19 Dec 2011

Interlok & MIC: The Plot Thickens

“Pendedahan” Presiden MIC, Datuk G. Palanivel seperti yang disiarkan di akhbar theSun pada 19 Disember 2011 menunjukkan kemungkinan (ulang: kemungkinan) ada usaha pihak tertentu “menipu” serta “mengabui mata” rakyat pelbagai kaum berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Berikut beberapa persoalan saya:


1. Kalaulah sejak 12 Mei 2011, MIC sudah tahu bahawa novel Interlok Edisi Murid akan ditarik balik pada 2012, mengapa perlu menandatangani dokumen dan mengizinkan novel itu dicetak semula dengan hanya 20 peratus daripada pindaan yang diperakukan?


2. Kalaulah sejak 12 Mei 2011, NIAT sudah tahu perkara sama, mengapa perlu melakukan segala apa yang dilakukan – cadangan mogok lapar, memo ke Istana Negara, laporan polis dan sebagainya?


3. Kalaulah benar Kabinet benar-benar sudah membuat keputusan menarik balik novel itu, mengapa sampai Timbalan Menteri Pelajaran tidak tahu? (Walaupun Dr Mohd Puad tidak hadir mesyuarat, tentu ada catatan/minit yang dibuat Menteri Pelajaran sebagai rujukan.)


4. Mengapa MIC mengizinkan novel itu dicetak semula dengan hanya sekitar 20 peratus pindaan sedangkan keputusan sudah dibuat pada Mac 2011. Siapa yang beri hak kepada MIC untuk “menolak” keputusan supaya Hak Cipta novel dikembalikan kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dalam cetakan baru (Interlok Kulit Biru)?


5. Kalaulah benar keputusan sudah dibuat oleh Kabinet sebelum 12 Mei 2011, mengapa kerja-kerja pemurnian dan mencetak semula novel itu diteruskan? Siapa beri kuasa untuk membazir wang rakyat dengan cara itu; iaitu mencetak semula buku sedangkan tidak akan digunakan di sekolah.


Berikut ringkasan “plot” cerita bagi membantu pemahaman:


16 Februari 2011 – Panel Bebas Meminda Interlok Edisi Murid memulakan tugas. [MAKLUMAT LANJUT]


4 Mac 2011 – Panel Bebas secara konsensus bersetuju membuat pindaan (pemurnian) melibatkan kesalahan fakta, kesilapan bahasa dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum (ulang: mana-mana kaum).


16 Mac 2011 – Tiga wakil kaum India keluar dari Panel Bebas berikutan “asakan” dan “desakan” supaya hanya satu pindaan dilakukan pada novel Interlok Edisi Murid; iaitu perkataan “p****”. Terdahulu, anggota lain dalam Panel Bebas “menarik balik” saranan pindaan melibatkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan Cina. [MAKLUMAT LANJUT]


23 Mac 2011 – Pertemuan tiga wakil kaum India (Dr NS Rajendran, Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB) bersama Menteri Pelajaran. Hadir sama, Presiden MIC serta timbalannya. Selepas dibahas dan dihujahkan, Menteri Pelajaran bersetuju dengan kesemua saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India; melibatkan perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India, kesalahan fakta dan kesilapan bahasa. [MAKLUMAT LANJUT]


24 Mac 2011 – Menteri Pelajaran mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa pindaan akan dilakukan seperti dipersetujui. Formula yang digunakan adalah 19 + 87; iaitu 19 perkara menyentuh sensitiviti kaum India dan baki 87 adalah kesalahan fakta, kesilapan bahasa dan hak pengarang. [MAKLUMAT LANJUT]


25 Mac 2011 – Taklimat media di Dewan Soma, Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur. Krishnabahawan turut menyampaikan pengesahan dari pejabat Perdana Menteri (diterima menerusi telefon sejurus sebelum taklimat) bahawa Menteri Pelajaran bersetuju agar novel Interlok Edisi Murid dicetak semula dengan segala pindaan. [MAKLUMAT LANJUT]


Maka, sepatutnya, segala apa yang dilakukan selepas pengumuman rasmi di Dewan Rakyat haruslah menjurus ke arah keputusan yang diumumkan itu.


Bagaimanapun, “plot” berikut juga wajar diperhatikan; termasuk “pendedahan” terkini Datuk Palanivel:


28 Mac 2011 – Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel Interlok Edisi Murid walaupun jika pindaan dibuat dan kenyataan ini dilaporkan di akhbar Utusan Malaysia pada 22 Jun 2011. [MAKLUMAT LANJUT]


12 Mei 2011 – Datuk Palanivel memberitahu pengerusi NIAT, Datuk Haji Thasleem Mohamed Ibrahim bahawa Interlok Edisi Murid tidak akan digunakan mulai tahun 2012. [MAKLUMAT LANJUT]


28 Mei 2011 – NIAT umum akan mengadakan mogok lapar sehingga kerajaan bersetuju menarik balik novel berkenaan. “Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar,” Datuk Haji Thasleem dilaporkan berkata di The Malaysian Insider. [MAKLUMAT LANJUT] Hairan! Mengapa perlu buat mogok lapar selepas mendapat “berita gembira” daripada Presiden MIC?


