15 Jan 2013

Fardu Haji — Adaminte Makan Abu

[Makna sebenar “korban” dipaparkan dalam filem Malayalam yang ditonton khusus menjelang Hari Raya Haji.]

Saya meluangkan masa menonton sebuah filem Malayalam berjudul Adaminte Makan Abu (“Abu, anak kepada Adam”) pada malam sebelum sambutan Hari Raya Haji (26 Oktober 2012).

Ternyata filem berkenaan yang ditulis, diarah dan diterbitkan oleh Salim Ahamed pada 2011 mampu memberikan begitu banyak maklumat mengenai fardu haji berbanding sekian banyak drama Melayu mengenai topik sama yang saya tonton sejak kecil. Khabarnya Salim Ahamed mendapat idea bagi cerita ini lebih sedekad lalu di Jeddah apabila bertemu sepasang suami-isteri yang pergi umrah kerana bimbang tidak akan mampu menunaikan haji.

Secara amat mudah, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki tua dan miskin bernama Abu serta isterinya, Aishumma, yang mahu memenuhi impian menunaikan ibadat haji. Saya sengaja memilih untuk menonton filem ini pada 25 Oktober 2012 untuk menghayati semangat sebenar Aidil Adha.

Filem Adaminte Makan Abu amat perlu ditonton umat Islam di Malaysia untuk memahami makna sebenar fardu haji. Hal ini penting dan wajar kerana ramai dalam kalangan orang Islam sendiri “terlupa” makna sebenar “korban” yang menjadi dasar Hari Raya Haji.

Malah, filem ini sangat menginsafkan dan mampu pula mengukuhkan nilai persaudaraan tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai sebuah negeri yang dihuni penduduk pelbagai agama, Kerala mampu menyajikan filem-filem yang menggambarkan realiti kehidupan harmoni penduduk berlainan etnik, agama dan kepercayaan.

Amat penting juga untuk diperhatikan bagaimana watak-watak beragama Islam dalam filem ini tidak lupa – atau meninggalkan – budaya mereka. Hal ini juga amat menarik untuk diperhatikan kerana di negara kita, ramai yang mahu menjadi orang Arab tanpa mampu membezakan antara kaum, budaya dan agama. Orang “Bukan Melayu” pula mahu menjadi “Melayu” sebaik memeluk Islam.

Filem Adaminte Makan Abu dirakam menggunakan kamera digital di beberapa lokasi di Thrissur dan Kozhikode, Kerala selama lebih sebulan bermula November 2010. Cara Madhu Ambat menangani kamera, serta penyuntingan kemas oleh Vijay Shankar, lagu-lagu oleh Ramesh Narayan dan muzik oleh Isaac Thomas Kuttukapally meningkatkan lagi nilai filem ini yang disampaikan secara mudah tetapi amat berkesan. ...

Teks penuh boleh dibaca dalam buku yang sedang diusahakan sebuah syarikat penerbitan susulan insiden Uthaya Masuk Lokap.

[Uthaya Sankar SB adalah penerima Anugerah Duta Keamanan atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman, dan perpaduan melalui penulisan. Makalah ini ditulis pada 27 Oktober 2012 dan pertama kali disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]