Friday, 11 February 2011

Kavyan Mungkin Hilang

Pada 22 Ogos 2009, genaplah sepuluh tahun sejak tarikh pertemuan pertama tidak rasmi diaadakan oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India yang membawa kepada penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
.
Mengimbau kembali pengalaman sedekad lalu membawakan pelbagai kenangan pahit dan manis. Sebagai seorang yang amat pelupa, dokumentasi serba lengkap di ruang siber memudahkan saya sendiri membuat rujukan apabila perlu mengenai Kavyan.
.
Saya ingin bernostalgia sedikit sebelum segalanya hilang pada 26 Oktober 2009.
.
“Kavyan” adalah istilah Bahasa Sanskrit dan Malayalam yang membawa maksud “sasterawan”. Nama ini diilhamkan oleh Retna Devi Balan yang turut mencadangkan ungkapan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” yang menjadi pegangan Kavyan sejak dahulu.
.
Maklumat aktiviti Kavyan pada mulanya disebarkan melalui surat berita Kavya yang terbit dalam bentuk bercetak (fotokopi) mulai September 1999. Saya pada waktu itu tidak tahu membina laman sesawang serta tidak menerima bantuan daripada sesiapa yang tahu untuk menyelenggarakannya.
.
Laman sesawang pertama bagi Kavyan hanya dimulakan pada 21 Mei 2001 selepas menerima bantuan daripada Zulfiquar Ali Abban, pelajar saya yang berasal dari Pakistan (dan kini bekerja di Dubai dalam bidang IT).
.
Mulai 10 Oktober 2001, e-group Kavyan dimulakan bagi memudahkan komunikasi dan perkongsian maklumat aktiviti bersama sesiapa sahaja yang berminat.
.
Begitu juga dengan surat berita Kavya yang diterbitkan dalam versi dalam talian (online) mulai Julai 2002 dengan ISSN 1675-4042. Maklumat dalam Kavya keluaran lalu turut dimuatkan di ruang siber supaya mudah dijadikan bahan rujukan dan dokumentasi.
.
Antara aktiviti awal anjuran Kavyan bagi “memasyarakatkan sastera”, “memupuk budaya membaca” dan “mendaulatkan Bahasa Malaysia” adalah siri bacaan cerpen di Kompleks MAB, Brickfields dan siri bengkel penulisan kreatif di beberapa tempat.
.
Kumpulan sasaran pada peringkat awal adalah golongan pelajar yang berminat untuk belajar teknik menulis karya kreatif (sajak dan cerpen), suka membaca dan mahu menguasai Bahasa Malaysia.
.
Nama Kavyan mula semakin dikenali berikutan kejayaan aktiviti “Baca Cerpen Kavyan” selama 96 jam 32 minit (29 Ogos – 2 September 2003) yang turut tercatat dalam The Malaysia Book of Records.
.
Sekaligus, Kavyan memulakan tradisi membaca teks cerpen dan novel di pentas bagi golongan profesional dan amatur; selaras dengan usaha “memasyarakatkan sastera”, “memupuk budaya membaca” dan “mendaulatkan Bahasa Malaysia” seperti yang dinyatakan tadi.
.
Suatu aspek yang amat nyata adalah bahawa Jawatankuasa Kavyan terdiri daripada kaum India tetapi aktiviti Kavyan terbuka kepada semua tanpa batas kaum dan agama.
.
Kavyan juga mula dipanggil menghadiri/menyertai pelbagai aktiviti anjuran pihak lain berikutan “rekod bersih” yang dimiliki sejak awal penubuhannya. Kavyan berusaha memenuhi segala undangan.
.
Pada masa yang sama, ramai juga yang hairan bagimana Kavyan mampu bergerak begitu aktif dengan menganjurkan sekurang-kurangnya satu aktiviti setiap bulan; sepanjang tahun.
.
Rahsianya adalah amat mudah tetapi belum tentu dapat dilaksanakan oleh semua pihak.
.
Satu: Kavyan tidak pernah bernaung di bawah mana-mana badan politik. Dengan itu, Kavyan tidak perlu menunggu mandat, restu, izin (dan sebagainya) sebelum menggerakkan aktiviti.
.
Dua: Kavyan tidak meletakkan faktor “duit” sebagai penggerak aktiviti. Jika melibatkan wang, secara automatik akan melibatkan kunci kira-kira yang rumit. Jawatankuasa Kavyan juga terdiri daripada sukarelawan yang tidak mengharapkan pulangan dalam bentuk wang.
.
Tiga: Kavyan mengadakan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak. Misalnya, suatu pihak menyediakan tempat dan makan-minum peserta sementara Kavyan melakukan pengisian aktiviti. Kavyan mahu berkongsi kejayaan.
.
Demikian antara “rahsia” kejayaan yang sebenarnya bukan suatu rahsia. Khususnya apabila segala maklumat mengenai Kavyan – termasuk perincian minit mesyuarat – dipaparkan di ruang siber untuk tatapan umum.
.
Sikap menepati masa (“Waktu Kavyan”) dan mengamalkan disiplin kerja (“masing-masing membuat kerja masing-masing”) juga menjadi faktor kejayaan Kavyan.
.
Kavyan juga amat bertuah kerana mendapat sokongan moral dan bimbingan daripada tokoh-tokoh hebat seperti Allahyarham Dr Othman Puteh dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
.
Dr Othman Puteh menjadi Penasihat Kehormat Kavyan sehingga akhir hayat beliau. Dato’ Dr Anwar Ridhwan (kini Sasterawan Negara), Dr Krishanan Maniam dan Dr M. Rajenthiran juga pernah menjadi Penasihat Kavyan bagi tempoh tertentu.
.
Jawatankuasa Kavyan sendiri mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Memandangkan penglibatan dalam Kavyan adalah secara sukarela, maka pemegang jawatan juga berubah apabila seseorang melepaskan jawatan atas alasan hambatan kerja atau alasan peribadi.
.
Tidak kurang juga pihak yang “cemburu” terhadap kejayaan Kavyan. Namun, di pihak Kavyan, segala rasa “cemburu” itu dilihat sebagai tanda bahawa kami berada di landasan yang benar. Walau apapun cabaran yang dihadapi, perjuangan tetap diteruskan.
.
Rekod cemerlang sejak sepuluh tahun lalu menjadi bukti komitmen Kavyan dalam “memasyarakatkan sastera”, “memupuk budaya membaca” dan “mendaulatkan Bahasa Malaysia” melalui pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dengan kerjasama pelbagai pihak.
.
Sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh pihak media juga membantu menyebarluaskan maklumat aktiviti Kavyan kepada umum. Walau bagaimanapun, pada masa kini, memandangkan ruangan sastera di akhbar dan majalah semakin mengecut, liputan yang mampu diberikan juga semakin berkurangan.
.
Namun begitu, bermula sebagai seorang individu yang “buta laman sesawang” pada 2001, saya kini mampu menggunakan ruang siber untuk mempromosi aktiviti Kavyan.
.
Blog dan rangkaian sosial seperti Facebook menjadi media komunikasi dan promosi ke arah yang positif. Segala maklumat aktiviti Kavyan sejak sepuluh tahun lalu juga tersimpan kemas di ruang siber; khususnya di laman-laman sesawang yang didaftar secara percuma.
.
Malangnya, dalam perkembangan terbaru, GeoCities akan dihentikan operasinya pada 26 Oktober 2009. Demikian notis yang dikeluarkan baru-baru ini oleh pihak Yahoo!
.
Maknanya, mulai tarikh itu, segala fail dan data yang tersimpan di GeoCities tidak boleh diakses. Kesemuanya akan hilang begitu sahaja di ruang maya. Tiada kubur.

