19 Aug 2010

Ahimsa untuk Siti Inshah

Surat cadangan Taklimat Khas Budaya Kaum India sudah selamat dikirim melalui pos kepada Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya pada pagi 18 Ogos 2010. Salinan surat yang sama turut dikirim kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Pengarah Pelajaran Johor dan Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya; manakala salinan kepada Penasihat Agung Kavyan akan diserah terus apabila saya bertemu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pada 19 Ogos 2010 untuk perbincangan lanjut berhubung aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan.
.

Saya mendapat tahu mengenai insiden yang berlaku di Kulaijaya, Johor apabila Dhanesh Kumar menandakan (tag) nama saya pada salinan laporan polis di Facebook pada 16 Ogos 2010. Perkara pertama yang saya lakukan adalah menghubungi beliau untuk mengesahkan bahawa laporan polis itu adalah asli dan bukan sekadar mainan.

.

Selepas mendapat pengesahan, maka saya memaparkan salinan laporan polis bertarikh 14 Ogos 2010 itu di laman Facebook saya. Saya turut menandakan rakan-rakan untuk mendapatkan reaksi daripada mereka.

.

Rata-rata, rakan-rakan pelbagai kaum di Facebook terkejut dengan apa yang berlaku. Sukar untuk membayangkan bahawa seorang pengetua boleh bersikap sehina itu; dengan andaian kandungan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kulaijaya pada 14 Ogos 2010 adalah betul dan benar.

.

Saya memang menyampah apabila ada pihak menggunakan istilah “pendatang” dan “bangsa asing” apabila merujuk kepada kaum Cina, kaum India dan mana-mana kaum/etnik “Bukan Melayu” di negara ini. Cerpen “Pulau Pendatang” yang saya siarkan secara bersiri di blog saya mulai 7 Ogos 2010 juga membicarakan isu ini yang berlaku di Pulau Cinta.

.

Pada pagi 17 Ogos 2010, saya terfikir untuk membuat laporan polis terhadap pengetua itu kerana ternyata beliau membawa unsur subversif yang menggugat keamanan negara. Saya dimaklumkan bahawa akhbar Makkal Osai (Tamil) menyiarkan berita mengenai peristiwa itu pada hari yang sama.

.

Ada juga rakan-rakan yang menyifatkan apa yang berlaku di SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya sebagai kes terpencil dan tidak patut diperbesarkan. Pada waktu sama, beberapa rakan mendedahkan bahawa perbuatan seperti itu sebenarnya berlaku di seluruh negara tetapi pelajar/murid serta ibu bapa tidak tampil “bersuara”, apatah lagi membuat laporan polis. Maka, tindakan berani pelajar SMK Tunku Abdul Rahman Putera dilihat sebagai pencetus positif ke arah mendepani masalah yang memang nyata berada di depan mata.

.

Dhanen Mahes mencadangkan: “I think we should give her a hug. Poor thing so full of hatred. Probably didn’t get much hugs as a kid.”

.

Saya tertarik pada cadangan spontan yang dikemukakn Dhanen. Ya! Pasti Mahatma Gandhi dan pengamal ahimsa akan melakukan demikian.

.

Dalam masa beberapa jam, keputusan diambil supaya Kavyan menganjurkan taklimat khas secara percuma untuk Puan Hajah Siti Inshah Mastor yang saya yakin, puasanya pada 12 Ogos 2010 (2 Ramadan 1431) terbatal kerana tidak patuh pada wahyu (firman Allah) dan sunah rasul (perbuatan atau perkataan Nabi Muhammad SAW) berkaitan hukum berpuasa.

.

Surat mengenai taklimat khas itu siap pada 17 Ogos 2010, dipos pada 18 Ogos 2010 dan kandungannya boleh dibaca DI SINI.

.

Saya percaya bahawa selain daripada Kavyan, ada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk sama-sama “membimbing” mana-mana insan “sesat” yang menggugat keamanan negara.

.

Seperti biasa, saya secara peribadi tidak menaruh harapan pada mana-mana Badut Paul Lathic dan politikus. Sebaliknya, NGO pelbagai kaum/etnik boleh mengadakan taklimat menggunakan Bahasa Malaysia untuk menyedarkan Bangsa Malaysia mengenai budaya pelbagai kaum/etnik di negara ini.

.

Kita boleh mengadakan siri Taklimat Budaya Pelbagai Kaum & Etnik di seluruh negara. Kita perlu mulakan dengan SMK Tunku Abdul Rahman Putera, Kulaijaya yang berada dalam keadaan kronik serta amat perlu diselamatkan segera sebelum guru, kakitangan dan pelajar pelbagai kaum di sekolah itu menjadi mangsa subversifisme melampau.

.

Apa kata kita sama-sama mengirim lebih banyak surat tawaran untuk mengadakan taklimat secara percuma di sekolah berkenaan? Salin sahaja kandungan surat yang dikirim Kavyan. Jangan lupa mengirim salinan surat kepada pihak-pihak berkenaan. Sekurang-kurangnya pengetua itu akan sedar betapa “pendatang” dan “penumpang” yang begitu dibencinya lebih bersikap “Malaysia” berbanding dirinya.

.

Oh, ya! Kavyan akan menyumbangkan cenderamata berupa buku Kathakali (2009) dan Rudra Avatara (2008) kepada Puan Hajah Siti Inshah Mastor semasa taklimat nanti untuk membantu beliau lebih memahami budaya Bangsa Malaysia melalui pembacaan.

.

Dalam pada itu, saya juga sempat membaca komen beberapa blogger, misalnya Mohamed Nasser Mohamed [DI SINI] dan Poobalan [DI SINI] manakala forum sekumpulan remaja boleh dibaca DI SINI.

.

Laporan akhbar theSun pada 19 Ogos 2010 bertajuk "Principal has apologised" boleh dibaca DI SINI.