7 Apr 2013

Hak Istimewa Orang Melayu

[Selagi keluhuran Perlembagaan dan Wasiat Raja-raja Melayu dipelihara, hak istimewa Melayu-Bumiputera akan tetap terlindung.]

Pada perenggan pertama lagi, biar saya tegaskan bahawa makalah ini tidak sedikit pun cuba mempersoalkan apa-apa yang termaktub dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Malah sebenarnya bertujuan memperkukuhkan Hak Istimewa Orang Melayu sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 153.

Sesungguhnya, hak-hak istimewa (kedudukan istimewa) orang Melayu bukan suatu perkara baru yang hanya muncul selepas kemerdekaan (31 Ogos 1957); sebaliknya sudah sedia tercatat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Dalam Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957, Raja-raja Melayu secara tegas menetapkan syarat untuk memastikan akan kekal terjamin (antara lain) status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu.

Termasuk dalam senarai Hak Istimewa Orang Melayu menurut Perkara 153 adalah jawatan dalam kerajaan, peruntukan biasiswa dan bantuan ekonomi. Kesemua hak ini sesungguhnya dilindungi Yang di-Pertuan Agong selaku primus inter pares. Majlis Raja-raja Melayu perlu memberi perkenan jika apa-apa perkara berkaitan mahu diubah.

Ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa ada sepuluh perkara yang termaktub dalam Perkara 2 (a), Perkara 38 (4) dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Ketidaktahuan dan kejahilan seperti inilah yang membuatkan pihak tertentu cepat melatah, melenting, melalak dan mengamuk dengan andaian palsu bahawa ada orang yang sedang cuba menggugat Hak Istimewa Orang Melayu.

Secara realiti, kalau sekalipun ditakdirkan bahawa Rakyat memilih dan membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) supaya Pakatan Rakyat (PR) membentuk Kerajaan Pusat, kesemua perkara berkaitan Hak Istimewa Orang Melayu tetap terjamin selagi Raja-raja Melayu berpegang pada tujuh wasiat yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957.

[Makalah ini ditulis pada 20 Februari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 Februari 2013. Makalah penuh termuat dalam buku Malaiur Manikam. Sila KLIK DI SINI untuk beberapa lagi makalah berkaitan Melayu dan Islam. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]