27 Aug 2009

Aulong Lama

Saya dan Devishi Prabha Sankari sempat ke Aulong Lama, Taiping pada tengah hari, 27 Ogos 2009.

Banyak yang sudah berubah di kampung kecil itu yang merupakan tempat kelahiran saya.

Peta yang terdapat dalam telefon bimbit Nokia 5800 saya menyebut jalan sebelum masuk ke Aulong Lama sebagai “Jalan Masjid” sedangkan sejak kecil, saya mengenali jalan itu sebagai “Jalan Surau”.

Sewaktu ke Aulong Lama, saya dan Devishi berhenti untuk melihat papan tanda jalan. Benarlah jalan itu kini dikenali sebagai “Jalan Masjid” – mungkin kerana surau di jalan itu kini sudah menjadi sebuah masjid.

Maka, kepada sesiapa yang (mungkin) menjadikan cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” (Rudra Avatara, 2008) sebagai panduan jalan untuk sampai ke Siru Kambam, sila kemas kini “Jalan Surau” kepada “Jalan Masjid”.

Oh, ya! Jika ada sesiapa bercadang mengesan Aulong Lama atau Siru Kambam pada peta, lupakan sahaja. Kedua-duanya belum wujud pada peta; termasuk Google dan GPS.

Kami singgah berbual dengan Puan Veni (foto, paling kanan) yang tinggal di Lorong B, Aulong Lama. Beliau menceritakan bahawa penghuni di kawasan berkenaan akhirnya sudah diberi hakmilik tanah.

Syukurlah! Penantian penduduk Aulong Lama sejak awal tahun 1970-an akhirnya membuahkan hasil. Cuma, saya berharap, segalanya tidak musnah akibat permainan politik mana-mana pihak.

Benar, Aulong Lama dan Siru Kambam sudah amat banyak berubah.

Saya masih ingat, pada tahun1997, sewaktu saya membawa anak sulung saya, Ganesan Duraisamy ke sini, dia bertanya di mana pokok banyan yang saya gambarkan dalam cerpen-cerpen berlatarkan Siru Kambam!

Mujurlah anak bongsu saya, Devishi Prabha Sankari belum lagi membaca kisah-kisah yang berlatarkan Siru Kambam.

Cuma, Devishi berminat untuk melihat tapak rumah di mana saya membesar. Sudah tiada rumah di tapak itu; hanya semak. Kami hanya merakamkan foto semak itu (foto) sebagai kenangan.

Mungkin apabila saya datang semula ke sini, Aulong Lama dan Siru Kambam sudah tiada lagi; kecuali sebagai nostalgia dalam cerpen-cerpen yang saya hasilkan.

Mungkin itu juga salah satu sebab Tuhan menganugerahkan saya bakat penulisan kreatif.