Saturday, 7 May 2011

Legasi Mahatma Gandhi

Saya tidak pasti sejak bila saya mengenali Mahatma Gandhi; perjuangan ahimsa serta semangatnya yang masih menjadi sebutan sehingga sekarang.

Hampir 20 tahun lalu, pada zaman sebelum mempunyai akses Internet, saya ada terbaca petikan kata-kata beliau di entah mana. Kata-kata itu segera saya terjemahkan ke Bahasa Malaysia: “Andalah yang harus menjadi perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”

Petikan kata-kata itu turut menghiasi salah satu halaman verso pada kumpulan cerpen Kathakali (2009) selain selalu juga saya catatkan di mana perlu; termasuk di laman Facebook.

Satu lagi petikan kata-kata Mahatma Gandhi (2 Oktober 1869 – 30 Januari 1948) yang saya paparkan dalam cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002) dan halaman verso kumpulan cerpen Rudra Avatara (2008) adalah seperti berikut:

“Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.”

Kata-kata hikmah itu menjadi pegangan dan panduan saya dalam hidup; secara langsung dan tidak langsung.

Satu lagi kata-kata yang menjadi pegangan serta sering kali turut diselitkan dalam cerpen yang saya tulis adalah, “Saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang”.

Petikan madah pujangga Mahatma Gandhi yang saya muatkan dalam buku Kathakali telah diubahsuai sedikit menjadi “Andalah yang harus memulakan perubahan yang mahu anda saksikan berlaku di dunia ini” apabila dimuatkan dalam ruangan kecil ‘Suara Keamanan’ yang saya mulakan di halaman Global, akhbar Sinar Harian pada 1 Oktober 2010.

Seterusnya, saya murnikan dan perkemaskan kepada “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini” apabila dimuatkan pada kad nama saya mulai Disember 2010.

Kata-kata itu mungkin kedengaran amat biasa kepada kebanyakan orang (dan orang kebanyakan). Namun, bagi saya, semangat serta motivasi yang terkandung dalam madah pujangga itu mampu mencorak pemikiran, menyuntik semangat serta meresap ke dalam atma (“roh”) seseorang.

Pandangan di atas sangat benar dan tepat, sekurang-kurangnya untuk diri saya.

Misalnya, pada tahun 1999, apabila ada pihak tertentu yang cuba menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”, saya bersama sekumpulan kecil pencinta bahasa berani berhujah untuk mempertahankan hak kami menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. [BACA DI SINI]

Seperti kata Mahatma Gandhi, “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran” dan “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini”.

Hampir sebelas tahun kemudian, apabila timbul kontroversi berhubung novel Interlok (edisi murid) pada akhir Disember 2010, saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sekali lagi terpaksa tampil “mengetengahkan kebenaran” selepas pelbagai pihak gagal memahami isu sebenar secara mendalam. [BACA DI SINI]

Harus dinyatakan bahawa pengarang novel Interlok, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain juga mengeluarkan kenyataan, “Saya ikut Mahatma Gandhi” (Utusan Malaysia, 11 Januari 2011). Maknanya, “semangat” Mahatma Gandhi bukan hanya meresap ke dalam jiwa kaum India.

Dalam pada itu, saya dan Kavyan “lebih rela mati di hujung pedang” dalam usaha murni kami menjadi “perubahan” (reformasi) yang ingin kami “saksikan di dunia ini”.

Tentu sahaja saya kehilangan ramai “kawan” (kawan?), sekali gus mengumpul ramai “lawan” sepanjang saya dan Kavyan terlibat dalam mengkaji secara mendalam serta menulis siri artikel berkaitan novel Interlok untuk tatapan umum sejak Januari 2011.

Hal yang sama pernah berlaku apabila tersiarnya sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang membawa mesej “Dirgahayu Bahasa Malaysia”.

Begitu juga apabila saya bersama-sama Dr N. S. Rajendran dan G. Krishnabahawan yang dilantik menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid pada Februari 2011 bertegas mahukan kesemua 106 saranan pindaan yang kami kemukakan itu dilaksanakan sebagaimana sudah diperakukan panel berkenaan. [BACA DI SINI]

Perkara hampir sama berlaku apabila pada 17 April 2011, Kavyan mengeluarkan kenyataan membidas pendirian Kementerian Pelajaran Malaysia yang membuat kenyataan di portal rasminya seolah-olah Bahasa Malaysia adalah milik kaum tertentu dan kaum-kaum lain di Malaysia tidak berhak masuk campur.

Hasil daripadanya, Kavyan dituduh cuba menimbulkan huru-hara, ugutan dan hasutan serta dicadangkan supaya saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Semuanya semata-mata kerana saya dan Kavyan berani “bersuara demi kebenaran” serta mengangkat maruah dan martabat Bahasa Malaysia. [BACA DI SINI]

Kalau kita berpeluang menonton filem Gandhi (1982) atau membaca mana-mana buku berkaitan riwayat hidup Mahatma Gandhi, maka kita akan menyedari pelbagai rintangan, cabaran, halangan, tohmahan, tuduhan, fitnah, penghinaan, pengkhianatan dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh pejuang bertubuh kecil itu yang menggunakan ‘ahimsa’ sebagai ‘senjata paling tajam’ dalam memperjuangkan kebenaran.

Benar, kita mungkin tidak pernah berpeluang untuk berguru dengan Mohandas Karamchand Gandhi. Benar, negarawan kelahiran Gujarat itu tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia, tanah tumpah darah kita. Benar, Mahatma Gandhi tidak pernah dilaporkan bercakap Bahasa Malaysia, bahasa kebanggaan kita semua.

Namun, semangat, jati diri dan perjuangan beliau bersifat universal serta boleh dijadikan pegangan hingga akhirat oleh segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, apabila melihat kata-kata “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini” dicetak pada kad nama saya, ada yang bertanya sama ada saya penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf)!

Rupa-rupanya, Hindraf menggunakan slogan “You must be the change you wish to see in the world”. Tidak mengapa dan tidak menjadi masalah.

Pandangan, semangat dan atma yang ditinggalkan oleh Mahatma Gandhi mungkin tidak meresap ke dalam jiwa setiap insan di muka Bumi. Sebaliknya, hanya mampu diserap, diterima dan dihayati kelompok terpilih.

Maka, kita (anda dan saya) yang termasuk dalam kelompok terpilih ini wajar berterima kasih dan bersyukur kerana dikurniakan peluang istimewa seperti ini untuk meneruskan legasi Mahatma Gandhi[Baca juga - Mahatma Mandela] [Layari - Gandhi Heritage Portal] [Menarik - Asrama Gandhi di Gujarat] [BBC - Enduring Inspiration]

Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini kerana tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran!

© Uthaya Sankar SB 2011. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Mei 2011.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!