Sunday, 24 February 2013

Ridhuan Tee Perlu Didakwah

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Uthaya Sankar SB selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya pada 24 Februari 2013, jam 2:00 petang di Shah Alam, Selangor.
 
Ridhuan Tee perlu didakwah
 
1. Sebagai seorang penulis profesional yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia sejak tahun 1992, saya sesungguhnya kecewa dengan kenyataan yang dikemukakan oleh Ridhuan Tee Abdullah (Tee Chuan Seng) menerusi tulisan bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” yang disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 18 Februari 2013.
 
2. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan pada petang 24 Februari 2013 di Shah Alam, Chuan Seng belum dilaporkan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi memohon maaf atas kandungan tulisannya itu.
 
3. Pada 22 Februari 2013, penasihat editorial akhbar Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dilaporkan memohon maaf kepada kaum India beragama Hindu atas penyiaran rencana tulisan Chuan Seng. Beliau turut mengaku bahawa versi yang disiarkan itu sebenarnya sudah disunting untuk mengurangkan nada perkauman.
 
4. Harapan saya selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya adalah bahawa akhbar Sinar Harian akan mengekalkan integritinya sebagai sebuah akhbar yang disenangi oleh pembaca pelbagai kaum, agama dan fahaman politik.
 
5. Saya tidak berhasrat meminta akhbar Sinar Harian atau mana-mana penerbitan lain serta mana-mana organisasi lain mengambil tindakan “menghukum” Chuan Seng dengan memulaukannya.
 
6. Sebaliknya, tindakan Chuan Seng sepatutnya menjadi suatu “pengajaran” kepada pihak terbabit supaya berhati-hati dengan golongan “ultra kiasu” (mengulangi istilah yang pada asalnya digunakan oleh Chuan Seng terhadap kaum India dan Cina dalam tulisannya) yang menggugatkan keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
 
7. Memandangkan bukan hanya golongan politikus yang ada hak untuk menyeru itu dan menyeru ini, saya juga ingin membuat seruan kepada umat Islam supaya berdakwah kepada golongan “ultra kiasu” seperti itu sebelum keadaan bertambah buruk.
 
8. Sepertimana dijelaskan oleh Dr Kamariah Kamarudin dalam buku kajian ilmiah berjudul Takmilah dalam Novel Melayu (DBP: 2011), dakwah sebenar dalam Islam bermula dengan dakwah terhadap ahli keluarga, terhadap orang Islam (dalam masyarakat) dan terhadap masyarakat luar (beragama Islam); sebelum memikirkan soal dakwah terhadap orang “Bukan Islam”.
 
9. Islam sesungguhnya agama yang indah dan menyeru ke arah perpaduan, keamanan dan sikap bertolak ansur. Malah, Tuhan menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling mengenali dan memahami. Hakikat ini diakui semua agama.
 
10. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Peserta pelbagai kaum dan agama mengunjungi rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong, gereja, wat dan gurdwara untuk meningkatkan persefahaman dan sikap tolak ansur.
 
11. Pada 17 Februari 2013, berlangsung pula Konvoi Rumah Ibadat di Seremban yang menyaksikan penyertaan lebih 80 individu; kebanyakannya peserta beragama Islam yang terlibat secara langsung dalam gerakan dakwah.
 
12. Wakil dari Hidayah Centre Negeri Sembilan dan Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan menunjukkan minat untuk memahami amalan dan budaya penganut agama Hindu, Kristian, Tao dan Sikh – selain Islam – semasa kami mengunjungi rumah-rumah ibadat.
 
13. Secara langsung dan tidak langsung, mereka melakukan dakwah positif seperti disarankan Allah dan Rasulullah – iaitu memberi citra sebenar ajaran Islam kepada masyarakat.
 
14. Malangnya, pada keesokan hari (18 Februari 2013), Chuan Seng pula melakukan tindakan “anti-dakwah” yang memberi gambaran amat negatif terhadap umat Islam. Seolah-olah dalam keghairahan Chuan Seng mengangkat dirinya sebagai pejuang Agenda Melayu dan Agenda Islam, dia terlupa akan ajaran sebenar Islam.
 
15. Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad s.a.w. Tentulah keterlaluan untuk saya mengharapkan Chuan Seng memiliki segala keperibadian mulia dan sikap toleransi seperti ditunjukkan oleh Rasulullah.
 
16. Namun, sekurang-kurangnya, harapan saya adalah agar penulis itu tidak menjejaskan nama baik umat Islam di Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kononnya mewakili orang Melayu dan umat Islam. Apatah lagi apabila kenyataan-kenyataan itu berbaur sikap “ultra kiasu” dan berciri “anti-dakwah”.
 
17. Dengan itu, permohonan maaf sebenarnya tidak hanya kepada “kaum India beragama Hindu” seperti dilakukan wakil akhbar Sinar Harian; sebaliknya juga kepada umat Islam kerana Chuan Seng telah memberikan suatu gambaran yang amat negatif (dan tidak benar) mengenai sikap umat Islam.
 
18. Pada pandangan saya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam juga untuk berdakwah kepada orang seperti Chuan Seng; untuk mengajar mereka cara yang betul untuk berdakwah kepada masyarakat luar.
 
19. Sesungguhnya, pada pandangan saya sejak kecil, sebaik-baik dakwah adalah keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh seorang umat Islam.
 
20. Semoga perkara-perkara yang ditimbulkan di sini turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

CATATAN: Kenyataan media ini disiarkan sepenuhnya di Projek Dialog (24 Februari 2013) dan dalam bentuk berita di Free Malaysia Today (24 Februari 2013) dengan judul "Dakwah untuk Ridhuan Tee". Turut disiarkan semula di Malaysia Daily (24 Februari 2013) dengan judul "Dakwah untuk Ridhuan Tee" dan di The Kuala Lumpur Post (24 Februari 2013) dengan judul "Uthaya Sankar SB Menyeru Ridhuan Tee Abdullah Didakwah". Berita turut disiarkan di akhbar Tamil Nesan (25 Februari 2013) - BACA DI SINI. Baca juga berita menggemparkan mengenai Ridhuan Tee: Ridhuan Plagiat -- He Teaches Ethnic Relations -- Real National Threat. Baca juga: Kalau Ridhuan Tee Jadi PM.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!