27 May 2009

Dari "Satu Malaysia" ke "Bangsa Malaysia"

Saya kini yakin bahawa apa yang dimaksudkan dengan “Satu Malaysia” sebenarnya adalah proses awal ke arah pembinaan “Bangsa Malaysia” yang sudah menjadi pegangan dan amalan Kumpulan Sasterawan Kavyan sejak dahulu.

Demikian juga saya nyatakan semasa Persidangan Khas Majlis Perundingan Belia Daerah Seremban pada 26 Mei 2009.

Keadaan “yakin” ini sedikit berbeza berbanding semasa saya membentangkan kertas kerja berkaitan “Satu Malaysia” pada Konvensyen Belia Negara, Peringkat Negeri Sembilan di Seremban pada 9 Mei 2009.

Apa tidaknya. Sehingga 9 Mei 2009, ada beberapa pihak yang bertegas mengatakan bahawa “Satu Malaysia” bukan “Bangsa Malaysia” dan bukan juga “Malaysian Malaysia”. Kononnya, sesuatu yang segar-baru-asli.

Makna sebenar dan arah tuju sebenar “Satu Malaysia” juga amat samar dan bercelaru. Masing-masing melakukan serkap jarang, hujahan retorik dan cuba mengambil peluang.

Malah, selalu saya nyatakan bahawa sebenarnya adalah menjadi tanggungjawab dan tugas Perdana Menteri untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung ciri-ciri dan kriteria “Satu Malaysia”.

Kalau tidak, masing-masing akan membuat interpretasi sendiri – umpama cerita sekumpulan orang buta yang bertemu seekor gajah.

Bagaimanapun, sejak belakangan ini, sudah amat jelas bahawa apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan “Satu Malaysia” adalah proses awal ke arah pembinaan “Bangsa Malaysia” dengan mengambil kira aspek perpaduan kaum, agama, etnik dan budaya.

Saya nyatakan “proses awal” kerana “perpaduan” (unity) yang diutamakan dalam “Satu Malaysia” (malah sejak lebih 50 tahun lalu) belum mencapai tahap “integrasi” (integration) yang diimpikan melalui “Bangsa Malaysia”.

Maknanya, Kavyan masih selangkah di hadapan …

NOTA: Sila KLIK DI SINI untuk kertas kerja yang disiarkan di The Malaysian Insider.