30 Nov 2011

Chetti yang Belum Diakui Bumiputera

Sewaktu menyertai World Tamil Writers Conference di Singapura pada 28-30 Oktober 2011, saya turut tidak melepaskan peluang mengatur pertemuan bersama Stephen Samuel Dhoraisingam.

Beliau adalah pengkaji sejarah dan penulis yang disegani di republik berkenaan. Saya mengenali penulis buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka (Singapura: ISEAS Publications, 2006) sejak tahun 2005 serta amat kagum dengan pengalaman dan ilmu yang beliau miliki.

Saya berani mengatakan bahawa buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka adalah satu-satunya bahan dokumentasi yang secara khusus dan menyeluruh memperkatakan pelbagai perkara berkaitan sejarah, budaya, adat dan kehidupan masyarakat Chetti di Malaysia.

Tujuan saya mengatur pertemuan bersama Dhoraisingam antara lain untuk mengetahui perkembangan usaha beliau membantu masyarakat Chetti; khasnya di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka.

Baru-baru ini, ada pengkaji dari Australia yang menghubungi beliau untuk melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mendapat pelbagai maklumat berguna menerusi buku tersebut.

Bagi penduduk di Kampung Chetti, buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka setebal 118 halaman secara langsung membantu usaha mereka mendokumentasi sejarah masyarakat Chetti yang unik.

Demikian diakui K. Malathy Pillay, seorang guru keturunan Chetti yang sering saya hubungi menerusi telefon untuk mengetahui perkembangan sanak-saudaranya di Kampung Chetti.

Selain itu, secara tidak langsung, kelahiran buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka juga membantu mengembalikan semangat dan rasa bangga masyarakat Chetti dengan identiti unik yang dimiliki.

Prabhawathy Govindarajoo menerusi rencana bertajuk “Masyarakat Chetti yang Dilupakan” (Dewan Budaya, Mac 2007) menghuraikan bagaimana dalam teks klasik Ramayana dan Silappatikaram turut dikisahkan mengenai pedagang yang datang ke Tanah Melayu yang digelar Suwarnabhumi, iaitu Semenanjung Emas.

Pedagang India yang berurusan di Tanah Melayu – di Kedah dan kemudian di Melaka – merupakan golongan kaya. Sebahagian golongan pedagang itu digelar “setu” dan kemudian dipanggil “chitty” atau “chetti”. Istilah “setu” bermakna “pedagang” dalam Bahasa Tamil.

Tentu sahaja masyarakat Chetti akan kecil hati jika masih ada pihak yang tidak dapat membezakan antara Chetti dan Cheetiar (ceti; peminjam wang).

Saya dan keluarga berpeluang mengunjungi Kampung Chetti pada Januari 2007 untuk mengenali penduduk di situ secara lebih dekat serta menulis beberapa artikel mengenai masyarakat itu.

Agak menarik bahawa rupa fizikal masyarakat Chetti sama seperti orang India. Ada juga yang menyamai orang Cina kerana lelaki Chetti berkahwin dengan wanita daripada kelompok Baba Nyonya.

Sekiranya dirujuk pada catatan sejarah, semasa zaman penjajahan Jepun (1942-45), masyarakat Cetti yang sebahagian daripadanya mempunyai rupa fizikal seperti orang Cina berjaya menyelamatkan diri dengan mengatakan bahawa mereka adalah orang India.

Mereka dilaporkan menghafaz ayat “Watakushi wa Indo-jin des” yang bermakna “Saya orang India” dalam Bahasa Jepun.

Namun, rata-rata masyarakat Chetti tidak boleh berkomunikasi menggunakan Bahasa Tamil. Sebaliknya, mereka menggunakan Bahasa Malaysia. Hal ini lebih nyata dalam kalangan belia dan generasi muda.

Perkara ini pernah saya sentuh dalam sebuah tulisan bertajuk “Orang Chetti Tidak Tahu Berbahasa Tamil” (Dewan Bahasa, Mac 2007) hasil pertemuan dengan generasi tua dan muda di kampung berkenaan.

Walau bagaimanapun, seperti dinyatakan oleh Prabhawathy dalam rencananya, masyarakat Chetti berjaya mengekalkan budaya dan agama mereka yang tersendiri walaupun semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka (Islam), serta penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris (Kristian).

