26 Jan 2012

Tentang Penasihat Kavyan

Pada 30 Disember 2011, saya mengadakan kuiz mudah menerusi Facebook dengan meminta rakan-rakan menamakan tiga Penasihat Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Walaupun pada mulanya saya merancang memberikan hadiah buku kepada lima orang, akhirnya hadiah diberi kepada lapan individu.


Tahniah kepada Badaruddin Mohd Tajudin, Azrie Izham Hamzah, Amirah Najwa Kaharudin, Muhammad Zikri, Abdullah Abdul Rahman, Puneswary Egambaram, Muhammad Suhaimi Adanan dan Nur Asilah.


Nama-nama yang dikemukakan (mengikut urutan kekerapan) sebagai jawapan kuiz ialah Datuk A. Samad Said, Dr Anwar Ridhwan, Dr Krishanan Maniam dan Allahyarham Dr Othman Puteh.


Untuk makluman, terdapat tiga jawatan penasihat yang dilakukan secara lantikan iaitu Penasihat Agung, Penasihat Perdana dan Penasihat Kehormat.


Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dilantik sebagai Penasihat Agung pada 2003 dan beliau masih mengekalkan jawatan itu; seperti diputuskan sebulat suara semasa Mesyuarat Tahunan Kavyan pada 6 November 2011.


Malah, beliau yang lebih mesra dengan panggilan “Pak Samad” terbukti adalah penasihat yang paling aktif dan sering mengambil tahu perkembangan Kavyan; termasuk menerusi blog dan SMS.


Profesor Madya Dr Krishanan Maniam dari Universiti Malaya merupakan Penasihat Kavyan sejak 1999. Mulai 2003, beliau dilantik sebagai Penasihat Perdana dan beliau masih mengekalkan jawatan itu; seperti diputuskan pada Mesyuarat Tahunan Kavyan yang lalu.


Pada tahun 2003, apabila tiga jawatan penasihat diwujudkan, Dr Othman Puteh dilantik sebagai Penasihat Kehormat dan beliau memegang jawatan itu sehingga meninggal dunia pada 19 Oktober 2003.


Kemudian, Datuk Dr Anwar Ridhwan dilantik mengisi jawatan berkenaan. Untuk makluman, Dr Anwar Ridhwan diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada 11 Ogos 2009.


Bagaimanapun, nampaknya ramai yang tidak sedar bahawa Dr Anwar Ridhwan sudah “mengundur diri” dan melepaskan jawatan Penasihat Kehormat menerusi kenyataan yang disiarkan oleh Salbiah Ani di akhbar Berita Harian pada 12 Julai 2007.


Biar saya terangkan apa yang berlaku supaya tiada sesiapa yang terus terkeliru. Pada 24 Jun 2007, sebuah sajak gubahan saya berjudul Pe(r)juang(an) Bahasa IIdisiarkan di akhbar Mingguan Malaysia.


Sajak berkenaan berakhir dengan frasa “dirgahayu Bahasa Malaysia” dan membawa tema memperjuangkan serta memartabatkan bahasa kebangsaan pada ketika pihak tertentu memandang rendah kemampuan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu.


Anehnya, pada 5 Julai 2007, Salbiah Ani menerusi ruangan “Naqdu bersama Salbiah Ani” di akhbar Berita Harian mentafsir sajak berkenaan sebagai menghina golongan yang digelar oleh wartawan itu sebagai “pejuang bahasa Melayu”.


Terkejut dan sedih dengan “tahap mentaliti/pemahaman sebenar” yang dipamerkan secara terang-terangan oleh seorang wartawan kanan sebuah akhbar arus perdana, saya segera mengirim e-mel kepada Salbiah Ani untuk menjelaskan bahawa dia 100 peratus tersalah tafsir sajak Pe(r)juang(an) Bahasa II.


Tentulah saya mengharapkan supaya wanita itu segera menyedari “kesilapan dan dosa” akibat dikuasai emosi yang mampu menutup upaya pemikiran rasional. Mungkin (ulang: mungkin) atas tekanan/saranan pihak tertentu.


Malangnya, apa yang berlaku seminggu kemudian membuatkan saya mempunyai alasan untuk semakin mempercayai kemungkinan ada pihak yang sengaja mencari ruang dan peluang memanipulasi Salbiah Ani untuk menjadikan sajak Pe(r)juang(an) Bahasa IIsebagai senjata bagi mencemarkan imej saya dan Kavyan.


Pada 12 Julai 2007, Salbiah Ani menerusi ruangannya di akhbar Berita Harian antara lain mengumumkan dengan gembira bahawa dia “menerima e-mel daripada penyair, pejuang bahasa dan Penasihat Kavyan, Datuk Dr Anwar Ridhwan, berhubung tindakan penyair muda yang menghina pejuang bahasa lewat sajaknya ‘Pe(r)juang(an) Bahasa II’ yang disinggung dalam kolum ini minggu lalu.”


Katanya lagi: “Dr Anwar membuat keputusan mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan berkuat kuasa serta-merta kerana terkejut dengan kandungan sajak yang ditulis Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.”


Memandangkan Dr Anwar Ridhwan mengirim surat “mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan” kepada Salbiah Ani dan bukannya kepada Jawatankuasa Kavyan, maka kami memutuskan bahawa tidak timbul keperluan untuk saya atau Kavyan menjelaskan makna sajak Pe(r)juang(an) Bahasa IIkepada beliau.


