Saturday, 15 August 2009

Sketsa Satu Malaysia

Berikut rangka skrip dalam Bahasa Malaysia bagi sketsa Merdeka @ Satu Malaysia yang disiarkan di MinnalFM pada sekitar pukul 1:30 tengah hari, 15 Ogos 2009. Penerbit sketsa ini ialah Prema Krishnan manakala editor yang membantu memurnikan skrip saya dalam Bahasa Tamil ialah Hemantha Kumar Nagappan. Paparan rangka skrip di bawah ini dilakukan sebagai usaha memastikan seluruh Bangsa Malaysia boleh mengetahui kandungan sketsa yang disiarkan.

Bapa: Saya lihat sejak tadi, kamu asyik membelek-belek akhbar. Apa yang dicari? Ada resepi masakan baru disiarkan?

Emak: Abang asyik suka mengusik saya. Memasak sudah menjadi kepakaran saya.

Bapa: Jadi, apa yang awak cari?

Emak: Berita-berita mengenai konsep “Satu Malaysia” yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Tidaklah saya ketinggalan apabila berbual-bual dengan kawan-kawan mengenainya.

Bapa: Baguslah tu. (berjenaka) Saya sangka awak hanya berbual kosong bersama-sama kawan-kawan setiap petang. Rupa-rupanya kamu semua turut membincangkan topik-topik penting.

Emak: Itu semua zaman dulu. Wanita zaman sekarang membincangkan pelbagai topik dan isu-isu semasa. Di negara merdeka ini, hak pendidikan golongan wanita tidak dinafikan. Jadi, wanita juga boleh membincangkan topik-topik besar.

Bapa: Jadi, topik terbaru yang dibincangkan bersama-sama kawan-kawan awak adalah mengenai “Satu Malaysia”?

Emak: Abang tahu, tak? Ada orang yang masih tidak faham mengenai apa sebenarnya “Satu Malaysia”.

Bapa: Itu bahaya. Mungkin ada pihak yang cuba melencongkan fikiran orang dengan memberikan maklumat yang salah mengenai konsep ini.

Emak: Sebab itulah juga saya cuba mendapatkan maklumat terbaru dan tepat mengenai “Satu Malaysia” dari akhbar-akhbar supaya boleh dikongsikan bersama jiran-tetangga.

Bapa: Perkara paling asas yang kita perlu tahu adalah bahawa konsep “Satu Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu bukan sesuatu yang baru.

Emak: Benar. Konsep ini adalah kesinambungan ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang menjadi impian kita sejak dahulu.

Bapa: Konsep “Satu Malaysia” juga menjadi satu formula yang membantu mencapai cita-cita negara iaitu Wawasan 2020.

Emak: Bagi menjayakan cita-cita ini, perpaduan menjadi asas yang paling utama di negara berpenduduk majmuk ini.

Bapa: Perpaduan yang ditekankan dalam gagasan Satu Malaysia bukanlah bermakna mana-mana kaum perlu meninggalkan ciri-ciri budaya yang diwarisi daripada nenek-moyang.

Emak: Perkara ini memang asas tetapi amat perlu ditekankan supaya tidak ada sesiapa yang terkeliru atau dikelirukan oleh pihak lain.

Bapa: Di bawah Satu Malaysia, kepelbagaian etnik, budaya, adat dan sebagainya menjadi aset atau kelebihan yang dibanggakan.

Emak: Setiap kaum dengan identiti dan jatidiri masing-masing. Pada masa yang sama, kita saling mengenali, memahami, menghormati, bantu-membantu dan menyumbang ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Bapa: Aspek perpaduan sesungguhnya menjadi agenda utama sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Satu Malaysia berusaha menyemarakkan semangat perpaduan dan semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Emak: Hasil daripada apa yang saya ketahui melalui media massa, ada dua aspek utama yang perlu diberi perhatian bagi menjayakan gagasan Satu Malaysia.

Bapa: Pertama adalah teras-teras perpaduan dan nilai-nilai murni seperti penerimaan, keadilan sosial, hormat-menghormati, rendah diri dan berbudi bahasa.

Emak: Aspek kedua pula adalah nilai-nilai aspirasi (cita-cita) seperti budaya menimba ilmu sepanjang hayat, melakukan kerja-kerja dengan tahap terbaik, menepati masa, dan memiliki integriti.

Bapa: Kita perlu sedar bahawa segala perkara yang dinyatakan ini bukan sesuatu yang baru. Sebaliknya menjadi cita-cita pemimpin negara kita sejak merdeka.

Emak: Segala aspek ini juga selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara.

Bapa: Malah, usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat pelbagai kaum sudah dilaksanakan sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Emak: Usaha-usaha itu diteruskan oleh Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Muhamad , Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bapa: Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan atau cara tersendiri, namun matlamat atau cita-cita mereka adalah sama; iaitu membina Bangsa Malaysia.

Emak: Kita sebagai rakyat pula perlu mengukuhkan kesetiaan kepada negara. Kita perlu yakin bahawa tidak ada sesiapa pun yang dipinggirkan dalam menikmati pembangunan dan kejayaan negara.

Bapa: Kalau kita memahami dan menghayati konsep Satu Malaysia, kita semualah yang bakal menikmati hasil daripada kejayaannya.

Emak: Fikiran kita juga tidak akan mudah dilencongkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat keamanan dan perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat.
.
Bapa: Kalau semua orang berfikiran bijak seperti kamu, betapa baiknya.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!