Malah, kuil Hindu tertua di Malaysia dipercayai adalah Kuil Sri Poyatha Vinayagar Moorthy di Kampung Chetti yang dibina pada tahun 1781, iaitu semasa Melaka dijajah Belanda.

Kuil berkenaan masih wujud sehingga hari ini di Kampung Chetti yang diwartakan sebagai salah satu tapak warisan budaya.

Seperti yang saya tekankan dalam rencana bertajuk “Wajah Malaysia dalam Budaya Chetti” (Dewan Budaya, Mac 2007), masyarakat Chetti telah melalui perjalanan yang cukup panjang sambil terus mengekalkan identiti yang tersendiri dan lain daripada yang lain.

Keunikan ini dapat diperhatikan dalam segala aspek kehidupan seharian mereka: bahasa, pakaian, makanan, adat-istiadat, kepercayaan, sistem keluarga, perkahwinan, gelaran, upacara agama, seni bina, muzik, permainan dan seumpamanya.

Kesemua topik ini dihuraikan secara terperinci dalam buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka oleh Dhoraisingam yang juga merupakan penasihat Persatuan Peranakan Chetti Melaka di Singapura.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang aktif mengendalikan program bahasa, sastera, seni dan budaya sejak 1999 turut berpendirian bahawa segala keunikan masyarakat Chetti perlu dipelihara dan diteruskan; serta perlu didokumentasikan secara penuh sistematik.

Tentu sahaja kita tidak mahu – dan tidak perlu – menunggu sehingga pihak luar tampil membuat kajian mendalam dan mengangkat masyarakat Chetti di Kampung Chetti sebagai suatu kelompok yang autentatik dan wajar mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

Sambil makan tengah hari di Serangoon Road, Little India, Singapura pada 31 Oktober lalu, saya mengemukakan topik itu kepada Dhoraisingam yang baru sahaja menerbitkan edisi kedua buku Singapore’s Heritage Through Places of Historical Interest.

“Saya ada membaca di akhbar bahawa mereka sudah memohon status Bumiputera tetapi nampaknya belum membuahkan hasil yang diharapkan,” katanya.

Sebagai individu yang mengkaji sejarah masyarakat Chetti, tentu sahaja Dhoraisingam menyedari dan mengakui bahawa kumpulan itu sudah lama bertapak di Malaysia dan sesungguhnya layak menerima status Bumiputera; sebagaimana diberi kepada masyarakat Portugis di Melaka.

Salah seorang daripada pemegang amanah di Kampung Chetti, G. Tegarajah pernah ditanya pada Januari 2007 mengenai status Bumiputera bagi masyarakat Chetti di Gajah Berang.

Katanya, permohonan rasmi sudah dikemukakan kepada Ketua Menteri Melaka dengan disertakan segala dokumen yang diperlukan.

“Kami benar-benar berharap jawapan yang positif akan diterima daripada pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya, lebih empat tahun lalu.

Namun, nampaknya masyarakat Chetti yang penuh sopan-santun dan merendah diri belum menerima sebarang jawapan daripada pihak berkenaan.

Saya menghubungi seorang lagi pemegang amanah di Kampung Chetti, K. Arunasalam Pillay pada 4 November 2011 dan beliau mengesahkan bahawa sehingga kini, belum ada sebarang jawapan dari pejabat Ketua Menteri Melaka.

Saya secara peribadi amat hairan mengapa masa yang terlalu lama diperlukan untuk mengiktiraf hak masyarakat Chetti sebagai Bumiputera. (Namun, apa yang perlu dihairankan, bukan?)

Dalam pada kerajaan begitu mudah memberi taraf kerakyatan kepada warga asing, sukar pula untuk memberikan apa yang hak kepada warga sendiri.

Mungkinkah ini yang sebenarnya dimaksudkan dengan slogan muluk “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”?

Atau mungkinkah satu-satunya “dosa” masyarakat Chetti di Kampung Chetti adalah bahawa mereka masih berpegang teguh pada agama Hindu?

Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 7 November 2011. Baca juga: Solidariti Kampung Chetti.)