Wednesday, 2 February 2011

Waktu Kavyan

[Waktu Kavyan bermaksud masa sebagaimana dinyatakan; bukan setengah jam atau sejam selepas masa yang dinyatakan.]  

Suatu mesyuarat yang saya hadiri sepatutnya sudah bermula 20 minit lalu. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang bayang atau tanda-tanda bahawa mesyuarat akan bermula dalam masa terdekat.
.
Hal seperti ini bukan lagi sesuatu yang baru dalam kalangan masyarakat kita. Malah, tidak salah jika dikatakan bahawa amalan tidak menepati masa sudah menjadi norma dan budaya rasmi Bangsa Malaysia.
.
Selalu juga saya dipanggil menghadiri mesyuarat pada sekian-sekian masa. Sebagai seorang yang pelupa, saya akan mencatat peringatan pada telefon bimbit bagi memastikan saya mampu berada di tempat mesyuarat sekurang-kurangnya sepuluh minit sebelum masa yang ditetapkan.
.
Lima belas minit akan berlalu tanpa sesiapa yang lain hadir. Kemudian, akan muncullah seorang-dua sambil masih rancak berbual.
.
Mungkin selepas 30 minit, akan muncullah orang yang memanggil mesyuarat; merangkap pengerusi mesyuarat. Kalau ditanya mengapa mesyuarat belum bermula, dengan selamba sahaja dia boleh menjawab bahawa dia sengaja memberikan masa 30 minit lebih awal sebab “orang sudah biasa datang 30 minit lewat”.
.
Dahulu, saya akan terus bersabar sambil berfikir, “Saya sudah sabar menunggu selama 45 minit; maka biarlah tunggu sehingga mesyuarat bermula.”
.
Akan tetapi, mesyuarat biasanya tetap tidak akan bermula!
.
Si pengerusi mesyuarat akan ada sesuatu untuk dibualkan bersama-sama rakan-rakannya yang turut menghadiri mesyuarat. Manakala orang lain yang hadir sama juga akan ada pelbagai kisah untuk dikongsikan.
.
Mungkin 30 minit kemudian, barulah mesyuarat akan bermula. Itupun bukan sebuah mesyuarat. Sebaliknya hanya suatu sesi berbincang dan berbual secara tidak profesional.
.
Bayangkan: tiada agenda mesyuarat, tiada pencatat minit, tiada etika, tiada syarat, tiada apa-apa. Sesiapa sahaja boleh berbincang apa sahaja. Pengerusi mesyuarat akan membiarkan sahaja kerana dia sendiri tidak ada sebarang perancangan dan agenda. Ternyata dia tidak tahu makna “mesyuarat”.
.
Keadaan ini belum lagi ditambah dengan pengerusi menyuarat menerima panggilan telefon, individu yang menghadiri mesyuarat mengirim SMS, ada individu sibuk membuat kerja menaip menggunakan komputer riba, ada beberapa individu masih meneruskan perbualan yang tidak pernah selesai, sesiapa sahaja boleh keluar-masuk sesuka hati, pengerusi mesyuarat menelefon seseorang yang tidak hadir untuk bertanya sesuatu … dan senarai ini tidak akan tamat sebenarnya.
.
Mujurlah Budaya Bangsa Malaysia (atau ada yang menyebutnya sebagai budaya Melayu, budaya India atau budaya Cina) tidak menyerap dan meresap dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan.
.
Sejak awal, sudah ditetapkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa akan dikendalikan mengikut agenda, mengikut etika bermesyuarat dan mengikut “Waktu Kavyan”.
.
Setiap kali sebelum mesyuarat, AJK sudah menerima agenda mesyuarat melalui e-mel. Maka, mereka boleh bersedia secara mental beberapa hari sebelum menghadiri mesyuarat.
.
Sekiranya mesyuarat dijadualkan pada pukul 11.00 pagi, maka mesyuarat akan bermula tepat pada pukul 11.00 pagi. Itulah yang dikenali sebagai “Waktu Kavyan” iaitu “masa sebagaimana dinyatakan, bukan setengah jam atau sejam selepas masa yang dinyatakan”.
.
Memanglah tidak dapat dinafikan bahawa mungkin ada individu yang lewat sedikit (atas alasan tersendiri). Bagaimanapun, bagi saya, adalah tidak wajar dan tidak adil untuk membuatkan individu yang datang tepat pada masa terpaksa menunggu semata-mata kerana ada pihak yang tidak menepati masa.
.
Waktu Kavyan” juga biasanya menjadi pegangan dan amalan semasa Kavyan mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di serata negara.
.
