Thursday, 17 January 2013

Sastera BM Mekar di Sekolah Cina

[Usaha Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur menganjurkan anugerah kesusasteraan wajar dipuji. ]
 
Baru-baru ini, saya diberi kepercayaan menilai karya para pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur bagi “Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin”.
 
Kategori penulisan cerpen yang diperkenalkan pada 2009 secara langsung membantu usaha mencapai objektif memupuk minat dan mencungkil bakat penulisan karya kreatif dalam kalangan pelajar; meningkatkan kemahiran pelajar mencetuskan buah fikiran yang bernas melalui penulisan dalam Bahasa Malaysia yang baik dan bermutu; serta menggalakkan pelajar menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul, bermutu dan berkesan dalam penulisan.
 
Secara umum, para pelajar yang mengambil bahagian – khususnya dalam kategori penulisan cerpen – berjaya membuktikan bahawa asas pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina (SMKC) tidak menjadi alasan atau penghalang bagi pelajar terbabit mencintai, menguasai dan seterusnya berkarya menggunakan Bahasa Malaysia.
 
Ucapan tahniah wajar diberikan kepada Panitia Bahasa Malaysia, para guru dan pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur yang sama-sama terlibat dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia seperti yang digalakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
 
Malah, seperti yang kita sedia maklum, mulai tahun 2014, kurikulum mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan diselaraskan dengan Sekolah Kebangsaan (SK).
 
Saya percaya bahawa Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Karya-karya asli dan bermutu yang terhasil menerusi pertandingan ini wajar disalurkan ke majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Media Karangkraf supaya kehebatan para pelajar ini diketahui umum; selain daripada dibukukan untuk edaran terhad.
 
Pada majlis penyampaian anugerah di sekolah berkenaan pada 31 Oktober 2012, saya turut berkongsi beberapa pandangan, komen, ulasan dan kritikan umum yang boleh dijadikan panduan oleh para pelajar apabila mengambil bahagian dalam pertandingan penulisan ini pada masa hadapan. Tentu sahaja saya amat berharap bahawa peserta yang mengambil bahagian akan terus mengembangkan bakat penulisan dengan mengambil kira beberapa ulasan yang saya berikan.
 
Bagi sebuah cerpen, beberapa perenggan awal atau introduction adalah amat penting. Saya selalu membandingkannya dengan memancing ikan. Jika umpan yang digunakan tidak menarik, lupakanlah niat mahu menarik perhatian ikan untuk memakan umpan itu. Begitu juga dengan perenggan awal cerpen; jika tidak menarik, maka pembaca (dan penilai atau editor) akan hilang minat untuk meneruskan pembacaan. Formula yang sama juga sebenarnya boleh digunakan dalam penulisan karangan bagi tujuan peperiksaan.
 
Bakat adalah anugerah Tuhan
 
Apabila menulis karya menggunakan Bahasa Malaysia, elakkan mencampur-adukkan bahasa-bahasa lain. Saya perhatikan kehadiran dialog-dialog dan penggunaan frasa Bahasa Inggeris dalam beberapa cerpen yang dinilai. Memandangkan cerpen ditulis menggunakan Bahasa Malaysia, maka perlulah dikurangkan bahasa-bahasa lain. Bagaimanapun, frasa bahasa-bahasa lain boleh dimasukkan dengan bijak dan berkesan mengikut kesesuaian untuk meningkatkan mutu karya.
 
Suatu perkara yang kurang diajar di sekolah adalah teknik penggunaan dialog dalam penulisan karangan. “Dialog” harus dibezakan dengan “perbualan”. Dalam sebuah cerpen, setiap dialog harus ada kesan terhadap cerita. Teknik dan cara menulis atau memaparkan dialog juga adalah suatu seni dalam penulisan. Kebanyakan pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini berusaha menulis dialog dan usaha ini wajar dipuji. Sekiranya dilakukan sedikit penyuntingan, karya-karya ini akan menjadi lebih hebat dan lebih menarik untuk dibaca.
 
Sesungguhnya bakat penulisan adalah suatu anugerah Tuhan. Sebagaimana tidak semua orang boleh menyanyi atau bermain alat muzik, tidak semua orang boleh menulis; khususnya karya kreatif seperti cerpen. Walau bagaimanapun, Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur berjaya membuktikan bahawa terdapat ramai pelajar yang memiliki minat, bakat, gaya dan kreativiti yang sangat menonjol untuk menjadi penulis yang berjaya dalam masa terdekat.
 
Tentu sahaja asuhan dan latihan yang berterusan perlu diadakan bagi memastikan bakat mereka tidak hilang begitu sahaja. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sedia bekerjasama dengan Panitia Bahasa Malaysia bagi merealisasikan impian itu.
 
Apabila saya membaca manuskrip cerpen-cerpen yang diserahkan kepada saya oleh Panitia Bahasa Malaysia, saya mengandaikan bahawa kesemua karya adalah asli dan tidak ada sebarang unsur peniruan atau ciplak. Hal ini wajar diberi perhatian kerana untuk menjadi penulis yang berjaya, kita mestilah mengamalkan etika dan integriti yang tinggi. Sekali kita didapati menciplak, meniru atau mencuri karya orang lain, maka selama-lamanya orang tidak akan mempercayai kita.
 