Tadi saya ada menyebut mengenai “manipulasi” pihak tertentu. Malah, mungkin juga konspirasi separa masak yang diatur pihak tertentu berikutan rasa cemburu yang tidak tertahan terhadap segala aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya yang dijayakan Kavyan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak.


Malah, Kavyan dengan kerjasama Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta The One Academy sepatutnya menganjurkan “Forum & Filem Pendek Sangeetha” pada 14 Julai 2007 di Menara DBP, Kuala Lumpur.


Bagaimanapun, pada 12 Julai 2007, saya dimaklumkan oleh pihak DBP bahawa acara berkenaan terpaksa “ditunda” (ditangguhkan) atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan – sehingga hari ini!


Pada 15 Julai 2007, pengarang novel Sangeetha (2006), Azizi Haji Abdullah (Allahyarham) yang sudah pun turun ke Kuala Lumpur atas undangan Kavyan, menceritakan kepada saya bahawa pihak tertentu “mendesak” supaya acara berkenaan dibatalkan dengan menjadikan sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” sebagai alasan.


Semua itu mengingatkan saya pada cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002) dan “Kita Sudah Gagal, Raja” (Mingguan Malaysia, 22 Februari 2004) yang turut dimuatkan dalam kumpulan Rudra Avatara (2008).


Seolah-olah ada kumpulan tertentu yang “meniru” (copycat) teori konspirasi yang sudah pun saya dedahkan lebih awal secara kreatif dan terperinci menerusi karya-karya saya!


Berbalik pada sajak Pe(r)juang(an) Bahasa IIdan tulisan Salbiah Ani yang ternyata sengaja memutar-belit maksud sajak berkenaan, Pak Samad memberitahu saya bahawa ada pihak tertentu yang turut menghubungi beliau dan “menasihatkan” supaya beliau melepaskan jawatan Penasihat Agung Kavyan.


Akan tetapi, tentulah Pak Samad bersikap amat rasional dan tidak cepat melenting akibat dikuasai emosi. Beliau juga tidak mungkin “dipujuk rayu” pihak tertentu yang seolah-olah cuba menjatuhkan Kavyan secara licik dan haram.


Malah, bermula awal tahun 2011, sejak Kavyan terlibat dalam usaha “murnikan atau tarik balik” penggunaan novel Interlok Edisi Murid sebagai teks Komsas, ternyata ada pihak tertentu yang cuba “memujuk” Pak Samad sekali lagi.


Saya dapat mengagak perkara itu tanpa Pak Samad perlu menceritakan apa-apa kepada saya dalam pertemuan dwibulanan kami.


Bagaimanapun, pihak terbabit lupa bahawa Pak Samad tetap bersikap rasional dan intelektual. Malah, Pak Samad tahu segala apa yang berlaku dalam Kavyan sejak awal.


Pak Samad tahu peribadi, semangat, integriti, nilai, ketelusan dan perjuangan Kavyan.

Beliau tidak mungkin terpengaruh dengan sebarang bentuk fitnah dan khabar angin berbaur perkauman yang mungkin disebarkan pihak tertentu.


Ternyata Kavyan amat bertuah mempunyai Pak Samad sebagai Penasihat Agung! Bukan semata-mata kerana beliau Sasterawan Negara atau kerana Kavyan menganggap beliau sebagai sebahagian ahli keluarga dalam kumpulan kecil ini.


Pak Samad sentiasa bersikap rasional, kritikal dan intelektual dalam membuat sebarang keputusan serta tegas mempertahankan pendirian; sambil tetap menerima kewujudan perbezaan pandangan.


Dalam isu empat penulis yang dinafikan hak royalti bagi karya mereka yang dijadikan teks Komsas, Pak Samad tampil memberi sokongan walaupun pelbagai pihak memilih untuk membisu dan berpura-pura tidak ada apa-apa yang berlaku di depan mata.


Menerusi artikel bertajuk “The very Malay(sian), confident, arrogant Uthaya Sankar SB!” (New Straits Times, 4 Julai 2001), Dina Zaman menyimpulkan begini:


“If truth be told, perhaps the snipers can’t take to him because they’re reminded of what they cannot accomplish.”


Kavyan yang diasaskan pada 1999 memaafkan golongan “snipers” (pengkritik; atau penembak hendap) seperti itu kerana kami sedar, mereka berbuat demikian semata-mata kerana pemikiran mereka masih berada pada tahap jahiliah.

Mungkin mereka mencemburui apa-apa yang mampu dilakukan Kavyan dengan berani tanpa perlu tunduk pada sesiapa.


Kami mendoakan supaya Tuhan menyucikan jiwa mereka serta memberikan mereka limpahan rezeki yang halal.


Sementara itu, Jawatankuasa Kavyan baru-baru ini melantik Encik K. Balasubramaniam sebagai Penasihat Kehormat. Beliau seorang bekas pengetua dan presiden Gabungan Persatuan Penulis Tamil Malaysia (Gapetam).


Mesyuarat Tahunan Kavyan pada 6 November 2011 juga memutuskan untuk membuka keahlian kepada masyarakat pelbagai kaum; sambil mengekalkan amalan eksklusif dalam perkara tertentu. Semuanya dilaporkan secara telus di blog rasmi Kavyan.


(Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Artikel ini ditulis pada 31 Disember 2011 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 9 Januari 2012.)