Lebih malang lagi bahawa saya – sebagai seorang yang masih rabun IT – tidak menyimpan salinan fail dan data dalam komputer.
.
Nampaknya pihak Kavyan perlu memulakan segera kerja-kerja memuat turun (download) segala data dan fail yang tersimpan di GeoCities. Mungkin boleh disalin ke blog Kavyan memandangkan Blogger belum mengeluarkan notis penutupan operasi.
.
Memang bukan tugas yang mudah untuk menyelamatkan segala fail dan data berkenaan; khususnya apabila Kavyan bukan terdiri daripada pakar IT dan bahan-bahan yang perlu diselamatkan segera entah berapa banyak!
.
Jawatankuasa Kavyan pula terdiri daripada sukarelawan yang sudah sedia sibuk menguruskan pelbagai aktiviti Kavyan secara berterusan. Dan presidennya masih rabun IT!
.
Apapun, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sesuatu perlu dilakukan segera sebelum tarikh 26 Oktober 2009; sebelum segala rekod berkaitan Kavyan hilang di ruang siber. Sebelum orang ramai tidak lagi mendapat akses ke laman sesawang Kavyan yang dibangunkan sedikit demi sedikit, halaman demi halaman.
.
Nampaknya, selepas sedekad sibuk menjalankan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya, cabaran sebenar bagi Kavyan baru sahaja bermula. Cabaran untuk menyelamatkan rekod sejarah.
..
(© Uthaya Sankar SB 2009. The Malaysian Insider, 29 Ogos 2009)

2 comments:

  1. kenapa ditutup? apa sekalipun, perjuangan tetap perlu diteruskan..

    ReplyDelete
  2. Fariduddin: Jangan risau. Kebanyakan bahan Kavyan berjaya dipindahkan ke Blog Kavyan. Tuhan Maha Berkuasa!

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!