Friday, 18 January 2013

Antologi fiksyen Bahasa Inggeris

[Suatu usaha menyajikan karya-karya yang membuka mata, minda dan hati pembaca.]
 
Apabila bercakap mengenai minat membaca, tentu sahaja tumpuan kita bukan hanya terhadap karya Bahasa Malaysia. Walaupun kita masih berada dalam suasana sambutan “Bulan Bahasa Kebangsaan” (Oktober-Disember 2012), tidak bermakna bahasa-bahasa lain perlu dipinggirkan.
 
Malah, suatu aspek yang sering dilupai (atau sengaja dilupakan) oleh sekelompok pejuang bahasa kebangsaan adalah bahawa salah satu matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tercatat dalam Akta DBP adalah “untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain”.
 
Namun begitu, saya tidak bertujuan mahu menyalahkan DBP atau mana-mana pihak lain dalam perkara ini. Di negara bertuah ini, topik berkaitan bahasa-bahasa selain bahasa kebangsaan adalah amat sensitif. Sesiapa yang bercakap mengenai – atau menggunakan – bahasa-bahasa lain akan dengan amat mudah dilabel sebagai tidak memiliki semangat kebangsaan.
 
Pada masa sama, saya sejak dahulu tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa saya lebih banyak membaca karya Bahasa Inggeris berbanding karya Bahasa Malaysia sejak usia kanak-kanak. Hal ini disebabkan karya-karya (khususnya fiksyen) di negara ini masih berciri “oleh Melayu, tentang Melayu, untuk Melayu”.
 
Maka, untuk mengenali “dunia” di luar daripada skop kecil itu, saya terpaksa beralih kepada karya-karya (khususnya fiksyen) Bahasa Inggeris. Karya-karya antarabangsa juga diterjemah ke Bahasa Inggeris; sekali gus membolehkan saya menikmati “dunia tanpa sempadan” sambil tetap berpegang teguh pada jati diri serta kecintaan terhadap Bahasa Malaysia.
 
Di Malaysia, wadah penyiaran bagi karya (khususnya fiksyen) Bahasa Inggeris adalah amat terhad. Kebanyakan penulis mengambil inisiatif menerbitkan sendiri karya mereka dalam bentuk buku. Mujurlah buku-buku ini biasanya mudah diperoleh di kebanyakan kedai buku terkemuka.
 
Dalam hal ini, saya amat kagum dengan kegigihan Bernice Chauly dan Sharon Bakar yang mengusahakan antologi Readings from Readings (2011) dan Readings from Readings 2 (2012). Antologi pertama menggabungkan karya-karya pengarang Malaysia manakala antologi terbaru turut memuatkan karya beberapa penulis luar.
 
Saya berpeluang bertemu Sharon pada 11 Disember 2012 untuk mendapatkan senaskhah Readings from Readings 2 yang diterbitkan menerusi syarikat miliknya, Word Works Sdn Bhd. Saya juga berminat untuk mengetahui pengalaman wanita berkenaan mengusahakan penerbitan antologi kedua ini.
 
Menyemarakkan sastera Bahasa Inggeris
 
“Antologi ini dilancarkan semasa George Town Literary Festival pada November 2012 dan kini boleh didapati di kebanyakan kedai buku utama seluruh negara. Malah, buku ini menduduki tempat pertama senarai karya Asia di kedai buku Kinokuniya,” katanya dengan gembira.
 
Sama seperti antologi pertama, buku terbaru juga dicetak sebanyak seribu naskhah dan kini sudah bersedia untuk memasuki cetakan kedua. Maka, tidak sia-sialah Sharon memilih untuk menerbitkan buku-buku berkenaan.
 
Walau bagaimanapun, penerbitan Readings from Readings 2 bukan bermotif mengaut keuntungan. Sebaliknya, Sharon dan Bernice berusaha mengumpulkan karya-karya bermutu dalam bentuk buku supaya dapat dijadikan bahan dokumentasi.
 
Tambahan pula, kedua-dua wanita itu terlibat dalam mengusahakan siri acara membaca teks (puisi, prosa dan lagu) sejak hampir sedekad lalu. Malah, rata-rata karya yang dimuatkan dalam antologi ini adalah hasil daripada karya-karya yang dipersembahkan menerusi acara Readings at Seksan iaitu acara bulanan di Bangsar.
 
Selain daripada kelompok penulis terkenal dari dalam dan luar negara, buku ini juga menampilkan karya beberapa individu yang berjaya menghasilkan karya sulung; misalnya Shahminee Selvakannu, Chee Siew Hoong dan Angeline Woon.
 
