1 Apr 2011

Interlok Belum Selesai?

Beberapa wakil media menghubungi saya untuk meminta komen mengenai tindakan pihak tertentu yang masih meneruskan usaha mendesak supaya novel Interlok edisi murid (DB:P 2010) ditarik balik sepenuhnya daripada dijadikan teks Komsas Tingkatan Lima.


Dalam hal ini, perlu ditekankan bahawa ketiga-tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas sudah melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan oleh Menteri Pelajaran yang melantik kami bertiga menganggotai panel berkenaan. Sekiranya masih ada apa-apa “kekurangan”, maka bukan salah Wakil Kaum India.



Sebenarnya, saya pernah menyatakan sebelum ini – RUJUK DI SINI – bahawa kami bertiga tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa reaksi masyarakat sekiranya kesemua pindaan yang diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 gagal dilaksanakan atas apa alasan sekali pun.



Saya juga diberitahu bahawa pihak tertentu menggunakan bahan-bahan dari blog saya untuk tujuan mendesak novel Interlok edisi murid ditarik balik. Dalam hal ini juga saya tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan.



Blog saya terbuka kepada umum dan boleh diakses atas pilihan sendiri kerana dilabel sebagai “kandungan dewasa”. Bahan-bahan di blog saya boleh disebarkan kepada orang lain asalkan sumbernya dinyatakan.



Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Cina sudah mula “bersuara” – walaupun agak lewat – bagi melahirkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap gambaran kaum itu dalam novel berkenaan. [BACA DI SINI]



Perkara ini sebenarnya sudah saya jangkakan, khususnya apabila menghadiri Forum Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, Kuala Lumpur pada 23 Mac 2011.



Kali ini, biar saya menjadi “penonton” sahaja.