Wednesday, 23 February 2011

Terima Kasih, Raja!

Bayangkan! Daripada seorang yang tidak pernah membaca novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, akhirnya saya mengkaji secara mendalam edisi 1996, 2003, 2005 dan 2010 novel berkenaan.
.
Segalanya bermula pada 15 Disember 2010 apabila Pengerusi Biro Pengaduan Am, Datuk T Murugiah membuat pengumuman rasmi berhubung penarikan balik teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) itu ‘didakwa mengandungi unsur negatif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India’ (Sinar Harian, 21 Disember 2010).
.
Pada 20 Disember 2010, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamed Saleeh Rahamad membuat kenyataan kepada media:
.
“Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting, seklai gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan pelajar.” (Berita Harian, 20 Disember 2010)
.
Saya memetik pandangan itu dalam tulisan saya di blog pada 22 Disember 2010 [DI SINI] dengan mengatakan, sekiranya pandangan itu diterima pakai, maka kita boleh menulis apa sahaja yang bersifat menghina, memburukkan dan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan mana-mana agama.
.
Apa yang menarik, pada 20 Disember 2010, Raja Rajeswari Seetha Raman dari Kepong menghubungi saya melalui telefon dan mengatakan beliau baru membelek-belek novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) yang diterima oleh anaknya yang bakal ke Tingkatan Lima.
.
Katanya, kandungan novel ini memang menghina kaum India dan agama Hindu, serta tidak sesuai dijadikan teks di sekolah. Saya tidak memberi sebarang komen kerana belum pernah membaca mana-mana edisi novel tersebut.
.
Pada keesokannya, beliau menelefon saya semula dan bercerita hampir sejam! Katanya, beliau sudah selesai membaca novel itu dan teks berkenaan memang tidak patut dibiarkan berada dalam sistem pendidikan negara; apatah lagi sebagai teks wajib Komsas. Saya masih tidak boleh memberi sebarang komen yang konstruktif kerana belum berpeluang membaca edisi murid yang dimaksudkan.
.
Pada masa sama, saya mendapat tahu bahawa Pena bakal mengadakan ‘Dialog Novel Interlok’ pada 8 Januari 2011. Memandangkan Raja Rajeswari adalah Ahli Jawatankuasa Pena, saya mencadangkan beliau meminta kebenaran menjadi salah seorang pembicara.
.
Bekas guru yang kini pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur itu berkata, beliau telah mencuba tetapi ‘tidak dibenarkan’ oleh pihak berkenaan.
.
Lalu, saya mencadangkan beliau hadir sebagai penonton dan mengemukakan pandangan serta rasa tidak puas hati terhadap novel Interlok edisi murid semasa sesi soal jawab. Katanya, beliau tidak dapat berbuat demikian kerana ada urusan lain pada tarikh sama!
.
Sementara itu, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mula mengumpulkan berita dan pandangan orang ramai berhubung kontroversi novel berkenaan. Hasilnya, kami mendapati bahawa tumpuan pihak yang membantah dan pihak yang menyokong Interlok semakin ketara setakat tertumpu pada perkataan ‘paria’ dan ‘kasta’.
.
Maka, Kavyan memutuskan untuk mengadakan taklimat khas mengenai novel Interlok edisi murid pada 16 Januari 2011. Sebagai persiapan, pasti sahaja wakil Kavyan membaca, meneliti dan mengkaji novel itu secara terperinci; dari kulit ke kulit.
.
Tugas awal kami adalah menunjukkan – menggunakan lebih 250 slaid PowerPoint – apa sebenarnya kandungan novel itu serta apa yang sebenarnya menimbulkan kontroversi sehingga didakwa mengandungi unsur negatif yang boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.
.
Tumpuan Kavyan bukan semata-mata ‘paria’ dan ‘kasta’ tetapi terhadap aspek kesalahan fakta, kesalahan bahasa, etika penulisan, etika penerbitan dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
.
Siri tulisan di portal berita Free Malaysia Today serta liputan media telah membantu Kavyan mengemukakan pelbagai hujah bernas berserta dalil-dalil yang kuat, kukuh dan sah untuk mewajarkan pelbagai cadangan murni supaya Interlok edisi murid dimurnikan demi kebaikan bersama.
.
Sementara itu, secara rasmi, bermula 14 Januari 2011, Raja Rajeswari yang menghadiri ‘Wacana Interlok: Jujur atau Perkauman’ anjuran akhbar Berita Harian bertukar menjadi penyair dan pengkaji sastera Melayu yang menyokong novel Interlok edisi murid dikekalkan sebagai teks Komsas tanpa dipinda walau sepatah perkataan. (Misalnya, DI SINI)
.
Walau bagaimanapun, sebagai manusia yang bertamadun dan berbudaya, saya tetap perlu merakamkan terima kasih kepada beliau kerana menjadi orang pertama yang menghubungi saya untuk mengadu mengenai segala ‘kelemahan’ dalam novel itu; sekali gus mencadangkan Kavyan meneliti kontroversi novel Interlok edisi murid secara mendalam ‘demi maruah kaum India di negara ini’.
..
(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 21 Februari 2011 sebelum didokumentasikan di blog Uthaya Sankar SB pada 23 Februari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk pelbagai bahan berkaitan. 30 November 2014: BACA SMS KIRIMAN RAJA RAJESWARI SELEPAS MEMBACA MAKALAH INI)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!