11 Jun 2012

Travelog Beijing

[Penulis berkongsi pengalaman melawat Beijing selama 10 hari menerusi travelog ini.]

Tujuan travelog ini dihasilkan amat nyata, iaitu untuk memberi panduan kepada sesiapa sahaja yang bercadang melawat Beijing, China. Namun, pada masa sama, buku ini ternyata turut menjadi bacaan santai untuk mengikuti pengalaman yang terkandung di dalamnya.

One Nusantara Sdn Bhd memulakan usaha menceburi bidang penerbitan buku-buku seperti ini menerusi Travelog Beijing (2012). Buku setebal lebih 300 halaman ini ditulis berikutan lawatan tiga penulis yang ditaja oleh syarikat penerbitan itu melawat Beijing selama 10 hari pada Julai 2011.

Buku ini dilancarkan pada 2 Mei 2012 di pentas utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Seperti yang dijanjikan pada kulit belakang buku ini, Travelog Beijing memberikan maklumat lengkap mengenai destinasi pelancongan utama serta trivia berguna kepada pembaca menerusi penggunaan Bahasa Malaysia yang mudah difahami.

Satu lagi aspek penting adalah maklumat terperinci mengenai masjid-masjid dan restoran makanan halal di Beijing. Maklumat ini dijangka sangat berguna kepada pelancong beragama Islam yang mungkin sedikit risau memikirkan soal makanan halal sepanjang berada di sana.

Travelog ini disusun secara kronologi di mana pembahagian bab adalah mengikut urutan 10 hari ketiga-tiga penulis berada di Beijing. Maklumat mengenai persiapan yang perlu diberi perhatian sebelum ke Beijing turut dinyatakan pada bahagian pengenalan.

Ratusan foto warna yang menghiasi travelog ini menjadikan buku ini menarik dibuka pada mana-mana halaman dan menikmati maklumat, trivia dan foto yang disajikan.

Walaupun saya terlibat sama – bersama-sama Izan Ali dan Nurfa – dalam menghasilkan buku ini, saya hanya melihat buku ini selepas ia siap dicetak. Saya hanya terlibat sehingga proses penyediaan manuskrip akhir dan pemilihan foto-foto.

Tugas reka letak, semakan pruf dan sebagainya diuruskan oleh kakitangan One Nusantara. Izan dan Nurfa juga sering menghubungi Tan See Hua, pemandu pelancong kami di Beijing, untuk mengesahkan maklumat dan fakta.

Maka, apa yang disajikan menerusi Travelog Beijing adalah pengalaman peribadi, fakta dan panduan berguna bagi sesiapa sahaja; sama ada individu yang bercadang melawat Beijing mengikut rombongan atau back-packing.

Malah, sesiapa yang belum bercadang – atau tidak bercadang – melawat Beijing juga boleh membaca travelog ini demi menimba ilmu, pengalaman dan catatan berguna yang terkandung di dalamnya.

Bagi sesiapa yang sudah pernah ke Beijing – melancong, belajar atau atas urusan perniagaan – maka buku ini boleh membantu mengimbau kenangan silam.

NOTA: Mahu membeli buku ini pada "harga runtuh"? Sila KLIK DI SINI.

(Ulasan buku ini ditulis pada 7 Mei 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)