Satu lagi perkara yang saya perhatikan dalam cerpen-cerpen yang dinilai adalah hakikat bahawa para pelajar ketara mengangkat watak, kisah, budaya dan permasalahan dalam keluarga kaum Melayu.
 
Sebenarnya, memang ramai penulis yang beranggapan bahawa apabila sebuah karya ditulis dalam Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu, maka watak-watak mestilah orang Melayu. Tanggapan ini perlu diubah kerana Bahasa Malaysia adalah milik setiap rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ini wajar digunakan untuk mengangkat dan mengungkapkan kisah masyarakat pelbagai kaum dalam karya.
 
Ada beberapa peserta yang menampilkan watak kaum Cina. Bagaimanapun, “Cina” mereka hanya pada nama tanpa ada sokongan budaya dan keunikan yang sebenarnya mampu menjadikan cerpen tidak sekadar bercerita, tetapi turut menjadi rakaman budaya masyarakat.
 
Bercakap mengenai cerita, sebuah cerpen (atau “cerita pendek”) bukan sekadar bercerita. Sebaliknya perlu ada suatu kisah, kejadian dan persoalan penting yang mahu disampaikan kepada pembaca. Dalam hal ini, ada beberapa cerpen yang hanya merupakan karangan biasa berupa catatan harian – bermula dengan bangun pagi hingga tidur semula pada sebelah malam. Namun, saya percaya bahawa dengan sedikit bimbingan dan bengkel penulisan, kesemua pelajar yang mengambil bahagian dalam Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin (Kategori Cerpen) akan mampu menghasilkan karya bermutu.
 
Kesantunan berbahasa
 
Berbalik pada aspek penguasaan bahasa, ia termasuk juga kesantunan berbahasa dan tanda baca. Agak mengecewakan bahawa rata-rata peserta belum menguasai sepenuhnya aspek penggunaan tanda baca seperti koma, noktah, tanda kutip dan huruf kecil/besar. Kita perlu sedar serta akur bahawa kesilapan penggunaan tanda baca boleh mengubah keseluruhan makna atau maksud cerita yang mahu disampaikan.
 
Dari segi kesantunan berbahasa, saya agak risau membaca dialog antara anak dan ibu bapa yang menggunakan kata ganti diri “aku”, “you”, “kau”, “kamu” dan “awak”. Pada masa sama, ramai juga pelajar yang masih tidak dapat membezakan antara kata ganti “kami” dan “kita”. Ramai pula yang tidak konsisten dalam penggunaan “saya/aku” dan “awak/kamu”. Aspek bahasa seperti ini mungkin kelihatan kecil tetapi amat penting diberi perhatian sebagai usaha memartabatkan Bahasa Malaysia; apatah lagi jika mahu menjadi penulis yang berjaya.
 
Para peserta ternyata memanfaatkan peribahasa, simpulan bahasa dan perumpamaan yang dipelajari dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di kelas untuk menjadikan cerpen mereka lebih menarik. Usaha ini wajar dipuji, sekali gus menjadi bukti bahawa aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kelas tidak hanya terhenti di situ.
 
Malah, ramai pelajar yang mengangkat kisah dalam kelas dan sekolah sebagai bahan cerita untuk disajikan dalam cerpen. Hal ini adalah wajar kerana mana-mana penulis kreatif yang berjaya adalah penulis yang menulis mengenai kisah-kisah yang berlaku di sekelilingnya.
 
Lihat sahaja karya-karya hebat Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, misalnya. Mereka tidak memaksa diri menulis sesuatu yang berada di luar sempadan pengalaman mereka. Kisah di sekeliling masyarakat mereka ditulis dalam bentuk sajak, cerpen, novel dan drama yang berjaya.
 
Dalam Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin 2012, terdapat juga peserta “bukan kaum Cina” yang mengambil bahagian, khususnya dalam kategori cerpen. Agak menarik untuk diperhatikan bagaimana seorang remaja Melayu, misalnya, yang mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina, menguasai Bahasa Mandarin dan sudah serasi dengan budaya masyarakat Cina, tampil menulis cerpen Bahasa Malaysia. Inilah antara keunikan dan keistimewaan yang mungkin hanya terdapat di negara Malaysia. Kita mampu meraikan kepelbagaian dengan perasaan harmoni. Keunikan itu pula mampu kita sajikan secara penuh kreatif menerusi cerpen.
 
Secara langsung dan tidak langsung, Panitia Bahasa Malaysia, para guru dan pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur berjaya membuktikan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik bersama Bangsa Malaysia. Semoga Anugerah Kesusasteraan Tsun Jin dapat diadakan setiap tahun dalam usaha memberi nilai tambah kepada para pelajar yang merupakan pemimpin masa depan negara tercinta.
 
(Makalah ini ditulis pada 3 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 November 2012. © Uthaya Sankar SB 2012)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!