Tuesday, 12 April 2011

Tuhan dan Saya

Sejak kecil, saya mengenali Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970, iaitu berikutan Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969. Saya membesar bersama-sama kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.



Prinsip pertama Rukun Negara adalah “Kepercayaan kepada Tuhan” dan setiap rakyat Malaysia mengetahui perkara ini.



Begitu juga dengan lagu Negaraku yang saya kenali, hafaz dan hayati sejak kecil. Antara lirik dalam Negaraku adalah “Rahmat bahagia Tuhan kurniakan” dan setiap rakyat Malaysia pasti sudah hafaz lirik ini. [Topok berkaitan: Apakah Kau Masih Sangsi?]



Bagaimanapun, pada 16 Mac 2011, saya mendapat satu kejutan besar dan tamparan hebat apabila dimaklumkan bahawa penggunaan istilah “Tuhan” sebagai kata nama khas – dengan “T” huruf besar – hanya boleh digunakan apabila merujuk kepada konsep ketuhanan dalam agama Islam!



Perkara ini tentu sahaja segera mengingatkan saya kepada apa yang berlaku pada tahun 1999 di mana pihak tertentu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuba menafikan hak saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. [BACA DI SINI]



Umum mengetahui bahawa istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan pada tahun 1970; juga berikutan rasa tidak puas hati sebahagian penduduk sejak 1967 dan khususnya selepas Pilihan Raya Umum 1969 yang turut membawa kepada Peristiwa Berdarah 13 Mei.



Pada Mei 2007, kabinet memutuskan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” secara sah apabila merujuk pada bahasa kebangsaan. Namun, tentulah ada pihak yang terus tidak berpuas hati dan tetap menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”.



Dalam isu penggunaan istilah “Tuhan” pula, saya benar-benar terkejut apabila diberitahu pada 16 Mac 2011 di Aras 3, Menara Parlimen bahawa kata nama khas “Tuhan” hanya boleh digunakan oleh penganut agama Islam apabila merujuk kepada Allah.



Manakala, kononnya, kata nama am “tuhan” perlu digunakan apabila merujuk pada konsep ketuhanan agama-agama lain! Saya tidak pernah tahu bahawa diskriminasi seperti ini wujud di negara ini di mana hak beragama dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.



Pendedahan yang memeranjatkan itu dibuat apabila tiga wakil kaum India dalam Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid mahu supaya istilah “Tuhan” tidak diubah menjadi “tuhan” dalam novel edisi murid; apatah lagi memandangkan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain selaku pengarang memang menggunakan istilah “Tuhan” (kata nama khas) dalam novel asal.



Sesiapa yang membaca (atau terbaca; terpaksa membaca) novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) pasti menyedari bahawa kata nama khas “Tuhan” digunakan apabila dituturkan atau difikirkan oleh watak Melayu-Islam.



Sebaliknya, apabila diucapkan atau difikirkan oleh watak bukan Melayu-Islam, maka kata nama am “tuhan” digunakan.



Mengapa? Pertama, mungkin ada agenda tersembunyi untuk “melemahkan” pegangan agama dan hak/kebebasan beragama yang sebenarnya dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.



Kedua, mungkin ada agenda tersembunyi untuk mempengaruhi orang ramai (Bangsa Malaysia) bahawa ada lebih daripada satu Tuhan; iaitu ada “Tuhan” dan ada juga “tuhan”. Sekali gus menggugat keimanan dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa.



Dalam pada itu, sejak kecil, saya menyedari kewujudan Tuhan – walau apa pun nama yang diberikan kepada-Nya. Dalam senyap, saya mengakui Tuhan Maha Kuasa dan Tuhan Maha Esa. Tanpa perlu bising-bising dan tanpa perlu menunjuk-nunjuk.



Tuhan Maha Pengasih dan Tuhan Maha Mengetahui. Tuhan memutuskan untuk melahirkan saya sebagai manusia beragama Hindu. Diciptakan-Nya saya daripada lima unsur alam – api, tanah, air, angin dan angkasa – dan ditiupkan-Nya atma (roh) ke dalam ciptaan-Nya.



Maka, mati saya nanti sebagai manusia beragama Hindu; tubuh dikembalikan kepada lima unsur alam – api, tanah, air, angin dan angkasa – dan atma kembali kepada Pencipta. Hanya Tuhan yang boleh mengubah ketetapan ini; jika demikianlah dikehendaki-Nya.



Saya bukan seorang penganut agama yang ceremonial. Saya tidak terikut-ikut melakukan apa-apa upacara atau perlakuan yang sifatnya ceremonial dan tidak dituntut Tuhan.



Pada ruangan “Religious Views” di Facebook, saya catatkan begini: Hindu inter-faith.



Saya yakin, Tuhan yang memutuskan untuk menghantar saya ke muka Bumi sebagai manusia beragama Hindu sesungguhnya melahirkan manusia dalam kepelbagaian dan perbezaan untuk membolehkan manusia yang pelbagai dan berbeza-beza ini saling mengenali, memahami, menghormati, menerima dan mengasihi. Apatah lagi di negara bertuah ini.



Maka, selain daripada ajaran sebenar dan sejarah agama Hindu, minda dan hati saya turut terbuka untuk menerima ajaran sebenar dan sejarah pelbagai agama, anutan dan kepercayaan yang semuanya menjurus kepada kebaikan. Saya yakin, demikianlah dikehendaki Tuhan.



Terus terang, saya tidak pernah “mencari” Tuhan kerana Dia sudah sentiasa berada dalam atma saya, di sekeliling saya; di mana-mana. Tidak perlu ada perantara (medium atau pun orang tengah) untuk saya berhubung dengan-Nya.



Saya tidak mahu mewujudkan pengantara (apa-apa yang memisahkan) dengan melakukan apa-apa upacara atau perlakuan yang sifatnya ceremonial dan tidak dituntut Tuhan.



Jika mahu mempersoalkan pegangan saya dalam hal-hal ini, tidaklah wajar bertanya kepada saya. Ilmu saya tidak cukup tinggi untuk mampu menjelaskannya.



Bertanyalah terus kepada Tuhan. Tidak perlu ada perantara.



Namun, dalam soal penggunaan istilah “Tuhan”, jangan ada pihak yang cuba bermain api dengan mengatakan hanya kata nama am “tuhan” boleh digunakan apabila merujuk pada konsep ketuhanan dalam agama-agama selain Islam.



Pada 16 Mac 2011, saya diberitahu oleh beberapa individu dalam Panel Bebas bahawa jika wakil kaum India mahu mengekalkan penggunaan kata nama khas “Tuhan” dalam novel Interlok edisi murid, maka perlu dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).



Tentu sahaja semua itu amat menghairankan bagi saya sebagai seorang pengamal budaya India dan agama Hindu kerana dalam budaya India-Hindu, tidak ada diskriminasi dan amalan memandang rendah terhadap konsep ketuhanan dalam budaya/agama lain.



Malah, dalam pembacaan dan kajian saya terhadap pelbagai agama dunia, tidak pernah ada diskriminasi seperti ini.



Maka, saya tertanya-tanya: Dari mana datangnya segala hukum-hakam berbentuk penindasan seperti ini di negara bertuah ini? [Bacaan lanjut: Konvoi Rumah Ibadat - Allah dan Saya.]





(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 11 April 2011 sebelum dimuatkan di blog ini pada 12 April 2011. Turut menggunakan bahan lama yang disiarkan DI SINI.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!