“Beberapa individu yang saya bimbing menerusi kelas penulisan kreatif juga berjaya menghasilkan karya yang memenuhi kriteria pemilihan bagi antologi ini; misalnya Cynthia Reed, Ted Mahsun, Saras Manickam, Damyanti Ghosh dan Eileen Lian,” Sharon menceritakan.
 
Proses pemilihan karya bagi antologi ini sebenarnya tidak semudah disangka. Sharon menguruskan menerimaan manuskrip daripada penulis yang berminat. Kemudian, beliau dan Bernice melakukan kerja-kerja penilaian terhadap kesemua karya yang diterima daripada lebih 90 penulis.
 
Selepas pemilihan dilakukan, bermula pula kerja-kerja penyuntingan di mana berlaku komunikasi antara penyunting dan penulis – sama ada menerusi e-mel, telefon atau bersemuka – untuk melakukan proses pembetulan, pembaikan dan penulisan semula manuskrip sehingga kedua-dua pihak benar-benar berpuas hati.
 
Gabungan penulis baru dan lama
 
“Kalau boleh, saya memang mengharapkan penulis mengirim manuskrip yang sudah sempurna dan hanya memerlukan penyuntingan yang minimum tetapi tentulah agak mustahil untuk meletakkan harapan setinggi itu. Namun, saya berasa amat gembira kerana kesemua penulis terbabit sedia menerima kritikan, komen dan saranan untuk membaiki karya mereka,” katanya sambil kami makan tengah hari dan minum teh buah-buahan.
 
Saya percaya bahawa memandangkan antologi Readings from Readings sudah berada dalam pasaran sejak Februari 2011, maka boleh dijadikan semacam panduan oleh penulis yang mengirim karya bagi antologi kedua.
 
Sharon mengakui bahawa mutu karya pada kali ini setara dan lebih baik berbanding buku pertama. Malah, antologi pertama menyajikan beberapa karya yang mungkin tidak sesuai bagi “pembaca bawah umur” tetapi buku terbaru pula lebih banyak memuatkan karya-karya bertema hubungan kekeluargaan.
 
Tulisan berupa catatan pengalaman peribadi Saras mengenai Kannan dalam “Will You Let Him Drink the Wind?” pasti menyentuh jiwa dan minda pembaca. Begitu juga dengan kisah “Pak Sudin’s Bicycle” oleh Ted Mahsun. Namun, saya tidak mahu lagi mengulas karya-karya dalam antologi ini.
 
Antara penulis baru dan lama yang karya mereka termuat dalam antologi kedua ini termasuk Fadzlishah Johanabas, M. Shanmughalingam, Cindy Childress, Preeta Samarasan, Alina Rastam, Marc de Faoite, Vernon Daim, Gopalan Sellan, Amir Hafizi dan Lilian Tan.
 
Karya-karya Eileen Lui, Omar Musa, Megat Ishak, Sharanya Manivannan, Thato Ntshabele, Viren Swami, Rodaan Al Galidi, Alfian Sa’at, Martin Axe dan Chuah Guat Eng turut dimuatkan. Maka, barisan penulis adalah berciri antarabangsa dan menjanjikan kepelbagaian tema, gaya dan teknik penulisan.
 
Seperti yang dinyatakan tadi, Sharon selaku penerbit tidak berniat mahu mengaut keuntungan menerusi buku setebal 206 halaman ini yang dijual pada harga RM29.90 senaskhah. Walaupun belum menerima apa-apa keuntungan besar menerusi dua buku yang sudah diterbitkan, beliau kini merancang untuk menerbitkan sekurang-kurangnya dua lagi antologi pada tahun hadapan.
 
Sebagai seorang pembimbing sepenuh masa, Sharon akan memulakan kelas penulisan kreatif selama 10 minggu bermula Januari 2013. Acara Readings at Seksan pula dijadualkan pada 29 Disember 2012.
 
Maka, bagi sesiapa yang meminati karya Bahasa Inggeris oleh penulis tempatan tetapi sering merungut kerana kurang bahan bacaan, silalah berkenal-kenalan dengan Sharon dan Bernice. Pasti anda akan berpeluang melihat “dunia” yang terbentang luas tanpa perlu merungut dan menyalahkan mana-mana pihak. Mana tahu, karya anda bakal termuat dalam antologi akan datang.
 
[Uthaya Sankar SB suka menikmati karya - termasuk filem - pelbagai bahasa tetapi memilih untuk menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Makalah ini ditulis pada 12 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 17 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!