24 Jun 2012

Bersih 3.0, Mahatma dan Dharma

Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.

Demikian kata-kata hikmah oleh Mahatma Gandhi (2 Oktober 1869 – 30 Januari 1948) yang menjadi pegangan dan panduan saya sejak dahulu. Gandhi turut mengingatkan: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”

Pejuang kemerdekaan India itu turut dikenali di seluruh dunia atas perjuangan tanpa kekerasan (ahimsa) yang diamalkannya. Sebagai seorang penganut dan pengamal ajaran agama Hindu, mendiang sentiasa berpegang pada konsep dan peraturan “dharma”.

Pada 18 Mei 2012, Kughan Nadarajah, Jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang melakukan pemantauan media telah memanjangkan kepada saya suatu berita dalam talian (online) di laman sesawang Bernama.

Berita itu bertajuk “Perhimpunan Atau Demonstrasi Kini Bukan Jalan Penyelesaian Bagi Masyarakat India” dan ditulis oleh Kisho Kumari Sucedaram. Sebagai seorang pengamal dan perunding media, saya mengandaikan bahawa berita itu dilaporkan secara objektif dan tepat berdasarkan sumber yang sahih dan benar.

Apa yang dilaporkan adalah amat “menarik” kerana secara amat khusus menggunakan agama Hindu untuk “mewajarkan” pandangan yang dikemukakan beberapa tokoh.

Kavyan tidak terlibat dalam perhimpunan besar-besaran Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 mahupun Bersih 3.0 pada 28 April 2012 walaupun Datuk A. Samad Said (Pak Samad) adalah Penasihat Agung Kavyan sejak 2003.

Malah, menjelang perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 7 Mac 2009, seorang rakan wartawan bertanya sama ada Kavyan akan turun bersama-sama Pak Samad yang juga penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Saya menjelaskan kepada rakan itu bahawa Kavyan tidak pernah berdemonstrasi bagi membantah dasar kontroversi itu walaupun kami menyokong perjuangan Pak Samad.

Berbalik pada Bersih 3.0 pula, perkara paling penting dan paling asas yang perlu diingat oleh semua pihak adalah bahawa perhimpunan itu adalah bertujuan menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Saya tidak dapat membayangkan ada individu yang cukup bodoh (kurang cerdik?) untuk tidak menyokong atau tidak bersetuju dengan tuntutan itu. Walaupun saya tidak menghadiri perhimpunan Bersih 3.0, sebagai seorang rakyat, saya mengharapkan (malah menuntut!) proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Sesungguhnya saya terkejut dan hanya mampu ketawa terbahak-bahak apabila membaca kenyataan pihak tertentu yang mengatakan bahawa perhimpunan pada 28 April 2012 di Kuala Lumpur dan di pelbagai lokasi di seluruh negara – malah di seluruh dunia – bertujuan menggulingkan kerajaan.

Bagi seorang penulis, mata pena (hasil tulisannya) diakui lebih tajam daripada mata pedang. Bagi peserta perhimpunan Bersih 3.0 pula, ternyata sebotol air mineral, segenggam garam dan sehelai tuala tangan lebih “tajam dan berkuasa” daripada gas pemedih mata, pancutan air kimia dan pelbagai “senjata” lain yang terbukti digunakan pihak berkuasa atas arahan pemerintah.

Memang pelbagai pihak tampil mengemukakan pelbagai pandangan – malah fatwa – mengenai perhimpunan Bersih 3.0. Ada juga yang melakukan “serangan balas” berbentuk peribadi; misalnya menjual burger daging lembu di hadapan rumah orang beragama Hindu manakala sekumpulan orang tua menayangkan punggung di khalayak ramai.

Nasihat saya amat mudah: Jangan mengutuk tindakan menjual burger dan aksi senaman buntut oleh puak anti-Bersih kerana anda akan membantutkan daya kreativiti puak terbabit yang pasti sedang bersiap-sedia melakukan banyak lagi aksi bodoh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pada masa sama, presiden Malaysian Hindu Dharma, Prof Dr N. S. Rajendran dan presiden Hindu Sangam, R. S. Mohan Shan yang kenyataan mereka disiarkan oleh Bernama pada 18 Mei 2012 tidak pula menyebut apa-apa mengenai “hukum” apabila ada orang sengaja menjual burger lembu atau membuat senaman punggung di hadapan rumah seseorang penganut agama Hindu.

Dalam pada itu, sekiranya diteliti, kenyataan Rajendran dan Mohan sebenarnya “menyokong penuh” perhimpunan Bersih 3.0 dari sudut agama Hindu. Untuk itu, kita perlu sentiasa ingat tentang perjuangan sebenar Bersih 3.0 tanpa terkeliru dengan pelbagai tuduhan mengelirukan yang dilontarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Mohan, “perhimpunan atau demonstrasi hanya boleh diadakan dengan syarat ianya [sic] dijalankan secara aman serta menghormati setiap umat manusia, malah haiwan sekalipun dan tidak boleh menyusahkan orang lain”.

Beliau yang menyokong kenyataan terdahulu oleh Rajendran turut mengakui bahawa “perhimpunan itu hanya akan dihormati majoriti rakyat apabila ia mempunyai sebab yang wajar”.