Pada mulanya, memang ramai yang terbiasa dengan “Waktu Malaysia” dan tidak dapat menepati “Waktu Kavyan”. Bagaimanapun, lama-kelamaan, mereka mula sedar bahawa “Waktu Kavyan” bukan suatu retorik politik.
.
Bercakap mengenai politik, tidak dapat dinafikan bahawa orang politik memang amat suka mengamalkan “Waktu Malaysia”. Sekiranya mereka dijadualkan menghadiri sesuatu majlis pada sekian-sekian waktu, mereka akan memastikan bahawa mereka datang sekurang-kurangnya setengah jam lewat.
.
Tentu sahaja mereka mendapat semacam kepuasan apabila memaksa orang ramai menanti mereka sejak dua jam lebih awal! Ternyata sudah tidak ada cara lain untuk memuaskan nafsu politik dalam jiwa mereka.
.
Maka, lebih tinggi kedudukan dan pangkat, lebih lewat mereka datang. Hinalah mana-mana ahli politik yang datang tepat masa masanya. Apatah lagi jika hadir 15 minit lebih awal!
.
Nampaknya begitulah syarat yang tidak tertulis dalam kalangan sesiapa sahaja yang mengamalkan “politik” — tanpa semestinya perlu memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
.
Mungkin sahaja saya bersikap terlalu idealistik. Demikian juga komen yang biasa saya terima daripada rakan-rakan. Bahawa saya mengharapkan sesuatu yang mustahil.
.
Bagi saya, apalah gunanya kita menetapkan masa jika ia hanya sebagai “cadangan” (suggestion) dan bukannya “ketetapan” (confirmation).
.
Misalnya, kita membuat temu janji (atau janji temu?) bersama seseorang. Pada tarikh dan masa yang ditetapkan, orang itu mungkir janji. Apabila dihubungi, kita dimaklumkan bahawa orang itu terlalu sibuk dengan kerja lain sehingga “terlupa” tentang janji untuk bertemu.
.
Begitu juga apabila kita pergi ke pejabat seseorang pegawai tepat pada masa yang dijanjikan. Tidak mustahil bahawa pembantunya akan memberitahu bahawa “Tan Sri belum masuk pejabat” atau “Datuk ada appointment lain” atau “datang hari lainlah”.
.
Hello! Memanglah kita sedar dan mengakui bahawa orang itu amat sibuk. Itulah sebabnya kita membuat temujanji untuk bertemu dengannya pada sekian-sekian masa dan sekian-sekian tarikh.
.
Saya mencadangkan supaya orang seperti itu membeli dua buah kamus — sebuah Bahasa Inggeris dan sebuah Bahasa Malaysia — dan belajar semula makna “temu janji” dan “appointment” sebelum beriya-iya membuat sebarang temujanji dengan sesiapa.
.
Saya juga sudah lama tidak menghormati mana-mana individu yang tidak tahu menghormati masa. (Bukan tidak menghormati “masa” tetapi tidak tahu berpegang pada janji untuk “menepati masa”.)
.
Seperti biasa, saya akan berusaha pergi 15 minit lebih awal dan bersedia untuk bertemu dengan pegawai yang “berjanji” untuk bertemu saya pada sekian-sekian waktu.
.
Kalau pegawai berkenaan lewat sedikit, saya masih boleh bertahan sambil membaca akhbar, majalah atau buku.
.
Kalaulah selepas 20 minit, pegawai berkenaan masih tidak muncul, saya akan tinggalkan kad nama saya pada kerani dan minta disampaikan “Salam Satu Malaysia” kepada pegawai berkenaan.
.
Biasanya pegawai terbabit tidak akan menghubungi saya semula dan saya juga tidak akan membazir masa dengan cuba membuat temu janji lain dengannya. Ada banyak kerja lain yang boleh saya lakukan daripada membazir masa bertemu orang seperti itu.
.
Malah, belakangan ini, kalau dipanggil menghadiri mesyuarat, saya akan membawa buku untuk dibaca sementara menunggu mesyuarat bermula pada masa yang dijanjikan.
.
Misalnya, seperti sekarang. Dalam masa hampir 45 minit, saya sudah menyiapkan makalah ini sementara menunggu mesyuarat bermula.
.
Memandangkan kerja saya sudah selesai, bolehlah saya mengirimnya kepada editor melalui e-mel. Kemudian boleh pergi minum di kafe.
.
Selamat datang ke Malaysia. Mesyuarat yang dijanjikan pasti tidak akan bermula dalam masa terdekat.
..
Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 14 Ogos 2009)

2 comments:

  1. Ini satu kebenaran yang menyakitkan. Malah lebih menyakitkan hati bila orang dengan bangganya menyebut "Biasalah, janji Melayu"

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!