Wednesday, 5 September 2012

Penulis Malaysia – 5

Salah seorang penulis dengan latar perundangan yang kuat di Malaysia ialah Nisah Haron. Saya selalu mengatakan bahawa para penulis di negara ini amat bertuah kerana mempunyai tempat untuk merujuk jika timbul sebarang isu berkaitan undang-undang, peraturan dan hal-hal berkaitan royalti serta hak cipta. Dalam blognya, Nisah menyebut kerjayanya sebagai peguam sivil dan peguam syarie (1998-2006) sebagai “cerita lama”. Namun, pada hakikatnya, kepakaran beliau dalam bidang perundangan tetap bermanfaat kepada golongan penulis; apatah lagi kini pelbagai isu berkaitan hak cipta dan royalti berlaku di depan mata. Penulis sepenuh masa, penasihat Ujana Ilmu Enterprise dan pensyarah sambilan ini turut mengaku dirinya “lebih bahagia memperjuangkan hak cipta sahabat-sahabat pengarang”. Kenyataan berani dan pendirian tegas oleh setiausaha Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini amat bermakna di tengah-tengah situasi pertubuhan pengarang tertentu mengeluarkan kenyataan menyokong penuh segala apa pun keputusan pemerintah dalam hal-hal berkaitan dunia penulisan dan penerbitan buku. Sekurang-kurangnya golongan penulis boleh menarik nafas lega kerana ada pakar bidang yang sedia membantu. Selamat Menyambut Hari Malaysia!