Kenyataan “sokongan padu” itu terselindung di sebalik pelbagai kenyataan lain yang tidak berasas dan mungkin berniat jahat. Misalnya, kedua-dua presiden itu sudah membuat ketetapan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 “yang bertukar menjadi rusuhan”, “mencetuskan keganasan dan merosakkan harta benda awam”, “menjejaskan keamanan negara”, “disokong pembangkang” dan “berasaskan emosi atau keganasan”.

Pendirian awal – atau brainwash? – yang turut mewarnai kenyataan Rajendran dan Mohan termasuk juga: “diapi-apikan oleh pihak berkepentingan politik”, “mengancam nyawa, menimbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda awam” serta “mewujudkan kacau-bilau mahupun dimanipulasi pihak lain”.

Saya masih tertanya-tanya bagaimana mereka berdua sudah boleh membayangkan segala perkara itu “akan berlaku” sekiranya kaum India beragama Hindu menyertai perhimpunan Bersih 3.0. Perlu diingat bahawa keseluruhan kenyataan mereka adalah untuk kononnya menjelaskan mengapa orang India-Hindu memilih untuk tidak menyertai perhimpunan pada 28 April 2012.

Frasa yang sering diulang-ulang adalah bahawa Bersih 3.0 didalangi pembangkang. Kenyataan ini amat dangkal kerana individu terbabit ternyata tidak memahami perjuangan serta barisan pejuang Bersih yang mahukan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Cuma satu frasa yang mungkin terlupa diselitkan dalam kenyataan kedua-dua tokoh agama berkenaan; iaitu “menggulingkan kerajaan”.

Bercakap mengenai agama – dan dalam konteks ini, agama Hindu – ternyata ada cubaan untuk memanipulasi agama itu untuk mengeluarkan semacam “fatwa” bahawa agama Hindu melarang penganutnya menyertai perhimpunan.

Konsep “dharma” menjadi asas kepada ajaran agama Hindu. Para pemikir agung yang hidup pada sekitar tahun 2500 Sebelum Masehi di India sudah menyenaraikan ordinan, peraturan, tugas, hak, moral, tanggungjawab, peranan dan ciri yang perlu dimiliki oleh setiap individu yang hidup dalam masyarakat menerusi Dharmasastra, Veda dan Manu Smrti.

Topik-topik berkaitan tugas pemerintah, perundangan, pentadbiran, prosedur mahkamah, undang-undang sivil, sains politik dan pelbagai topik lain terkandung dalam teks nibandha seperti Kalpataru, Smrticandrika, Smrtitattva dan Viramitrodaya.

Pengarang purana turut memasukkan unsur ajaran “dharma” yang terdapat dalam veda, dharmasutra, smrti dan nibandha apabila mengangkat kisah dewa-dewi; khususnya untuk menerapkan nilai “dharma” pada kanak-kanak.

Sesiapa yang berpeluang membaca epik Mahabharata dan Ramayana pasti mengakui serta menyedari kehadiran pelbagai konsep “dharma” dan ajaran agama Hindu di dalamnya.

Dalam Ramayana misalnya, kelahiran (inkarnasi) watak Rama adalah khusus untuk menamatkan keangkuhan dan kezaliman watak Ravana. Rama terpaksa melalui perjalanan panjang dengan bantuan Hanuman, lotong berjanggut putih, sebelum berjaya melaksanakan “tugas” yang diamanahkan kepadanya.

Ringkasnya, “dharma” merujuk pada tanggungjawab melakukan kebaikan menurut “karma”. Nah, bukankah apa yang dilakukan Bersih 3.0 sama sahaja dengan kisah dalam Ramayana?

Begitu juga dengan kisah dalam Mahabharata di mana Pandawa (yang mewakili kumpulan minoriti, iaitu rakyat jelata?) ditipu, dizalimi, dimalukan, dimanipulasi dan dihina dengan pelbagai cara oleh Kaurawa (yang mewakili kumpulan majoriti, iaitu pemerintah yang maha berkuasa?).

Namun, akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada Pandawa yang berani berjuang menuntut kebenaran dan hak menerusi peperangan (proses pilihan raya?) yang bersih, bebas dan adil.

Maka, jangan ada pihak yang mudah “dimanipulasi pihak tertentu” dan mengeluarkan kenyataan menyelar perhimpunan Bersih 3.0 dengan “memperalatkan” agama Hindu atau mana-mana pertubuhan agama Hindu.

Gandhi berani menentang kezaliman dan ketidakadilan. Beliau mengadakan mogok lapar, hartal, perhimpunan besar-besaran, demonstrasi, mogok lapar dan satyagraha demi perjuangan menuntut keadilan, hak dan kebenaran.

Kalaulah mendiang masih ada – dan kebetulan diberi kewarganegaraan Malaysia serta hak mengundi – saya pasti bahawa beliau juga telah bersama-sama Datuk S. Ambiga, Pak Samad dan ribuan rakyat jelata menyertai “duduk bantah” sempena perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 demi menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. - BACA JUGA DI SINI

(© Uthaya Sankar SB. Makalah ini ditulis pada 21 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Jun 2012.)