Saturday, 8 September 2012

Penulis Malaysia – 8

Nama Saroja Theavy Balakrishnan mula melonjak sebaik penulis kelahiran Alor Setar, Kedah ini menang tempat pertama Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1991 menerusi cerpen “Kandasami”. Bekas guru ini turut berkongsi hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 1999/2000 bersama Hizairi Othman dan Ani Mawar Abdullah. Selepas wujud semacam “kekosongan” penulis kaum India yang mewarnai sastera bahasa kebangsaan pada tahun 1980-an, kemunculan Saroja membawa sinar harapan yang amat bermakna. Penguasaan Bahasa Malaysia yang dimilikinya digunakan secara amat berkesan untuk bercerita di samping mendidik generasi muda mengenai pelbagai isu semasa. Kesibukan kerja sebagai guru dan ibu pernah membuatkan Saroja sedikit kurang menulis pada pertengahan tahun 1990-an. Bagaimanapun, hasil motivasi yang diterima – khususnya daripada keluarga – memungkinkan pengarang ini muncul dengan dua kumpulan cerpen iaitu Gemerlapan (1997) dan Keinginan Kecil di Celah Daun (2003). Dewasa ini, Saroja banyak mengangkat tema-tema alam sekitar menerusi karyanya. Beliau antara penulis yang menjadi kebanggaan dan sering disebut-sebut oleh Allahyarham Dr Othman Puteh yang turut menjadi pembimbingnya semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada kali terakhir saya berbual dengan Saroja menerusi telefon, beliau menyatakan bahawa dalam kesibukan bekerja, beliau sedang menyiapkan karya terbaru. Sama-sama kita nantikan buah tangan terbaru daripada penulis cerpen “Lambaian Malar Hijau”. Selamat Menyambut Hari Malaysia! [SENARAI PENULIS KAUM INDIA]