21 Jun 2011 – Dr Mohd Puad sahkan bahawa pelekat diguna untuk meminda novel Interlok Edisi Murid. New Straits Times melaporkan bahawa guru-guru akan membuat kerja itu. [MAKLUMAT LANJUT]


21 Jun 2011 – Kavyan keluarkan kenyataan membantah tindakan itu kerana pindaan menggunakan “pelekat ajaib” adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan Menteri Pelajaran. [MAKLUMAT LANJUT]


22 Jun 2011 – Dr Mohd Puad umumkan bahawa Kementerian Pelajaran setuju untuk mencetak semula novel berkenaan. [MAKLUMAT LANJUT]


6 Ogos 2011 – Saya memberitahu MIC bahawa sekiranya parti politik itu meluluskan pencetakan semula novel berkenaan dengan hanya sekitar 20 peratus pemurnian, maka masyarakat yang sedia marah pada MIC akan bertambah marah.


12 November 2011 – Kavyan menerima foto novel Interlok Kulit Biru yang dikirim seorang pelajar. Kavyan gembira kerana nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dicetak pada kulit depan cetakan baru itu. [MAKLUMAT LANJUT]


12 November 2011 – NIAT serah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. [MAKLUMAT LANJUT] Hairan! Mengapa perlu sedangkan NIAT sudah mendapat “berita gembira” daripada Presiden MIC pada 12 Mei 2011.


22 November 2011 – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah menggesa supaya novel Interlok diharamkan. Demikian dilaporkan akhbar Malaysia Nanban. [MAKLUMAT LANJUT]


29 November 2011 – Selepas meneliti Interlok Kulit Biru pada 25-28 November 2011, Kavyan mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa novel yang dicetak semula itu belum dimurnikan seperti dijanjikan Menteri Pelajaran di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011. [MAKLUMAT LANJUT]


3 Disember 2011 – NIAT membuat laporan polis terhadap enam pihak – iaitu Menteri Pelajaran, Presiden MIC, Presiden MCA, Presiden Gerakan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Panel Khas Meminda Novel Interlok Edisi Murid – kerana “telah menyalah guna kuasa mereka dan mengelirukan orang ramai dengan memberi maklumat tidak tepat” seperti dilaporkan di The Malaysian Insider. [MAKLUMAT LANJUT]


8 Disember 2011 – Dr NS Rajendran dan Krishnabahawan mengesahkan mereka “menerima” dan “meluluskan” novel Interlok Edisi Murid dicetak semula walaupun hanya sekitar 20 peratus daripada pindaan yang diperakukan telah dibuat.


10 Disember 2011 – Datuk Palanivel berkata, segala perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel itu sudah dibetulkan. “Saya menandatangani surat izin itu selepas selepas kami (MIC dan dua wakil kaum India dalam Panel Bebas) meneliti draf pindaan. Kami puas hati bahawa apa-apa yang sensitif sudah dikeluarkan,” katanya seperti dilaporkan di akhbar Makkal Osai. [MAKLUMAT LANJUT] Hairan! Mengapa perlu setuju novel dicetak semula sedangkan pada 12 Mei 2011 sudah mengesahkan novel akan ditarik balik?


16 Disember 2011 – Tersebar berita bahawa novel Interlok Edisi Murid akan ditarik balik pada tahun 2012. Datuk Palanivel dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mengesahkan laporan itu. [MAKLUMAT LANJUT] Hairan! Mengapa perlu ditarik balik jika MIC sendiri meluluskan novel itu dicetak semula; malah MIC “puas hati” dengan hanya sekitar 20 peratus pindaan?


17 Disember 2011 – Kavyan keluarkan kenyataan rasmi yng turut disiarkan di Free Malaysia Today, The Malaysian Insider dan Malaysiakini. [MAKLUMAT LANJUT]


18 Disember 2011 – Akhbar Minnal menyiarkan berita yang memetik kenyataan Kavyan dengan tajuk “Novel Interlok ditarik balik? Apa kenyataan rasmi Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin?” [MAKLUMAT LANJUT]


18 Disember 2011 – Saya menulis di blog dengan tajuk “Don’t jump the gun!” kerana ramai yang beranggapan keputusan rasmi menarik balik sudah dibuat semata-mata berikutan pengumuman Datuk Palani dan Datuk Dr Subramaniam.


19 Disember 2011 – Dr Mohd Puad menyelar tindakan Datuk Palani dan Datuk Dr Subramaniam yang disifatkannya “had jumped the gun” dalam isu ini. Akhbar theSun melaporkan beliau berkata, tindakan mereka berdua boleh menimbulkan salah faham. Datuk Termuzi turut mengesahkan tidak dimaklumkan mengenai penarikan balik novel itu. [MAKLUMAT LANJUT]


Maka, tidak salah apabila saya menulis komen di Free Malaysia Today pada 17 Disember 2011 dengan tajuk “Musim Baru Sandiwara Interlok?” [MAKLUMAT LANJUT]


And people still ask me where I get all the ideas and plots for my stories ...


Sila KLIK DI SINI untuk bahan-bahan berkaitan kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.