknya turut dibawa bersama.
 
Walaupun aktiviti berunsurkan bahasa dan sastera mungkin kurang menarik perhatian masyarakat – khususnya golongan muda – Kasthuri tetap sedar akan kepentingannya.
 
“Bahasa adalah alat yang menjadi penghubung agar wujud kerjasama antara satu sama lain, tanpa mengira batas kaum, etnik, agama dan kepercayaan. Itulah antara keinsimewaan dan keunikan yang saya perhatikan dalam aktiviti anjuran Kavyan,” kata guru swasta sepenuh masa itu.
 
Acara “Baca Cerpen Kavyan” pada tahun 2003 menampilkan pembacaan 384 cerpen Bahasa Malaysia secara berterusan oleh 166 peserta pelbagai kaum dalam masa 96 jam 32 minit. Sejak itu, siri baca cerpen dianjurkan di seluruh negara bagi menyemarakkan minat terhadap sastera, bahasa dan pembacaan dalam kalangan masyarakat.
 
Aktiviti Kavyan di Pesta Buku Selangor
 
Antara penulis yang pernah “diraikan” menerusi acara baca cerpen/novel anjuran Kavyan ialah Datuk A Samad Said, Dr Anwar Ridhwan, Kamariah Kamarudin, S M Zakir, Nisah Haron, Anis dan Salina Ibrahim.
 
Terkini, acara “Bakat Bahasa Kanak-kanak Selangor” dan “Baca Cerpen Kavyan” akan dianjurkan sempena Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 24 Mei – 3 Jun 2013. Aktiviti lain yang dirancang oleh Kavyan adalah “Dialog Penulis di Pesta Buku” dan “Suara Anak Muda Selangor”.
 
Walaupun Kavyan diterajui oleh jawatankuasa daripada kalangan kaum India, sebenarnya rakan-rakan pelbagai kaum terlibat dalam menjayakan kesemua aktiviti. Dialog penulis pada 31 Mei misalnya, menampilkan Faisal Tehrani, Roslan Jomel, Kamariah Kamarudin dan Khairulnizam Bakeri.
 
Program “Suara Anak Muda Selangor” pula akan dijayakan dengan kerjasama Teach for the Needs (TFTN) dan Buku Jalanan Shah Alam. Amalan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan pertubuhan berasaskan bahasa, sastera, seni dan budaya – tanpa mengambil kira kaum dan agama – sudah menjadi budaya Kavyan sejak dahulu. Kavyan meraikan kepelbagaian dan kerjasama semua pihak.
 
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa setelah sekian lama dimomokkan oleh BN dengan tarikh “13 Mei” (1969), kini rakyat pelbagai kaum bersatu untuk menyambut tarikh berkenaan sebagai Hari Perpaduan. Perkara ini menjadi kenyataan berikutan rakyat sudah menolak politik perkauman dan tidak mahu ditakutkan dengan sentimen perkauman yang tidak menguntungkan sesiapa.
 
Kavyan turut menjalankan program “Konvoi Rumah Ibadat” bagi memupuk perpaduan merentas kaum/agama sejak 2010. Bersama-sama Hidayah Centre dan Pertubuhan Ikram Negeri Sembilan, program sama dilaksanakan dengan penuh jaya di Seremban pada 17 Februari 2013.
 
Salah seorang rakan yang menyertai program berkenaan ialah Shahrul Nizam Abd Hamid, pegawai sumber manusia di Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd. Beliau turut terlibat dalam siri baca cerpen dan majlis pelancaran kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam pada 10 Mac lalu.
 
“Pengalaman bercampur-gaul dan duduk berbincang dengan peserta pelbagai kaum semasa aktiviti Kavyan secara langsung memberikan peluang untuk mendekati dan memahami asas perpaduan. Semasa konvoi ke rumah-rumah ibadat misalnya, saya berpeluang untuk bertanya secara langsung tentang kemusykilan yang timbul tentang adat dan kepercayaan agama lain,” kata pemuda itu yang berasal dari Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.
 
Shahrul juga mengakui bahawa aktiviti Kavyan yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum dan agama secara tidak langsung membantunya menangkis pemahaman negatif tentang budaya kaum lain.
 
“Kavyan bukan hanya bergerak sebagai sebuah kumpulan penulis tetapi juga bertindak sebagai penghubung antara budaya dan agama. Kavyan merapatkan jurang perpaduan kaum. Saya perhatikan bahawa semangat perpaduan semakin terhakis dalam kalangan masyarakat dek ledakan api perkauman yang ditiup segelintir politikus demi keuntungan politik sempit mereka,” tegas Shahrul yang akan menjadi pengacara “Baca Cerpen Kavyan” di SACC pada 26 Mei nanti.
 
[Maklumat lanjut mengenai aktiviti Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com … Makalah ini ditulis pada 17 Mei 2013 dan disiarkan di Roketkini pada 19 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]